Home / Umum / MUHASABAH KEPENTINGAN MASA

MUHASABAH KEPENTINGAN MASA

Muhasabah Kepentingan Masa

  • Selang beberapa hari lagi jika dipanjangkan usia, kita akan menginjak ke tahun 2019.
  • Masa amat penting dalam Islam kerana masa umpama “modal” bagi manusia untuk melakukan amal ibadat di dunia ini dan mengharapkan mendapat pulangan “untung” di Akhirat kelak.
  • Kepentingan masa boleh dilihat dalam al-Qur’an apabila Allah SWT bersumpah dengan masa seperit “wa al’asr”, “wa al-duha”, wal-fajr” dan lain-lain.
  • Kita diajar agar bersyukur kerana masih diberikan masa untuk hidup. Doa “Alhamdullillahilladzi ahyaanaa bada maa amaatanaa wa ilaihin nushur” yang kira-kira bermaksud “Segala puji bagi Allah, yang telah membangunkan kami setelah menidurkan kami dan kepada-Nya lah kami dibangkitkan” 1 (HR. Bukhari no. 6325).
  • Antara tanda-tanda Hari Kiamat ialah apabila masa dirasakan berlalu begitu pantas sekali. Baginda SAW bersabda dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidhi dan turut diriwayatkan oleh imam-imam hadith lain dengan lafaz yang sedikit berbeza:
    لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَقَارَبَ الزَّمَانُ،فَتَكُونُ السَّنَةُ كَالشَّهْرِ
وَالشَّهْرُ كَالْجُمُعَة
وَتَكُونُ الْجُمُعَةُ كَالْيَوْمِ 
وَيَكُونُ الْيَوْمُ كَالسَّاعَةِ 
وَتَكُونُ السَّاعَةُ كَالضَّرَمَةِ بِا لنَّارِ

Mafhumnya: “Tidak akan berlaku Kiamat sehingga masa berlalu dengan begitu pantas. Setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari manakala sehari dirasakan seperti sejam, dan sejam dirasakan seperti kerlipan nyalaan api yang bertiup“.

  • Ketika Baginda SAW melafazkan kata-kata mulia ini 1400 dahulu, para Sahabat RA pada masa itu mungkin tidak begitu memahami dengan jelas apa yang Baginda SAW maksudkan kerana pada masa dahulukala peredaran masa tidak begitu terasa seperti yang kita rasakan hari ini dan dengan pelbagai kesibukan yang dilalui hingga peredaran masa antara siang dan malam pun kadangkala tidak terperasan.
  • Manusia dahulu kala, kehidupan mereka diatur mengikut peredaran masa. Mereka mula bekerja apabila matahari mula terbit dan apabila matahari tenggelam mereka bersiap untuk tidur kerana mereka tidak boleh melihat apa-apa kerana gelap, dan begitulah seterusnya. Kehidupan mereka berasaskan kepada masa tabi’e yang ditentukan oleh peredaran matahari. Kehidupan mereka begitu terikat dengan persekitaran dan cukup harmoni dengan alam. Inilah yang disebutkan dalam Firman Allah SWT dalam Surah al-Naba ayat ke-10,  ((Kami jadikan malam sebagai pakaian (untuk kamu beristirehat), dan kami jadikan siang untuk kamu mencari rezeki)). Namun, apabila berlaku revolusi industri dan terciptanya janakuasa elektrik di abad ke-18, manusia tidak lagi terikat dengan peredaran masa yang diatur melalui peredaran matahari kerana manusia boleh bekerja hatta pada malam hari sekalipun. Masa manusia menjadi masa mekanikal dan industri. Manusia menjadi semakin sibuk. Matahari naik atau tenggelam tidak memberi apa-apa makna lagi kepada kehidupan manusia. Manusia menjadi semakin terpisah dengan peredaran matahari dan alam semesta.
  • Dan pada hari ini, masa berubah menjadi masa siber dan virtual apabila manusia menjadi semakin sibuk sehinggakan 24 jam kita lihat manusia bekerja, ada restoran 24 jam, ada kedai runcit 24 jam, ada klinik 24 jam, siaran TV 24 jam dan bermacam lagi. Siang dan malam seolah sudah tiada beza dan memberi apa-apa makna lagi. Apa yang boleh dibuat di siang hari seolahnya boleh juga dibuat di malam hari. Ada yang menonton TV sepanjang malam, ada yang menghabiskan masanya di pusat-pusat hiburan 24 jam. Bahkan hari ini kesibukan kita menjadi semakin menjadi-jadi. Masa berlalu sepantas kilat selaju kelajuan internet Broadband 4G atau lebih laju lagi. Semuanya menjadi semakin pantas dan laju. Anak-anak kita siang malam dengan gajet permainan mereka, tidak lagi tidur pada waktu yang sepatutnya mereka tidur. Ibubapa pula ada ketikanya sibuk dengan peralatan telefon pintar masing-masing, bermain whatsapp, sms ketika memandu sudah menjadi semacam lumrah walaupun ianya adalah satu kesalahan dan merbahayakan keselamatan jalanraya. Masa menjadi masa siber yang 24/7 menyibukkan kita sehingga kita tiada masa untuk satu sama lain, masa ibu bapa untuk anak-anak. Kita menjadi “robot” berkejar ke sana ke mari. Kita sudah hilang nilai dan hakikat masa yang sebenarnya sehingga terpacul dari lidah kita ungkapan “saya tiada masa”, seolah menyalahkan masa.
  • Isunya di sini bukannya salah masa yang berlalu begitu pantas, tetapi salah diri kita sendiri yang tidak pandai menjaga, menghargai dan menggunakan masa dengan sebaik mungkin. Jangan kita salahkan masa kerana berlalu dengan pantas, tetapi salahkan diri kita sendiri.
Imam al-Shafie r.a pernah mengungkapkan:

نَعيبُ زَمانَنا وَالعَيبُ فينا وَما لِزَمانِنا عَيبٌ سِوان

Kita menyalahkan masa walhal kesalahan itu dalam diri kita sendiri
. Tidaklah masa itu bersalah, tetapi kesalahan itu padadiri kita sendiri, bukan pada yang lain.

  • Kita tidak boleh mengawal peredaran masa, dan masa akan menjadi semakin pantas semakin hampirnya dunia ini dengan Kiamat sepertimana Hadith yang kita sebutkan di awal tadi. Tetapi apa yang boleh kita ubah ialah bagaimana kita melihat masa, kepentingan masa, dengan menjaga masa agar masa kita diberkati Allah SWT. Para ulama memberi tafsiran berhubung hadith tadi bahawa antara lain masa menjadi pantas kerana hilangnya barakah masa itu: قلة البركة في الزمان. Bagi mereka yang menjaga masa dan menggunakan masa untuk perkara bermanfaat, insya Allah masa akan sentiasa cukup baginya kerana barakat masa bersamanya. Marilah sama-sama di awal tahun ini kita menginsafi bahawa masa merupakan nikmat agung yang Allah SWT berikan kepada kita yang perlu kita hargai dan jaga dengan sesungguhnya, dan janganlah sekali-kali kita membuang masa kerana masa itu bukan hak kita untuk dibuang-buang, tetapi ianya adalah hak milik Allah SWT. Membuang masa seumpama membazirkan sebahagian dari diri kita sendiri.

Footnotes

  1. Hadis Sahih Bukhari

Check Also

A Mercy to the Worlds

Ever since the new government came into power shortly after the 14th General Election, the oft-repeated …