Q. 1) Jumaat dalam kalangan masyarakat Islam diketahui sekadar penghulu segala hari. Bagaimanapun, masih ada yang tidak menggunakan kelebihan Jumaat untuk menggandakan ibadah dan amalan. Ustaz boleh terangkan kelebihan hari Jumaat secara jelas.

A) Di awal Islam dahulu, orang Yahudi dan Kristian begitu berbangga kerana mereka mempunyai hari “kebesaran mingguan” dan kemuliaan setiap minggu sedangkan umat Islam tiada. Orang Yahudi pada hari Sabtu, dan orang Kristian pada hari Ahad lalu Allah SWT menetapkan untuk umat Islam hari kebesaran mingguan mereka ialah pada hari Jumaat. Hari Jumaat ini sudah pasti datang lebih awal dari hari Sabtu dan Ahad dan itulah juga petunjuk bahawa Allah SWT memuliakan dan mendahulukan umat Islam. Ini seperti mana mafhum Hadith Baginda SAW:
“Allah telah menyesatkan orang-orang sebelum kita dari hari Jumaat, maka umat Yahudi memperoleh hari Sabtu, umat Nasrani memperoleh hari Ahad. Lalu Allah mendatangkan kita dan memberi kita hidayah untuk memperoleh hari Jumaat. Maka Allah menjadikan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, dan mereka (umat sebelum kita) berada di belakang kita pada hari Kiamat. Kita datang paling akhir di dunia, tetapi paling awal datang di hari Kiamat yang telah ditetapkan untuk mereka sebelum diciptakan seluruh makhluk.” (Hadis Riwayat Muslim RA)

Hari Jumaat dinamakan sedemikian kerana kalimah “Jumaat” itu berasal dari kalimah Arab “ja-ma-a” yang membawa maksud berkumpul atau berhimpun dan pada hari itu, mengikut Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebut, umat Islam berkumpul di masjid-masjid untuk mendirikan Solat Jumaat. Hari Jumaat ini juga disebut dalam al-Qur’an dalam Surah al-Juma’ah “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli; Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui” (Surah Al-Jumaah 62: Ayat 9)
Allah SWT berkuasa memuliakan sesuatu hari, malam, tempat, kaum dan sebagainya. Misalnya Allah SWT memilih Mekah, Madinah, Kaabah sebagai tempat-tempat mulia. Begitu juga Allah SWT memilih bulan Ramadan sebagai bulan paling mulia, dan malam Lailatul Qadar sebagai malam paling mulia dan kemuliaan-kemuliaan lain yang ditetapkan oleh Allah SWT. Hanya Allah SWT yang berkuasa menganugerahkan kemuliaan-kemuliaan tersebut manakala kita hambanya hanya patuh, akur dan turut sama memuliakan sepertimana yang Allah muliakan. Manusia tidak berkuasa memuliakan makhluk-makhluk mengikut hawa nafsu sendiri tanpa perintah Allah SWT, seperti mana pernah berlaku di zaman nenek moyang kita dahulu apabila ada umat Islam yang memuliakan pokok-pokok besar, dan lain-lain yang kita panggil amalan khurafat.

Selain hari Jumaat sebagai “penghulu” bagi sekalian hari, banyak lagi kelebihan-kelebihan hari Jumaat yang lain. Rasulullah SAW bersabda: “Hari paling baik di mana matahari terbit pada hari itu ialah hari Jumaat, dan pada hari itu Adam AS diciptakan, dan pada hari itu jugalah Adam dimasukkan ke dalam Syurga, dan pada hari itulah dia diturunkan dari Syurga, dan pada hari itulah juga Kiamat akan berlaku. Pada hari tersebut ada suatu waktu di mana tidaklah seorang mukmin berdoa menghadap Allah” (HR. Muslim).

