Imam al-Ghazali (w.505/1111M) menyebut dalam kitabnya Ayyuhal Walad ketika menasihati muridnya dengan berkata: “dan engkau bertanyakan kepadaku tentang ikhlas, maka ikhlas itu bahawa engkau menjadikan segala amalanmu hanya untuk Allah Ta’ala dan hati engkau tidak merasa senang dengan pujian manusia dan engkau tidak peduli dengan kecaman mereka”.

Ikhlas ialah ungkapan yang sering keluar daripada mulut kita namun hakikat sebenarnya hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui adakah pertuturan dilidah itu selari dengan apa yang tersemat dalam hati. Kerana ikhlas itu bukan perbuatan zahir yang nampak dilihat tetapi ikhlas itu tersembunyi dalam hati-hati manusia yang hanya pemilik hati dan Allah SWT mengetahuinya. Ikhlas berasal daripada kalimah “kha-lam-sad” yang membawa maksud “kosong, bersih, bebas, tidak bercampur, jernih”.

Menariknya apabila kita merenung ayat al-Qur’an, kalimah “khalasa” ini digunakan bersama kalimah susu untuk menggambarkan kualiti susu yang bukan sahaja diketahui bersih tetapi ia juga asli tidak bercampur atau tercemar padahal kedudukan susu tersebut dalam perut haiwan di antara [tempat] najis yang kotor (farth) dan juga darah (damm). Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 66 yang mafhumnya berbunyi: “kami memberimu minum daripada apa yang ada dalam perutnya iaitu susu bersih (labanan khalisan) di antara kotoran najis dan darah”

Dalam penciptaan haiwan ternak “al-an’am” (merujuk kepada haiwan seperti lembu, biri-biri dan unta) itu terdapat banyak ‘ibrah atau pengajaran yang boleh dikutip sepertimana yang disebutkan oleh Allah SWT di awal ayat 66 Surah al-Nahl itu, di mana salah satunya ialah bagaimana kejadian susu haiwan yang terletak di antara dua bahagian kotor dan najis, namun mampu menghasilkan susu yang suci bersih dan enak diminum tanpa kotor dan tidak juga berbau yang tidak enak.

Di sinilah para ulama’ menyebut bandingan “susu yang suci bersih” (labanan khalisan) itu juga boleh disamakan dengan keadaan kualiti ikhlas seseorang itu. Imam Shaqiq al-Balkhi apabila ditanya tentang ikhlas, beliau menjawab, “ikhlas itu membezakan antara amalan sempurna [diterima] daripada kecacatan [disebabkan riya’ dll] sepertimana susu yang suci bersih itu wujud di antara darah dan kekotoran”.

Kedudukan susu dalam kantung susu haiwan dalam tertutup dan terlindung daripada najis dan darah itu juga perlambangan kepada amalan kita yang sepatutnya kita tutup dan sembunyikan daripada pengetahuan manusia dan dengan cara itulah amalan tersebut menjadi suci bersih, murni dan tidak tercemar seperti susu itu tadi yang tidak kotor oleh darah mahupun najis di sekeliling. Amalan jika didedahkan akan mudah tercemar dengan riya’ sepertimana susu dalam perut haiwan itu jika terdedah nescaya akan kotor bercampur najis dan darah dan tidak boleh diminum lagi.

Allah SWT menuntut hambaNya ikhlas beribadat kepadaNya dan tidak mensyirikkanNya. Syirik atau mempersekutukan Allah SWT ada dua makna, pertama syirik dalam akidah dalam erti kata menyembah selain Allah SWT seperti menyembah patung-patung berhala seperti yang dilakukan oleh penganut agama-agama lain iaitu yang menyembah “tuhan” selain Allah. Syirik ini panggil Syirik Jali atau Syirik Terang (Nyata). Kedua, syirik juga merujuk kepada melakukan amalan ibadat tetapi bukan kerana mencari keredhaan Allah SWT tetapi matlamat-matlamat lain selain Allah SWT. Syirik ini dipanggil Syirik Khafi atau Syirik Tersembunyi, disebut juga Syirik Kecil. Antara yang biasa dilakukan manusia ialah melakukan amalan kebaikan untuk dilihat oleh orang lain dan menunjuk-nunjuk (riya’); atau suka dipuji oleh manusia dan suka mendengar pujian manusia (sum’ah); atau melakukan amalan ibadat dan merasakan bangga dan kagum dengan diri sendiri seolah kita lebih baik daripada orang lain (ta’ajub).

Ulama turut membahaskan situasi jika niat seseorang itu bercampur (niyyat mushtarakah) seperti niat asalnya kerana Allah SWT, tetapi kemudian berubah kepada duniawi adakah amalannya diterima Allah SWT? Kebanyakan pendapat mengatakan amalan tersebut ditolak (mardud) dan tidak dikira ikhlas dan oleh kerana itu kita dianjurkan untuk sentiasa menjaga niat dari awal lagi hingga akhir supaya sentiasa ikhlas mencari keredhaan Allah SWT. Ada ketikanya seseorang itu ikhlas pada peringkat awal, tetapi lama-kelamaan godaan iblis dan nafsu menyelinap masuk ke dalam hatinya, menimbulkan was-was dan mengaburi niatnya hingga rosak niat asalnya lalu bertukar kepada niat berkehendakkan duniawi.

