MAKNA AMANAH KEPIMPINAN

MAKNA AMANAH KEPIMPINAN

Sekitar sebulan dua lalu, kita telah mengalami pertukaran tampuk kepimpinan negara. Ramai yang bercakap tentang “amanah kepimpinan” namun mungkin tidak ramai yang benar-benar mengkaji tentang asal usul kalimah “amanah” itu seperti mana terakam dalam kamus-kamus bahasa Arab. Perkataan-perkataan dalam Bahasa Melayu seperti yang diketahui umum merupakan serapan daripada perkataan-perkataan dalam beberapa bahasa lain seperti Sanskrit, Urdu, Parsi dan juga Arab. Serapan atau kata pinjaman daripada bahasa Arablah yang paling banyak setelah bahasa Melayu mengalami proses Islamisasi. Perkataan bahasa Melayu “amanah” sebenarnya merupakan kalimah yang diambil daripada bahasa Arab iaitu terbitan kalimah “a-mi-na” (أمِنَ)yang membawa beberapa maksud yang akan kita jelaskan di bawah ini, seperti mana yang terakam dalam kamus-kamus besar bahasa Arab. Dalam pengajian bahasa Arab ini, kata terbitan dalam mana-mana kalimah bahasa Arab akan membawa maksud yang terkait dengan maksud asal kalimah tersebut. Ia dikatakan juga membawa makna seerti dengan kalimah amān (أمان) dan āminun (امن) . Seterusnya kita akan dapati kalimah-kalimah terbitan lain seperti berikut:

  •  “aman” – iaitu bebas daripada ketakutan, dan kerana itu kalimah “aman” ini lawannya ialah “takut” (khawf). Ia juga bukan sekadar membawa maksud bebas daripada ketakutan semata-mata, tetapi juga boleh turut merangkumi “bebas daripada pelbagai bentuk ketakutan seperti ketakutan terhadap [objek] atau ketakutan terhadap [sifat] tertentu. Seperti disebut dia itu seorang yang bebas daripada takut kepada singa (objek), atau dia bebas daripada takut kepada perasaan lemah diri (sifat) sendiri dan seumpamanya;
  • amina bihi” pula ia membawa maksud “memberi amanah” atau “mempertanggungjawabkan” seseorang itu dengan sesuatu.
  • īmān” juga sebenarnya secara zahir membawa maksud “mempercayai dan memberi amanah kepercayaan kepada Tuhan dalam hati seseorang, dan ianya bukan semata-mata ikrar lidah tetapi hendaklah disusuli dengan keyakinan hati”. Sebab itu kalimah “īmān” ini juga seerti dengan kalimah “taṣdīq” atau membenarkan.
  •  “amanah” pula ia membawa maksud seseorang yang boleh dipercayai oleh orang lain dan mereka tidak perlu takut dia akan melakukan kerosakan kerana dia seorang pemegang amanah (trustee) atau penjaga (guardian) yang jujur dan ia semakna dengan kalimah “amīn” (cth: amīnun ‘ala shay). Bahkan Baginda SAW juga digelar sebagai “al-amin” bukan sahaja kerana Baginda SAW sentiasa bercakap benar dan tidak pernah berbohong, tetapi juga Baginda SAW seorang yang amanah dalam menjaga sesuatu. Ini terbukti apabila setiap kali orang Quraisy Jahiliyyah mahu bermusafir, mereka akan mengamanahkan barang-barang berharga mereka kepada Nabi SAW untuk menjaganya dan apabila pulang semula mereka menuntutnya dan mendapatkan sepertimana ketika meninggalkannya dulu. Dalam hal ini juga kita menemui istilah al-ruḥ al-amīn yang merujuk kepada malaikat Jibril AS. Digelar al-ruḥ al-amīn atau ruh yang dipercayai kerana Jibril AS memikul amanah menyampaikan wahyu kepada para Rasul.
  •  “amanah” juga membawa maksud penjaga. Dikatakan ada riwayat menyebut “aṣhābī amanatun li-ummatī” membawa maksud “para Sahabatku itu penjaga kepada umatku.”
  • amānah” juga membawa maksud seseorang (fā’īl / pelaku) yang mempercayai, kepada setiap orang.