Q 2) Apa antara amalan sunat yang sepatutnya dilakukan pada hari Jumaat

Amalan yang sunat dilakukan bukan bermula pada hari Jumaat sahaja, bahkan pada malam Jumaat lagi kemuliaan dan kebesaran Jumaat telah terasa. Lantaran itu di malam Jumaat kita digalakkan memperbanyakkan ibadat dan sebab itu kita lihat masyarakat kita sejak dahulu lagi hingga hari ini mengambil kesempatan membaca Yasin malam Jumaat di masjid atau di rumah. Walaupun tiada hadith secara khusus yang menyuruh membaca Yasin malam Jumaat, namun ada hadith yang menyuruh membaca Yasin malam hari iaitu hadith yang daripada Sayyidina Jundub RA seperti mana riwayat dalam Sahih Ibn Hibban, dan juga riwayat-riwayat lain yang menyebut, mafhumnya: “Sesiapa yang membaca Yasin pada suatu malam, dengan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan dosa-dosanya”. Walaupun hadith ini tidak menyebut malam Jumaat secara khusus, namun membacanya pada malam Jumaat juga termasuk dalam anjuran umumnya, lalu alim ulama dahulu ingin mendidik masyarakat untuk membesarkan malam Jumaat, dengan tidak membiarkannya berlalu begitu sahaja seperti malam-malam lain dan amalan yang paling mudah, dan ringkas ialah membaca Surah Yasin. Ada yang kata lebih baik baca Surah al-Kahf sebab ada dalil hadith khusus yang menyuruh berbuat demikian. Ya, itu yang lebih baik kalau kita mampu dan ada himmah kerana Surah Yasin hanya 83 ayat dan Surah al-Kahfi sekitar 110 ayat, tak ramai orang yang sanggup untuk duduk membaca masa yang agak lama. Surah Yasin pun tidak ramai yang sanggup membacanya inikan pula Surah al-Kahf. Apapun, surah apa yang ingin dibaca itu terserah yang penting ialah kita hidupkan malam Jumaat itu dengan amal ibadat. Kalau tidak mahu membaca Surah Yasin atau al-Kahfi pun, kita boleh banyakkan Solat Sunat, Solat Taubat, Zikir, dan lain-lain.

Adapun amalan-amalan sunat lain di siang hari Jumaat pula banyak. Antaranya ialah membaca “Astagh firullahal ladzi la ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilahi” sebanyak tiga kali pada Solat Sunat Subuh pagi Jumaat, membaca Surah al-Sajdah pada Solat Subuh pagi Jumaat, membaca Surah al-Imran, Surah al-Kahf, memperbanyakkan selawat, dan bersedekah kepada fakir miskin pada hari Jumaat.

Pada hari Jumaat juga kita digalakkan untuk menjaga dan membersihkan diri kita. Ini menunjukkan agama Islam ini agama yang mementingkan kebersihan dan ketrampilan diri bukan agama yang pengikutnya selekeh, comot dan pengotor. Sebab itu disunatkan pada pagi Jumaat ini mandi Sunat Jumaat, memotong kuku, memotong bulu-bulu kemaluan, misai, ketiak, memakai pakaian bersih dan berwangi-wangian dan seterusnya bergerak awal ke masjid. Dalam sebuah Hadith Nabi SAW ada menyebut: “Tidak mandi seorang lelaki pada hari Jumaat dan membersihkan dirinya sekadar termampu, seterusnya beliau meminyakkan rambut, mengenakan wangi-wangian harum yang dimilikinya di rumah, lantas dia keluar (ke masjid) dan dia tidak mencelah di antara dua orang (di dalam masjid), lalu dia bersolat apa yang diwajibkan ke atasnya. Dan sesudah itu duduk diam sewaktu imam sedang berkhutbah, melainkan diampunkan segala dosanya dari Jumaat tersebut hinggalah ke Jumaat yang akan datang.” (HR Bukhari)

3) Hari Jumaat juga dikatakan mustajab untuk berdoa, boleh Ustaz huraikan.

Ya, dengan segala kemuliaan dan kebesaran hari Jumaat yang dinyatakan sebelum ini, salah satunya termasuklah ada satu detik pada hari Jumaat itu saat yang dimustajabkan doa. Ini berdasarkan hadith Baginda SAW yang mafhumnya, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Pada hari itu (Jumaat) terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah SWT sesuatu kebaikan, melainkan Allah SWT memakbulkan doanya atau ia meminta Allah SWT melindunginya daripada sesuatu kejahatan, melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (HR Tirmidhi).

