KEWAJIPAN MENEGUR DAN MENASIHATI PEMIMPIN

KEWAJIPAN MENEGUR DAN MENASIHATI PEMIMPIN

Print Friendly, PDF & Email

Islam merupakan sebuah agama yang sempurna, yang memiliki mekanisma semak dan imbang dalaman (check and balance) yang sempurna dan tersendiri. Diriwayatkan daripada Sayyidina Abu Ruqayyah Tamim Al-Dari RA, bahawasanya Nabi SAW bersabda, mafhumnya: “Agama itu adalah nasihat”. Kami pun bertanya, “Untuk siapa (nasihat itu)?”. Baginda menjawab, “Nasihat untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, Imam-imam kaum muslimin dan seluruh muslimin (rakyatnya)”. (HR. Sahih Muslim No: 50).

Nasihat di sini bukan bermaksud “menasihati” Allah tetapi membawa maksud beriman dan mentauhidkan Allah SWT; nasihat terhadap kitab pula membawa maksud menunaikan hak-hak al-Qur’an untuk dipelajari, dibaca, diamal, dihayati, disebarkan; nasihat untuk Rasul pula membawa maksud beriman kepada apa yang dibawa oleh Nabi SAW, mencontohi Sunnah dan akhlak Nabi SAW; adapun nasihat kepada para imam dan pemimpin ialah membantu dan mentaati serta menasihati dan menegur mereka apabila mereka melakukan kesalahan.

Dalam hal menasihati pemimpin ini, ianya boleh berlaku dalam banyak dimensi. Pertama nasihat atau teguran daripada yang atas kepada yang di bawah seperti mana nasihat dan teguran Allah SWT Yang Maha Agung kepada Baginda SAW sendiri; atau nasihat daripada orang bawah kepada pemimpin yang tinggi seperti mana para Sahabat menasihati Baginda SAW, atau orang awam menasihati Khalifah. Islam sejak awal ditanzilkan lagi tidak putus-putus mencatatkan banyak kisah menasihati pemimpin yang berlaku bermula daripada nasihat atau teguran daripada Allah SWT Yang Maha Agung sendiri terhadap Baginda SAW sepertimana terakam dalam Surah ‘Abasa: “Dia telah memasamkan muka dan berpaling kerana ia didatangi orang buta, dan apakah engkau mengetahui (tujuannya wahai Muhammad)? Barangkali dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama), atau dia mahu mendapat peringatan, supaya peringata itu memberi manfaat kepadanya” (‘Abasa, ayat 1-4). Sebab turunnya ayat ini atau Asbabun Nuzul ialah kerana Nabi SAW telah didatangi oleh seorang buta (Abdullah ibn Ummi Maktum) yang ingin bertanyakan tentang hal-hal agama, namun Baginda SAW tidak melayannya dan memasamkan mukanya kerana pada ketika itu Baginda sibuk berdakwah dengan pemuka-pemuka kafir Quraisy (Walid ibn al-Mughirah dll.) dan amat berharap mereka ini akan memeluk Islam. Lalu, Allah SWT menegur Nabi SAW atas sikap acuhnya itu sedangkan hidayah adalah milik Allah jua.

Begitu juga, ketika mengatur strategi dalam Peperangan Badar, Nabi SAW telah ditegur oleh pakar strategi peperangan Sayyidina Khabab bin Munzir RA apabila mendapati Baginda SAW bercadang untuk berkhemah di suatu tempat yang agak jauh dari sumber air, lalu Khabab bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah tempat ini pilihan wahyu daripada Allah ataupun dasar strategi perang?” Baginda SAW menjawab: “Tidak, bukan (wahyu) daripada Allah, tetapi ini hanyalah strategi kita sahaja,” Lalu Sayyidina Khabab pun mencadangkan supaya tentera Islam bergerak lebih ke hadapan berdekatan dengan telaga air, dan Rasulullah SAW pun bersetuju.

Di zaman Sahabat pula, sejarah mencatatkan apabila Sayyidina Umar bin Al-Khattab RA dilantik menjadi Khalifah menggantikan Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq RA, beliau dengan lantang menyeru agar ditegur jika menyeleweng dengan berkata: “sesiapa di antara kamu melihat pada diriku suatu penyelewengan, maka luruskanlah ia” (man ra’a minkum fiyya i’wijajan falyuqawimhu). Maka tiba-tiba bangkit seorang lelaki Arab Badwi seraya berkata dengan berani kepada Umar: “Demi Allah wahai Umar!, sekiranya kami mendapati kamu menyeleweng, nescaya kami akan luruskan kamu dengan pedang kami yang tajam ini”. (wallahi ya Umar!, lau raina fika i’wijajan la qawimnahu bi haddi suyufina). Lalu Umar menjawab: “Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang menjadikan daripada kalangan umat Muhammad ini mereka yang sanggup meluruskan ‘Umar dengan pedangnya” (Alhamdulillah alladhi ja’ala fi ummati muhammad man yuqawimu ‘umara bisayfihi).