Ini semua merupakan makna-makna terkait dengan kalimah “amanah” dan istilah-istilah terbitan yang lahir daripada kalimah asal “amina”. Namun yang kita sering gunakan kalimah “amanah” hanya merujuk kepada beberapa makna terutamanya seperti “kepercayaan yg diletakkan kpd seseorang” sahaja.

Dalam konteks kepimpinan, di sana ada beberapa bentuk kepimpinan. Ada kepimpinan yang tidak dapat tidak sememangnya dipaksakan ke atas diri kita; ada pula kepimpinan yang kita sendiri yang menginginkannya seperti kepimpinan dalam siasah memerintah negara, misalnya. Kepimpinan yang paling asas sekali yang kita tidak dapat lari ialah sudah pasti memimpin diri sendiri. Memimpin diri agar menjadi hamba Allah yang sebenarnya, mentaati segala titah perintah Allah SWT dalam setiap keadaan dan hal dan menjauhkan diri daripada menjadi bakaran Api Neraka. Ini seperti mana ayat al-Qur’an dalam Surah al-Tahrim ayat 6, “Wahai orang-orang beriman, lindungilah dirimu dan keluargamu dari Api Neraka”. Sehubungan itu memimpin keluarga juga adalah satu bentuk kepimpinan juga yang tidak boleh dielakkan sekiranya kita mempunyai rumahtangga, dan ia tidak boleh dipandang ringan. Selain daripada itu ada juga kepimpinan yang lebih besar yang ada ketikanya ia boleh dielakkan, iaitu memimpin orang-orang yang di bawah tanggungjawab seseorang dalam organisasi atau siasah. Ini selaras dengan hadith Nabi SAW daripada Abdullah Ibn Umar RA menyebut Nabi SAW bersabda, mafhumnya:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinan kamu. Seorang penguasa adalah pemimpin, seorang suami adalah seorang pemimpin seluruh keluarganya, demikian pula seorang isteri adalah pemimpin atas rumah suami dan anaknya. Kamu adalah pemimpin yang akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinan kamu”

(HR: Bukhari dan Muslim)

Kita sering mendengar ungkapan yang diucapkan setiap kali seseorang pemimpin dilantik menjawat sesuatu jawatan seperti “jawatan ini adalah suatu amanah”, namun kita tidak pasti adakah pengungkap itu benar-benar faham dan mengerti apa yang diucapkan itu atau hanya semata-mata pemanis mulut sahaja dan cliché”. Dalam satu hadith Nabi SAW menjawab permintaan Sayyidina Abu Dzar RA agar beliau dilantik sebagai pemimpin lalu Nabi SAW menyebut “Wahai Abu Dzar, aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya ia adalah amanah dan kelak di Hari Akhirat nanti ia akan menjadi suatu kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi yang mendapatkannya dengan haknya dan menunaikan amanahnya” (HR Bukhari].

Kesimpulan yang boleh dibuat berhubung dengan Amanah Kepimpinan ini ialah ia merangkumi beberapa noktah penting:
• Jangan sesekali meminta menjadi pemimpin, melainkan terpaksa dan berkemampuan, kerana amanah kepimpinan merupakan suatu yang berat dan nanti akan menjadi penyesalan di Hari Akhirat;
• Amanah Kepimpinan seperti mana beberapa makna yang dinyatakan di awal tadi membawa sekurang-kurangnya beberapa maksud utama antara lain seorang pemimpin mestilah bersifat (i) al-amin iaitu jujur dan benar, (ii) al-aman iaitu mewujudkan keamanan kepada orang-orang yang dipimpin, (iii) al-iman iaitu memiliki kepercayaan atau integriti yang tinggi dan (iiii) al-amanah bermaksud penjaga yang menjaga harta, rahsia, dan kepercayaan orang yang di bawahnya dengan tidak pernah terlintas untuk melakukan pecah amanah, dan turut menunaikan hak-hak yang sepatutnya terhadap setiap orang yang dipimpinnya itu.

[Makalah ini sebahagiannya telah disiarkan setelah melalui suntingan editor Berita Harian pada 19 April 2020. Ini merupakan makalah asal sebelum suntingan]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site is protected by reCAPTCHA and the Google Privacy Policy and Terms of Service apply.