.
Cuma para ulama berbeza pandangan bilakah masanya pada hari Jumaat itu doa dimakbulkan. Di sana ada beberapa pandangan iaitu pertama ia bermula apabila imam naik di atas mimbar hingga selesai solat Jumaat dan kedua, ada juga yang mengatakan bermula waktu Asar dan hingga terbenam matahari, dan ketiga di akhir waktu Asar. Oleh itu perbanyakkanlah berdoa kepada Allah SWT khususnya pada keadaan-keadaan ini.

4) Biasanya, hari Jumaat dikaitkan dengan golonga lelaki, dengan ibadah wajib menunaikan Solat Jumaat. Boleh ustaz kongsikan , bagaimana golongan wanita masih boleh melipatgandakan dan memanfaatkan hari Jumaat sebaiknya. Ini disebabkan ada golongan wanita yang menghabiskan umpamanya yang bekerjaya, waktu senggang rehat yang lama untuk membeli belah dan lain-lain. Apa saranan ustaz dan pandangan ustaz mengenainya.

Kelebihan hari Jumaat bukan untuk golongan lelaki sahaja walaupun mungkin di sana Solat Jumaat diwajibkan kepada kaum Adam dan tidak kepada kaum Hawa namun untuk bukan bermakna apabila kaum Adam sibuk mengerjakan Solat Jumaat dan mendengar Khutbah, kaum Hawa boleh berfoya-foya membuang masa membeli belah. Walaupun membeli belah tidak diharamkan kepada orang perempuan di ketika orang lelaki Solat Jumaat, cuma takut ada penjual-penjual di kalangan lelaki Muslim yang wajib mendirikan Solat Jumaat tetapi tidak mengerjakan Solat Jumaat, dan kaum wanita yang berurusan berjual beli dengannya dibimbangi takut kaum wanita tersebut dikira bersubahat dan berdosa kerana berurusan dengan orang yang wajib Solat Jumaat dan meninggalkan Solat. Ijma para ulama keempat-empat mazhab iaitu hukum berjual-beli bagi lelaki yang wajib solat Jumaat, selepas azan kedua adalah haram.

Q Apa saranan ustaz dan pandangan ustaz mengenainya.

Saranan saya bagi kaum Wanita ialah gunakan waktu Jumaat itu untuk memperbanyakkan amalan-amalan lain seperti Solat Sunat, membaca al-Qur’an, berzikir, istighfar, selawat, bersedekah dan apa jua amalan-amalan yang mendatangkan pahala di sisi Allah SWT kerana ganjarannya amat besar melakukannya pada hari Jumaat.

Q 5) Apa doa yang boleh diamalkan pada hari Jumaat dan bagaimana kita boleh menggalakkan daripada keluarga hingga kepada pihak insitutsi spt masjid dan surau untuk mengimarahkan kelebihan hari Jumaat ini.

Saya tidak menemui doa yang khusus dianjurkan pada hari Jumaat. Pada pandangan saya apa sahaja doa-doa baik boleh dibacakan dan dipohon pada hari Jumaat ini.

Cara untuk menggalakkan keluarga mengimarahkan masjid pada hari Jumaat ialah bermula daripada pendidikan anak-anak sejak kecil lagi. Anak-anak yang sudah mumayyiz dan berdisiplin perlu dibawa ke masjid dan dibiasakan solat berjemaah di masjid dan dengan itu mereka tidak merasa kekok untuk mengimarahkan masjid pada hari Jumaat. Kelebihan-kelebihan hari Jumaat juga perlu disebarluaskan supaya masyarakat kita tahu dan sedar. Kelebihan Jumaat ini mungkin kurang terasa khususnya di negari-negeri yang Jumaatnya hari bekerja kerana kita pergi solat dari pejabat dengan pakaian pejabat, sedikit berbeza dengan mereka yang negeri bercuti pada hari Jumaat mereka pergi dari rumah dan mempunyai kesempatan untuk memakai pakaian bersih, berwangi-wangian dan sebelum itu menyegarkan badan dengan mandi sunat Jumaat. Wallahu’alam.

[Temubual ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 26 Julai 2019]