Tasawuf Tiada Di Zaman Nabi SAW?

Tasawuf Tiada Di Zaman Nabi SAW?

Tohmahan yang sering dihalakan kepada “tasawuf” ialah istilah itu tidak ditemui samada dalam al-Qur’an atau al-Hadith. Memanglah, istilah itu tidak akan ditemui dalam al-Hadith atau al-Qur’an, sebab pada masa Nabi SAW ilmu-ilmu Islam masih pada peringkat awal dan belum berkembang. Hatta di zaman Nabi SAW pun al-Qur’an belum dibukukan seperti mana yang kita ada hari ini. Tetapi itu tidak bermakna ilmu-ilmu tersebut tidak wujud atau salah, tetapi sebaliknya hanya nama ilmu itu sahaja sebagai suatu disiplin ilmu  khusus belum muncul. Namun, intipati, semangat dan ajaran ilmu itu sudah sebati dalam masyarakat di awal Islam lagi. Kita akan temui perkara yang sama juga berlaku kepada nama-nama ilmu lain seperti Ilmu Aqidah, Ilmu Fekah, Ilmu Tajwid, Ilmu Ulum al-Hadith dll. juga belum muncul tetapi itu tidak bermakna umat Islam di kalangan generasi awal Islam tidak memiliki aqidah yang sahih atau fekah yang benar atau membaca al-Qur’an dengan tajwid yang salah. Ketiadaan ilmu tersebut secara khusus disebabkan ketiadaan keperluan kerana Baginda SAW masih hidup dan sebarang permasalahan boleh terus diajukan kepada Baginda SAW. Ambil sebagai contoh Ilmu Nahu Arab hari ini ia juga tiada di zaman Nabi SAW sebagai suatu disiplin ilmu khusus kerana orang Arab secara semulajadi memang fasih dalam bahasa Arab tanpa perlu disusun secara sistematik nahu atau tatabahasa. Mereka penyair. Tetapi apabila berlaku migrasi dan percampuran orang-orang Arab bergaul dengan orang-orang bukan Arab  (Ajam) yang tidak fasih bahasa Arab, maka berlaku kesalahan dalam tatabahasa Arab di kalangan Ajam maka pada ketika itu dirasakan perlu disusun secara khusus Tatabahasa Arab atau Ilmu Nahu ini. Sejarah mencatatkan Abu al-Aswad Al-Duwali (67 H) daripada Bani Kinanah  adalah orang pertama yang menyusun ilmu Nahu Arab atas  perintah Amirul Mu’minin Khalifah Sayyidina ‘Ali RA. Begitu juga dengan ilmu-ilmu lain dalam Islam termasuk ilmu Tasawuf atau Ilmu Hadith dan lain-lain.

Pernahkah kita mendengar ada hadith yang menyebut tentang segala hukum tajwid seperti Ikhfa’, Idgham dll? atau kategori-kategori hadith seperti Sahih, Dhaif, Palsu atau Mursal dll.? Tentu tidak. Begitu juga halnya dengan tasawuf, walaupun nama ilmu itu belum ada di zaman Nabi SAW dan para sahabat, namun mereka semuanya sudah beramal dengan tasawuf dalam kehidupan seharian mereka Cuma tidak dipanggil dengan nama “ilmu tasawuf” secara khusus.

Sebab itu salah seorang imam tasawuf, Imam Abū al-Ḥassan al-Būshanjī (w.348H/959M) pernah menyebut “tasawuf hari ini nama tanpa hakikat, dahulu ianya hakikat tanpa nama”.[1]

Sheikh Hamza Yusuf, seorang ulama terkenal dari Amerika Syarikat dalam salah satu Youtube yang disiarkan bertajuk: “Tasawwuf (Islamic Spirituality)” menyebut hampir kesemua ulama termasuk Ibn Taymiyyah (w.1328M) sampailah Muhammad ibn Abdul Wahab (w.1793M) mengakui bahawa tasawuf adalah salah satu cabang ilmu dalam Islam. Yang diperselisihkan hanyalah “kandungan / amalan” ilmu tersebut. Seperti mana halnya ilmu perubatan ada yang dipanggil Homeopati, Western medicine atau Chinese medicine dll. Persoalan sama ada kita bersetuju dan menerima atau tidak bersetuju dengan cara perubatan tersebut itu merupakan persoalan lain, tetapi kita kena mengakui wujudnya disiplin-disiplin ilmu perubatan sedemikian. Begitulah halnya ilmu tasawuf itu juga adalah sebahagian daripada ilmu dalam tradisi Islam. Nama tidak penting seperti mana kaedah yang berbunyi “kita tidak bertelingkah dalam hal istilah” (لا مشاحَّة في الاصطلاح) yang penting hakikatnya dan tasawuf dipanggil dengan pelbagai nama antaranya: Ilmu Ihsan, Ilmu Hakikat, Ilmu Batin, Ilmu Penyucian / Penawar Hati, Ilmu Akhlak, Ilmu Tazkiyyah atau apa sahaja namun ia tidak merubah hakikat ilmu tasawuf tersebut tetap wujud dalam ajaran Islam.

[1] التصوف اليوم اسم بلا حقيقة وقد كان من قبل حقيقة بلا اسم

Kemaskini: 20.12.2019 (7.00AM)

View Post

View Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site is protected by reCAPTCHA and the Google Privacy Policy and Terms of Service apply.