Imam al-Ghazali dalam kitab Ayyuhal Walad turut menjelaskan punca seseorang itu timbul dalam hatinya perasaan riya’ adalah kerana mereka mengagungkan manusia berlebihan sehingga meletakkan manusia itu mampu untuk memberi manfaat kepada mereka sedangkan dalam akidah kita Ahlul Sunnah wal Jamaah hanya Allah SWT sahaja yang mampu memberi manfaat dan mudarat. Disebabkan pengagungan itu, mereka ingin mencari kemuliaan di sisi manusia dengan mengenepikan kemuliaan yang sepatutnya mereka raih daripada Allah SWT. Untuk menghilangkan perasan riya’, Imam al-Ghazali menyarankan agar kita tanamkan dalam hati kita bahawa manusia di sekeliling kita itu tidak agung dan mereka hanyalah seperti makhluk-makhluk yang tidak bernyawa (jamādāt) seperti batu-batu, atau pokok-pokok yang tidak mampu memberi apa-apa manfaat dan kemuliaan kepada kita, nescaya dengan perasaan itu kita akan mampu untuk cuba menjadi ikhlas hanya kepada Allah SWT.

Pernah diriwayatkan seorang lelaki yang suka menunjuk-nunjuk amalannya pada suatu hari sedang dia solat Sunat dalam sebuah masjid sendirian, tiba-tiba beliau terdengar pintu masjid dibuka. Lalu beliau pula mula memanjangkan solatnya, memperelokkan rukunnya, melamakan sujudnya dan melakukan terbaik dengan harapan orang yang masuk itu tadi akan memuji-muji dan memandang tinggi terhadap ibadatnya. Setelah memberi salam, lelaki tersebut menoleh ke belakang dan terlihat olehnya seekor kucing. Rupanya-rupanya pintu itu tadi ditolak oleh seekor kucing dan bukannya manusia seperti sangkaannya. Lalu menyesallah dia menginsafi apakah faedahnya yang dia peroleh untuk menunjuk-nunjuk amalannya hanya kepada seekor kucing dan bukan kepada Allah SWT yang sepatutnya.

Dalam satu hadith yang panjang daripada Abu Hurairah RA, Baginda SAW menyebut tentang tiga golongan yang diazab di Hari Akhirat kelak kerana riya’, mafhumnya:
“Sesungguhnya manusia paling awal yang akan dihisab urusannya pada Hari Kiamat kelak adalah seorang lelaki yang mati syahid, lalu dia didatangkan ke sisi Allah dan diperingatkan dengan segala nikmat-nikmatNya (yang telah diberikan kepadanya) maka diapun mengakuinya. Allah berfirman, “Lalu apa yang kamu perbuat dengan nikmat-nikmat tersebut?” dia menjawab, “Aku berperang di jalan-Mu sampai aku mati syahid.” Allah berfirman, “Kamu berdusta, akan tetapi sebenarnya kamu berperang agar kamu dikatakan seorang pemberani, dan kamu telah dikatakan seperti itu (di dunia).” Kemudian diperintahkan agar dia diseret di atas wajahnya sampai dia dilemparkan masuk ke dalam neraka.

Dan (orang kedua adalah) seseorang yang mempelajari ilmu (agama), mengajarkannya, dan dia membaca (menghafal) Al-Qur`an. Maka dia didatangkan lalu Allah mengingatkan nikmat-nikmatNya (yang telah diberikan kepadanya) maka diapun mengakuinya. Allah berfirman, “Lalu apa yang kamu perbuat dengannya?” dia menjawab, “Aku mempelajari ilmu (agama), mengajarkannya, dan aku membaca Al-Qur`an karena-Mu.” Allah berfirman, “Kamu berdusta, akan tetapi sebenarnya kamu menuntut ilmu agar kamu dikatakan seorang alim dan kamu membaca Al-Qur`an agar dikatakan, “Dia adalah qari`,” dan kamu telah dikatakan seperti itu (di dunia).” Kemudian diperintahkan agar dia diseret di atas wajahnya sampai dia dilemparkan masuk ke dalam neraka.

Dan (yang ketiga adalah) seseorang yang diberikan keluasan (harta) oleh Allah dan Dia memberikan kepadanya semua jenis harta. Maka dia didatangkan lalu Allah mengingatkan nikmat-nikmatNya (yang telah diberikan kepadanya-pen) maka diapun mengakuinya. Allah berfirman, “Lalu apa yang kamu perbuat padanya?” dia menjawab, “Aku tidak menyisakan satu jalanpun yang Engkau senang kalau seseorang berinfak di situ kecuali aku berinfak di situ untuk-Mu.” Allah berfirman, “Kamu berdusta, akan tetapi sebenarnya kamu melakukan itu agar dikatakan, “Dia adalah orang yang dermawan,” dan kamu telah dikatakan seperti itu (di dunia).” Kemudian diperintahkan agar dia diseret di atas wajahnya sampai dia dilemparkan masuk ke dalam neraka.” (HR. Muslim No. 1905).