Diriwayatkan juga Sayyidina Umar RA pernah naik ke atas mimbar dan berucap menetapkan mahar perkahwinan tidak melebihi empat ratus dirham. Lalu apabila beliau turun, beliau ditegur oleh seorang perempuan dengan membacakan al-Qur’an Surah al-Nisa’ ayat 10 yang menyebut bahawa Allah SWT memberikan kebebasan kepada lelaki memberikan sebanyak mana yang mereka mahu sebagai mahar kepada perempuan, dan ini menginsafkan Umar yang dia tiada hak untuk menetapkannya. Umar sedar kesalahannya, lalu dia berkata: “Ya Allah, berilah keampunan kepadaku. Semua orang lebih faqih (memahami) daripada Umar.” Kemudian beliau pun kembali menaiki mimbar dan berkata: “Sesungguhnya tadi aku telah melarang kamu menetapkan mahar terhadap wanita lebih dari empat ratus dirham. (Tetapi) sekarang, sesiapa pun boleh memberikan hartanya berdasarkan yang dia suka (sebagai mahar).” (Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 2/244.)

Islam menganjurkan bersikap berani menasihat, menegur dan mengkritik pemimpin kerana dengan cara itulah kesilapan dan kesalahan yang mungkin tidak disedari pemimpin akan dapat dibetulkan. Ianya suatu sikap yang murni, terbit daripada hati yang jujur dan bersih yang inginkan mencari keredhaan Allah SWT semata-mata, bukan seperti mana yang wujud dalam dunia politik moden hari ini apabila ada wujud dua puak, iaitu satu pihak partai kerajaan dan satu lagi pembangkang. Pihak pembangkang hanya senantiasa membangkang, membantah, menentang apa sahaja yang datang daripada pihak kerajaan kerana bukan daripada parti mereka sendiri dan begitulah sebaliknya, tanpa melihat adakah tindakan, usul, atau usaha itu sebenarnya membawa kebaikan dan mengelak kemudaratan. Ianya dilakukan sedemikian demi survival perjuangan politik partai masing-masing bukannya bertujuan kebenaran.

Dalam dunia kebendaan dan mengejar pangkat dan kedudukan hari ini, budaya menasihati dan menegur pemimpin tidak lagi disuburkan bahkan ditakut-takutkan. Sebaliknya yang disuburkan ialah budaya membodek, mengampu dan memuji pemimpin tanpa ada keberanian menegur walau sekelumit kerana pemimpin-pemimpin hari ini rata-rata bukan lagi daripada kalangan mereka yang berjiwa besar, berlapang dada dan sedia menerima teguran. Mereka inginkan pujian dan ingin mendengar hal-hal yang baik sahaja. Ini mengingatkan kita tentang hikayat seorang raja yang ingin memakai pakaian fesyen terkini lalu sekalian tukang jahit di negerinya dikerah untuk mengemukakan cadangan fesyen yang terbaik untuk dipakai sang raja, namun tiada satu pun yang berkenan di hati raja. Hinggalah ada dua orang tukang jahit yang mendatangi raja dan mengusulkan fesyennya yang kononnya terbaik. Fesyen “bogel”!. Lalu sang raja pun dengan berpakaian “fesyen bogel” itu keluar ke depan khalayak ramai dan semua di sekeliling yang melihatnya daripada para menteri dan orang awam – yang sememangnya kaki pengampu dan pembodek –, memuji-muji kecantikan “fesyen” baharu raja itu, dan raja begitu bangga dan tersenyum-senyum. Tiba-tiba datang dua orang kanak-kanak yang jujur mungkin beramal dengan hadith Nabi SAW: “Katakanlah kebenaran, walau pun pahit” (HR. Bayhaqi), menegur raja sambil ketawa dan menyedarkan raja bahawa itu bukan fesyen terkini tetapi raja sebenarnya sedang berbogel. Sedar dan insaflah raja dan malulah beliau.

Islam bukan sahaja menganjurkan agar pemimpin sentiasa berjiwa besar dan terbuka menerima teguran, bahkan turut sepatutnya mempelawa dan mengalu-alukan orang lain menegur mereka mencontohi Amirul Mukminin Sayyidina Umar RA apabila dilantik sebagai khalifah. Sheikh Abdul Aziz al-Badri menyebut bahawa pelawaan Umar itu lah suatu kesediaan dan pelawaan yang jelas untuk “dikritik” dan sebagai sebahagian daripada proses muhasabah (check and balance) dalam pemerintahan Islam. Beliau seterusnya berkata: “Ajaran Islam mewajibkan pemimpin yang dilantik memimpin umat Islam agar mendengar sesiapa yang mengkritik, dan berlapang dada (menerima kritikan) sebagaimana diperintahkan untuk akur dengan kritikan tersebut sekiranya ia bertepatan dengan hukum-hukum Islam. Islam juga sekaligus melarang daripada mengenakan apa jua hukuman yang boleh menyakiti mereka yang mengkritik, sekalipun kritikan itu kata-kata keras dan tajam”. (Abdul Aziz al-Badri, al-Islam Bayna al-Ulama’ Wa al-Hukkam, hal. 71)

[Tulisan yang telah disunting pernah disiarkan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 19 Jun 2020 dengan tajuk “Pemimpin Perlu Contohi Kesediaan Sayidina Umar Terima Kritikan”]

Comments are closed.