PENDIDIKAN BAGI MELAHIRKAN INSAN BERADAB

PENDIDIKAN BAGI MELAHIRKAN INSAN BERADAB

Print Friendly, PDF & Email

Para bijak pandai zaman silam khususnya para filasuf Yunani lagi sudah melihat bahawa alam ini terjadi bukan tanpa sebab-musabab dan tanpa tujuan, tetapi memiliki tujuan tertentu atau disebut “cause” atau aitia (Greek: αἰτία), kalimah yang digunakan oleh Aristotle bagi merujuk kepada “sebab” (causal explanation). Kalimah “sebab” (cause) bukanlah terjemahan tepat untuk apa yang Aristotle maksudkan kerana ia bukan bermaksud seperti mana “sebab” yang digunakan harian, ia lebih tepat sebenarnya membawa maksud “penjelasan” (explanation). Dalam  Physics II.3 dan Metaphysics V.2, Aristotle menyebut tentang empat jenis jawapan kepada persoalan “kenapa” (why) atau disebut sebagai “four causes” iaitu:

  • Bahan (matter/material): Bahan di mana sesuatu itu diperbuat seperti meja bahannya kayu.
  • Bentuk (formal/ design/blueprint): Bentuk bahan yang dibincangkan itu contohnya meja itu berbentuk empat kaki.
  • Ejen (agent/efficient): Ejen yang terlibat dalam mewujudkan sesuatu itu, sebagai contoh meja itu ejen yang  menciptanya ialah tukang kayu.
  • Matlamat (end/ purpose/final cause): Matlamat sesuatu itu sebagai contoh meja itu tujuannya ialah untuk diletakkan barangan misalnya, biji benih ialah untuk menumbuhkan pokok, kapal untuk pelayaran dan begitulah kepada yang lain.

Ada juga yang menambah kelima itu Alat (tools).

Oleh itu jika kita bertanya tentang meja berdasarkan empat matriks “sebab” di atas maka jawapannya ialah: meja diperbuat daripada kayu (bahan), ia tidak tumbang kerana ia memiliki empat kaki (bentuk), ia diperbuat oleh seorang tukang kayu atau kilang (ejen) kerana ianya untuk digunakan bagi meletakkan barangan di atasnya (matlamat).

Jika terus kita tanyakan apakah matlamat pendidikan dalam Islam? Ianya bertujuan melahirkan insan beradab,[1] yang tahu tujuan dia dijadikan dan kedudukan dia di atas mukabumi Allah SWT ini, lalu dengan itu dia berlaku adil iaitu meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. “Tempat” bukan semata-mata bersifat ruang kedudukan fizikal (spatial) tetapi juga dalam konteks kedudukan maqam, martabat ilmu dan kemuliaan (hierarchical). Insan beradab ialah insan yang menguasai ilmu-ilmu teras (fardhu ʿayn) dan memiliki akhlaq yang baik dan menyucikan dirinya (tazkiyyah) daripada sifat-sifat batin yang keji. Dia menjadi pewaris para Nabi selaku penyumbang positif (mengislahkan) masyarakat, penuh dengan iḥsān, ḥikmah dan penyayang.[2] Universiti yang menjadi pusat pendidikan pula mestilah sebuah institusi yang memberikan pendidikan menyeluruh dan komprehensif sesuai dengan istilah jāmiʿah dan kulliyyah yang membawa maksud menyeluruh. Pendidikan yang komprehensif (al-dirāsat al-jāmiʿah) mestilah pendidikan yang bukan sahaja memberi ilmu pengetahuan atau kemahiran yang sifatnya akali atau intelek, tetapi juga membangunkan rohani, jiwa, budi pekerti dan akhlaq sehingga terangkum dalam dirinya kesempurnaan akal dan akhlaq dan menjadi insan yang beradab (al-adīb) atau disebut dalam bahasa Inggeris sebagai “erudite gentleman”. Universiti bukan menjadi tempat melahirkan graduan-graduan terlatih yang memiliki sijil untuk diserapkan ke dalam sektor pekerjaan, kerana universiti sebegitu tidak ubah seperti sebuah kilang mencetak tenaga kerja, bukannya universiti yang membentuk manusia beradab.

  1. Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Concept of Education in Islam: A Framework for an Islamic Philosophy of Education.
  2. Habib Umar bin Salim, Sufism: Its Essence and the Traits of Its People.
Comments are closed.