Kenapa Ajaran Tasawuf Dimusuhi?

Kenapa Ajaran Tasawuf Dimusuhi?

Print Friendly, PDF & Email

Jika benar ajaran tasawuf itu berasal daripada ajaran Islam atau sebahagian daripada dimensi Islam, kenapakah ajaran tasawuf dimusuhi oleh sebahagian ulama?. Ini persoalan yang sering ditanyakan. Di sana ada beberapa sebabnya kenapa terjadi perkara sedemikian, dan antaranya seperti berikut:

  • Tidak memahami dan mengkaji apakah yang dikatakan ajaran tasawuf yang sebenar lalu terpengaruh dengan tohmahan-tohmahan yang mengecam ajaran tasawuf tanpa meneliti karya-karya ulama tasawuf yang benar seperti karya Imam Junayd al-Baghdadi, Imam al-Ghazali, Imam al-Qushayri dan lain-lain;
  • Terpengaruh dengan tohmahan para Orientalis Barat yang mendakwa bahawa ajaran tasawuf ini kononnya adalah pengaruh asing daripada ajaran-ajaran di luar Islam seperti Yunani, Buddha, Hindu, Kristian dan lain-lain dan bukannya tumbuh daripada ajaran Islam sendiri;
  • Menemui kritikan, dan kecaman ulama-ulama muktabar Islam seperti Imam Shafi’I dan lain-lain terhadap golongan Sufi tanpa terlebih dahulu memahami konteks yang dimaksudkan mereka itu sedangkan yang dikecam adalah kelompok yang sesat atau menyeleweng;
  • Mengkaji secara tidak adil dan prejudis terhadap ungkapan-ungkapan zahir atau lafzi segelintir tokoh-tokoh Sufi lalu mengira ianya ungkapan-ungkapan biasa yang boleh ditafsirkan “menyeleweng daripada ajaran Islam” tanpa bersangka baik dengan mengambil kira keadaan mereka yang sedang asyik dan tenggelam dalam kecintaan kepada Allah SWT yang tidak dapat digambarkan oleh kata-kata;
  • Melihat contoh-contoh segelintir “Sufi Palsu” (Pseudo-Sufi) yang wujud dalam masyarakat lalu mengira inilah contoh Sufi yang sebenarnya sedangkan mereka ini adalah golongan yang jahil, pemalas, pengotor yang sekadar meniru-niru dengan kejahilan tanpa mendalaminya. Golongan pseudo-Sufi inilah juga yang dikecam oleh Imam Shafi’I, Imam al-Ghazali RA, dan tokoh-tokoh Sufi sendiri dan bukannya terhadap ajaran tasawuf atau kepada golongan Sufi sebenar secara keseluruhannya.
  • Kesesatan ada dalam mana-mana kelompok samada dalam kalangan ahli tasawuf, mahupun ahli fekah, ahli aqidah, ahli hadith dll., namun itu bukanlah hujah untuk menganggap disiplin ilmu itu sesat, atau kesemua ahli-ahlinya sesat. Seperti mana wujudnya umat Islam yang sesat, seperti mengamal khurafat, esktremis seperti IS atau Daesh, tidaklah menjadikan ajaran Islam itu sendiri sesat atau ekstremis. Ajaran sebenar  perlu dilihat kepada karya-karya ulama mereka untuk benar-benar memahaminya, begitu jugalah dengan ilmu tasawuf.
  • Tasawuf Dhawqi/ Mukashafah tidak dibezakan daripada Tasawuf Suluki sehingga menolak tasawuf secara keseluruhan. Ini pendekatan tidak bijak. (Istilah “tasawuf sunni” vs “tasawuf falsafi” pada pandangan saya kurang tepat”).
  • Salahfaham terhadap kewujudan istilah-istilah dalam aliran Tasawuf Falsafi dalam aspek Kosmologi dan persamaannya dengan istilah-istilah yang seakannya dalam tradisi falasafah Barat lalu mengira bahawa ianya adalah membawa makna yang sama. Istilah yang paling kontroversi ialah istilah “Wahdat al-wujud” yang disamakan dengan istilah “Pantheism” sedangkan benarkah ianya mempunyai persamaan?. Tulisan Prof. Dr. Khalif Muammar dalam perkara ini FAHAM WAḤDAT AL-WUJŪD DAN MARTABAT TUJUH DALAM KARYA SHAYKH ʿABD AL-ṢAMAD AL-FALIMBĀNĪ amat baik untuk diteliti dan difahami dengan betul apakah yang dikatakan Wahdatul Wujud dan apakah yang bukan.
Comments are closed.