TEMUBUAL: CIRI-CIRI SEORANG MUFTI

TEMUBUAL: CIRI-CIRI SEORANG MUFTI

Print Friendly, PDF & Email

Q1. Apakah ciri-ciri yang diperlukan oleh negara selari dengan pegangan Ahlul Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam?

A1. Para ulama, seperti Imam Nawawi RA (w.676H/1278M) dalam kitabnya Adab al-Fatwa wa al-Mufti wa al-Mustafti dan lain-lain, kebiasaannya membahagikan ciri-ciri yang diperlukan bagi seorang mufti ini kepada dua aspek. Pertama dari segi aspek personaliti, atau akhlak  individu itu sendiri termasuklah seorang Islam, Mukallaf dan juga ciri-ciri asas yang lain yang berkaitan dengan kualiti peribadi yang tinggi. Termasuklah juga seorang calon mufti mestilah memiliki sifat adil dan wara’ dalam akhlak dan ibadatnya. Adil bermaksud bukan seorang yang fasiq, manakala sifat wara’ pula antaranya seperti menjaga pergaulan lelaki perempuan, menjaga ibadah-ibadah sunat seperti solat-solat sunnat, wirid-wirid dan selawat dan mengelakkan terlibat dalam perkara-perkara yang meragukan (syubhat) seperti mana takrifan yang diberikan oleh para ulama iaitu seorang yang wara’ itu ialah orang yang sering “mengelakkan dirinya  daripada sesuatu kerana dibimbangi akan terjatuh ke dalam perkara yang haram”.

Ya, benar dalam konteks Malaysia, beliau mestilah seorang yang mengikut manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah. Syeikh Abdullah Fahim (w. 1961M) salah seorang daripada bapa kemerdekaan Malaya pernah berkata, seperti mana yang dirakamkan oleh  Ismail Che Daud dalam bukunya Tokoh-Tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu Jld.2 terbitan Majlis Agama Islam Negeri Kelantan,  halaman 39:

“Tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu se-Malaya ini daripada peringkat bawah hingga ke atas, awam-awam, kadi-kadi, ulama-ulama, menteri-menteri hingga raja-raja sekalian mereka itu bermazhab dengan mazhab al-Imam al-Shafiʻi ijmaʻan (secara ijmak); tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafii. Ambil mereka itu hukum-hukum fekah Syafii daripada kitab Tuhfah dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasarnya dan terjemahnya kepada Bahasa Melayu seperti Sabil al-Muhtadi, Bughyah al-Tullab dan Matla’ al-Badrain dan lainnya. Usul al-Din atas perjalanan Abu al-Hasan al-Ashʻari diambilkan daripada sharahannya dan Hawashi Umm al-Barahin dan Jawharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu. Ilmu tasawuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhaj al-Abidin, Ihyaʼ ʻUlum al-Din dan terjemahnya kepada Melayu seperti Siyar al-Salikin. Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya segala hukum dalamnya kesemua mustanbat (yang diambil/dikeluarkan hukum) daripada Quran dan hadis yang dihalusi dan ditapis oleh ʻUlama’ Ajilaʼ (ulama yang terkemuka), diamal dengan dia sudah lebih daripada 1000 tahun dan diterjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun”

Ciri kedua pula ialah dari segi aspek penguasaan keilmuaan calon tersebut itu sendiri.

Q2. Bagi pandangan tuan, apakah bidang ilmu yang seharusnya dikuasai bagi tokoh agama yang dipilih untuk jawatan mufti ini?

A2. Memiliki ilmu yang kukuh dalam Pengajian Islam khususnya dalam bidang Fiqh (Fekah) kerana antara tugas utama seorang mufti ialah memberikan fatwa atau jawapan hukum-hakam. Namun Ilmu Fekah semata-mata tidak mencukupi kerana beliau turut perlu menguasai secara mendalam perbahasan fekah yang melibatkan perkara-perkara ranting atau disebut furu’ masa’il, khilafiyah dalam mazhab. Beliau juga mesti menguasai Ilmu Aqidah  dan Ilmu Tasawuf kerana ketiga-tiga disiplin ilmu ini: Fekah-Aqidah-Tasawuf, merupakan teras ajaran Islam seperti mana yang diungkapkan melalui Hadith Jibril AS. Seterusnya ilmu-ilmu yang perlu bagi membantu beliau menginstibatkan hukum khususnya apabila melibatkan isu-isu baharu yang melanda masyarakat yang belum diputuskan oleh para ulama silam. Antaranya, memiliki ilmu yang cukup dalam Usul Fiqh seperti telah mengkhatamkan kitab-kitab utama Usul Fiqh, misalnya al-Waraqat dan syarah-syarahnya, al-Luma’ dan Jam’u al-Jawami’. Begitu juga beliau perlu menguasai ilmu-ilmu alat iaitu bahasa Arab (Nahu, Saraf, Balaghah), ilmu mantiq, dan lain-lain. Maka di Malaysia melihat konteks adalah bermazhab Syafi’i, maka setidaknya calon mufti benar-benar menguasai seluruh kitab Fath al-Qarib karangan Ibn Qasim, pernah mengkhatamkan kitab Fath al-Muin dan mengetahui khilaf serta perbahasan yang terjadi di kalangan ulama mazhab Syafii yang disebut di dalam kitab Fath al-Wahhab misalnya;  paling sedikit mengetahui beberapa permasalahan khilaf antara mazhab selain mazhabnya seperti pendapat dalam Mazhab Hanafi, Maliki, dan Hanbali dalam rukun nikah bagi mengelakkan berlakunya terlalu bermudah (tasahhul) atau mencampur aduk mazhab (talfiq); dan berpengalaman dengan isu-isu semasa yang memerlukan jawapan secara ilmiah berlandaskan ibarat-ibarat kitab turath atau klasik. Seseorang Mufti perlu sedar institut mufti sifatnya keputusan jamaie dan bukan individu dan keputusannya adalah kolektif dibantu oleh pasukan penyelidik (buhuth) fatwa, maka  pasukan buhuth juga mesti daripada kalangan mereka yang mendukung aspirasi Ahlul Sunnah wal Jamaah, bukan mufti seorang sahaja. Ilmu kefatwaan pasti menyedarkan kepentingan berintegerasi dan bekerjasama dengan pakar bidang dalam sesuatu masalah yang asas fatwanya memerlukan tinjauan maklumat dari bidang tertentu.

