Perkataan “cinta” atau “kasih sayang” dalam bahasa Arab disebut dengan beberapa kalimah seperti mana yang sering ditemui dalam al-Qur’an atau al-Hadith seperti kalimah: “hubb”, “mahabbah”, “wudd” (atau mawaddah), dan juga “rahmah”. Kalimah-kalimah ini walaupun jika diterjemahkan ia membawa makna yang hampir sama iaitu “cinta” atau “kasih sayang”, namun ia digunakan biasanya dalam konteks yang berbeza-beza dan mempunyai martabat tertentu atau merujuk kepada kekuatan cinta yang berbeza-beza. Menariknya dalam dalam al-Qur’an kita tidak akan temui ungkapan yang digunakan bagi menunjukkan berlawanan dengan kalimah “cinta” iaitu secara khususnya kalimah “benci”(bugḍ) . Contohnya, seperti ungkapan “Aku (Allah) membenci…” atau “Kami (Allah) membenci sesuatu / seseorang…” samasekali tidak akan kita temui dalam al-Qur’an. Walaupun pada hakikatnya Allah SWT tidak menyukai dan “membenci” sesuatu tindakan atau perilaku seseorang, namun ungkapan “benci” tidak digunakan oleh Allah SWT, sebaliknya Allah mengguna ungkapan “Allah tidak menyukai” seperti mana banyak ditemui ayat-ayat yang berbunyi “inna Allaha la yuhibbu…” yang membawa maksud “sesungguhnya Allah tidak menyukai/ mencintai…” Begitulah indahnya tingginya kasih dan sayang Allah SWT kepada makhluknya hingga kalimah “benci” langsung Allah SWT tidak gunakan untuk merujuk kepada sifat dirinya dalam al-Qur’an walaupun terhadap manusia tidak mentaatiNya atau melakukan maksiat dan penderhakaan kepadaNya yang sepatutnya Dia marah.

Kalimah “rahmah” atau masyarakat Melayu sering menyebut sebagai “rahmat” biasanya merujuk kepada cinta atau kasih sayang yang paling umum dan ia biasanya melata kepada semua makhluk samada manusia mahupun binatang. Penulis tidak bermaksud untuk membahaskan satu persatu perkataan bahasa Arab yang membawa maksud “cinta” itu, cuma sekadar untuk menunjukkan agak banyak kalimah yang membawa maksud itu dalam perbendaharaan kata bahasa Arab dan ia sekaligus melambangkan betapa Allah SWT itu amat menyayangi makhluknya dan Islam itu adalah agama kasih sayang dan bukannya agama keganasan.

Inilah sifat fitrah tabi’i manusia iaitu mempunyai perasaan cinta. Seorang lelaki mempunyai perasaan cinta kepada perempuan dan begitulah sebaliknya. Ibubapa pula mencintai anak-anak dan anak-anak mencintai ibubapa.

Adapun kecintaan yang paling tinggi dan agung sekali dalam Islam sudah pastilah kecintaan kepada Allah SWT. Namun kecintaan kepada Allah tidak dapat tidak hendaklah dengan melalui mengikuti perintah RasulNya SAW sepertimana Firmah Allah SWT dalam Surah al-Imran ayat 31, mafhumnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika benar kamu cintakan Allah maka ikutilah aku (Rasulullah SAW), nescaya Allah akan mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Seterusnya perintah agar mencintai Baginda SAW sepertimana yang disebut dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA yang mafhumnya: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, dan bapanya dan sekalian manusia keseluruhannya”.

Allah juga menjadikan sifat fitrah manusia untuk saling berkasih sayang antara pasangan masing-masing lelaki dan perempuan seperti mana firman Allah dalam Surah al-Rum ayat 21 yang mafhumnya, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

Dalam pelbagai rupabentuk cinta itu, ada satu lagi cinta iaitu cinta kepada tanahair atau disebut sebagai Hubbul Watan. Di kalangan segelintir ulama mereka menganggap kecintaan kepada negara itu hanyalah sifat tabiat insani semata-mata, sepertimana kecintaan-kecintaan kepada hal-hal lain yang bersifat duniawi dan bukannya sebahagian daripada tuntutan agama. Tetapi majoriti ulama samada silam mahupun kontemporari mereka menganggap sebaliknya, iaitu ia merupakan anjuran ajaran Islam berdasarkan pengalaman Nabi SAW dan para sahabat, walaupun di sana tiada dalil khusus yang menuntut agar seseorang itu hendaklah mencintai tanahair.

Dalam kalangan masyarakat Arab ada kata-kata yang mahsyur yang berbunyi “Hubbul Wathan Minal Iman” (Mencintai tanah air adalah sebagian dari iman), sehingga ada yang mendakwa kata-kata ini adalah daripada Baginda SAW. Namun setelah diselidiki dan diperhalusi secara teliti, ramai ulama hadith berpandangan sebaliknya iaitu ianya bukanlah daripada sabda Baginda SAW. Ibnu Hajar al-Asqalani, ulama yang mensyarahkan Sahih al-Bukhari dengan kitabnya Fathul Bari menyebut bahawa walaupun kata-kata ini tidak ditemukan sumbernya daripada hadith Baginda SAW, namun dari segi maknanya ianya sahih kerana ia diamalkan oleh Baginda SAW ketika hayat Baginda SAW. Imam as-Sakhawi dan al-Ajluni yang juga berpandangan yang sama Hubbul Wathan Minal Iman walaupun belum ditemukan sumber hadithnya, namun mencintai tanah air telah diamalkan oleh para sahabat dan Rasulullah SAW

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Rasulullah SAW pernah berdoa mafhumnya, “Ya Allah, jadikan kami mencintai Madinah seperti cinta kami kepada Makkah, atau melebihi cinta kami pada Makkah.” (HR al-Bukhari). Diriwayatkan juga bahawa apabila Rasulullah pulang ke Madinah dari sesuatu perjalanan atau permusafiran, Baginda SAW akan mempercepat perjalanannya menuju Madinah, kerana kecintaan dan kerinduan Baginda SAW terhadap tanah airnya dan ingin sampai cepat ke Madinah.

Banyak juga dalil lain yang menunjukkan kepada kita bahawa mencintai tanahair amat digalakkan dalam ajaran Islam. Hal ini dapat dilihat daripada sebuah hadith ketika Nabi SAW diperintahkan berhijrah ke Madinah dan meninggalkan Mekkah, Baginda SAW menoleh ke Mekah seraya bersabda yang mafhumnya: “Demi Allah engkau (yakni Mekah) adalah sebaik-baik tanah, dan tanah yang paling dicintai Allah SWT. Seandainya aku tidak diusir keluar dari engkau, nescaya aku tidak akan keluar”. Walaupun ada sesetengah minoriti ulama melihat hadith-hadith ini hanyalah merujuk kepada kelebihan bumi Mekah (fadl al-Makkah) dan bumi Madinah semata-mata dan bukannya daripada aspek tuntutan kecintaan kepada tanahair, tetapi majoriti ulama masih berpandangan bahawa ianya masih boleh diqiyaskan kepada tempat-tempat lain yang menjadi tanahair seseorang kerana berdasarkan amalan Nabi Muhammad SAW dan para Sahabat RA yang jelas menunjukkan bahawa mencintai negara itu merupakan sifat semula jadi yang ada dalam diri manusia dan sangat dianjurkan dalam Islam.

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan

#Rencana ini disiarkan dalam akhbar Berita Harian 31.8.2019