Tarekat Dari Neraca Syariat: Jawapan Balas Terhadap Kritikan Salafi Wahabi (Edisi Revisi) by Nur Hidayat Muhammad

RM99.00

2 in stock

Description

Buku yang sangat bagus dalam menjawab persoalan yang bukan saja dilontarkan oleh kelompok Wahabi dan Pseudo-Salafi, bahkan juga mereka yang mengulang-ulang cakap-cakap kelompok berkenaan. Tanpa perlu menuduh mereka ini pengikut ajaran Muhammad bin Abdul Wahab, buku ini boleh saja disarankan kepada mereka sebagai jawapan dan penjelasan terhadap isu-isu yang berbangkit.

Ini kerana nada yang sama turut dilemparkan oleh rakan-rakan dan kenalan-kenalan saya meskipun bukanlah berada dalam kelompok Wahabi dan Pseudo-Salafi, tetapi keraguan dan kekeliruan yang sudah ditabur-taburkan di merata-rata tempat itu, rupa-rupanya dipungut oleh mereka dan membawanya ke sana ke mari tanpa sedar.

Memang jawapan yang diberikan ringkas dan sebahagianya memerlukan penjelasan lanjut seperti Wehdatul Wujud atau konsep wujudiah yang sering disalah-anggap oleh masyarakat sehingga menyamakan konsep ontologi dalam pandangan alam sufi dengan pegangan hulul dan ittihad golongan zindiq.

Bagaimanapun, persoalan besar lain yang sering dijadikan peluru untuk menyerang bukan saja tubuh ahli sufi dan ahlillah, bahkan kepada istana tasawuf dan sufisme itu dijawab dengan baik yang sekurang-kurangnya pembaca yang bersedia menerima dan tidak membacanya seperti sebuah gelas yang sudahpun dimasukkan dengan kekeliruan sampai penuh, boleh bertindak sekurang-kurangnya menaruh sangka baik dan tidak terus mengata-ngatakan yang bukan-bukan, apatah lagi sesuatu yang tidak difahami dan didalami mereka.

Isu yang dijawab dalam buku ini ialah tahrif (kata-kata yang diselewengkan daripada ucapan yang sebenar) terhadap Imam Syafie, penggunaan hadis daif dan palsu, persoalan bertemu dengan Nabi Muhammad khususnya secara yaqazah (sedar), ilmu laduni dan kemungkinan bertemu dengan Nabi Khidir, tradisi berguru dalam bersuluk, kegagalan melihat fuqaha dan muhadithin yang juga sebenarnya ahli sufi, penggunaan foto guru dalam proses suluk, kekeliruan persoalan ilham dan mimpi, zikir secara berjamaah, suara lantang dan pergerakan serta sanad talqinnya, tohmahan ahli sufi memuja guru, tuduhan kaitan dengan ajaran Brahmana serta realiti wali qutb, abdal, nuqaba dan sultan auliya.

Begitu juga dengan perbezaan konsep tasawuf dalam pandangan Imam al-Ghazali dengan Ibnu Taimiyah, karamah, tuduhan terhadap Imam Ibnu Hajar al-Haithami, Ibnu Jauzi dan kesalahan dalam Talbisul Iblis, ta’wil terhadap ucapah shahatah ahlillah, pengkategorian tasawuf hakiki dengan tasawuf falsafah, perbezaan antara ahli sufi dengan fuqaha dan Nur Muhammad, semuanya dijawab dalam buku ini.

Additional information

Weight 0.50 kg