Q3. Apakah cadangan tertentu bagi memastikan pemilihan mufti dibuat dengan tepat, antaranya saranan pemilihan mufti WP, yang ketika ini dikatakan sedang dibuat memandangkan muftinya dilantik jawatan Menteri Agama?

A3. Kepentingan kedudukan Mufti Wilayah perlu dilihat daripada sudut Institusi Mufti-Mufti di Malaysia secara keseluruhan pada pandangan masyarakat awam dan kedudukannya di pusat pemerintahan Putrajaya dan selalu berdampingan dengan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Walaupun Mufti Wilayah sebenarnya hanyalah mufti bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sahaja, namun di mata masyarakat umum beliau dilihat seolah-olah seperti “ketua” Mufti walaupun dari segi realitinya tidak begitu kerana setiap negeri ada mufti masing-masing. Maka kesilapan percaturan melantik Mufti Wilayah boleh memberi impak besar kepada pemahaman masyarakat dan pegangan mereka. Oleh itu, pencalonan hendaklah daripada kalangan yang betul-betul membawa insipirasi Ahli Sunnah Wal Jamaah sesuai ketentuan majoriti negeri-negeri  di Malaysia ini. Ini bertujuan untuk memastikan Mufti Wilayah Persekutuan sebagai wakil Kerajaan Persekutuan istiqamah menjunjung tinggi Agama Islam sebagai agama persekutuan dan ia tidak dipolitikkan oleh penguasa politik, akan tetapi mengikuti kehendak KDYMM Agong dan aspirasi DYMM Sultan-Sultan sebagai Ketua Agama di negeri masing-masing. Hendaklah Mufti Wilayah Persekutuan tidak mempunyai kecendurungan politik tertentu dan bukan terkenal dengan sifat tidak meraikan amalan tempatan sehingga sering menimbulkan polemik, kegelisahan dan kecelaruan dalam masyarakat.

Q4. Pemilihan seorang mufti memerlukan penelitian yang tinggi memandangkan tugasnya penting memurnikan pelbagai isu khususnya berkaitan hukum yang melanda masyarakat. Apakah cabaran yang didepani dan persiapan bagi seorang mufti memandangkan dunia hari ini begitu mencabar dengan kecanggihan teknologi dan pelbagai polemik agama yang timbul?

A4. Selain daripada ilmu agama yang telah disebutkan di atas, calon mufti juga perlu memahami keadaan realiti sekelilingnya dan bertindak mengikut waqi’ negaranya. Untuk itu dia perlu turut didedahkan dengan ilmu undang-undang secara umum seperti mengetahui punca kuasa, perbezaan antara undang-undang, enakman, fatwa dan pekeliling-pekeliling pentadbiran dan bidang kuasanya. Jikalau mufti tidak memiliki ilmu-ilmu ini, ia mestilah memiliki penasihat yang dapat memastikan mufti tidak melakukan tindakan-tindakan yang keluar dari kuasa yang diamanahkan kepada seorang mufti. Begitu juga pengunaan teknologi dan komunikasi amat penting bagi seorang mufti di zaman ini dan Mufti Wilayah yang lalu telah meletakkan tanda aras (benchmark) yang tinggi apabila beliau menjadi mufti yang paling terkehadapan dalam penggunaan media sosial bagi menjawab pelbagai persoalan dan permasalahan melanda masyarakat. Isu-isu semasa seperti masalah alam sekitar, pencemaran, kepanasan global, dan seumpamanya perlu turut menjadi perhatian seorang mufti, bukan terhad kepada mengeluarkan hukum-hakam berkaitan isu agama sahaja. Selain daripada itu realiti masyarakat di negara ini yang berbilang bangsa dan agama juga perlu diambil kira supaya tidak menimbulkan kegelisahan dan resah masyarakat lain. Banyak isu-isu antara kaum dan agama yang belum selesai hingga kini dan perlu ditangani dengan bijaksana dan cermat  seumpama “menarik rambut dalam tepung” seperti isu perebutan jenazah, perceraian apabila pasangan memeluk Islam dan susulan daripada itu juga penjagaan anak-anak dan lain-lain.

Dr. Nik Roskiman Abdul Samad
Felow Kanan
Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
21 April 2020

[Ini merupakan transkrip penuh untuk temubual yang sebahagiannya telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian, 24 April 2020]

Comments are closed.