Hormati Fatwa Pihak Berkuasa Agama

Hormati Fatwa Pihak Berkuasa Agama

Print Friendly, PDF & Email

Akhir-akhir ini semakin kerap kita melihat polemik yang timbul di kalangan ilmuwan dan para asatizah berhubung sesuatu isu hingga menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat awam siapakah yang perlu diikuti dalam permasalahan tersebut. Apa yang lebih mendukacitakan kita lagi apabila fatwa-fatwa yang telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Negeri atau Muzakarah Fatwa Kebangsaan pun tidak diendahkan oleh segelintir masyarakat dengan memilih untuk mendengar pandangan-pandangan yang diberikan oleh segelintir ilmuwan atau asatizah pilihan mereka sehingga menimbulkan polemik dan kekeliruan pandangan siapakah yang harus diikuti.

Kita mendengar berhubung dengan beberapa pandangan yang cuba menimbulkan keraguan terhadap status “kehalalan” vaksin COVID-19 yang akan tiba ke tanahair sedikit masa lagi. Ia sudah tentu menambahburukkan lagi persepsi terhadap COVID-19 yang telah selama ini diselubungi dengan pelbagai persoalan berhubung punca munculnya virus ini samada sebenarnya daripada makmal senjata bio-teknologi di China, atau makanan eksotik dari Pasar Basah Wuhan, selain pelbagai teori konspirasi lain seperti dibawa oleh kumpulan Iluminati, Yahudi-Zionis, China dan bermacam-macam lagi.

Kedudukan penggunaan vaksin COVID-19 di kalangan umat Islam di negara ini sepatutnya tidak berbangkit apabila Sahibus Samahah Datuk Mufti Wilayah Persekutuan sudah pun mengeluarkan fatwa berhubung dengan perkara ini baru-baru ini di mana hukumnya adalah Harus dan Wajib bagi golongan yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Harus bagi seluruh umat Islam manakala Wajib adalah bagi mereka yang ditetapkan oleh kerajaan seperti golongan barisan hadapan (frontliners) dan lain-lain yang berisiko tinggi untuk dijangkiti.

Hukum tersebut merupakan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Bil.2/2021 yang telah bersidang pada 11 Februari 2021 yang juga selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 yang bersidang pada 3 Disember lalu. Hukum itu bukan hasil pemikiran oleh seorang invidivu tertentu samada mufti atau sesiapa, tetapi oleh sekumpulan para ulama dan ilmuwan yang bijaksana yang menguasai pelbagai disiplin ilmu-ilmu Islam dengan disokong oleh pakar-pakar perubatan dengan fakta-fakta sains juga dengan mengambil masa lama untuk meneliti kesan dan akibat, baik dan buruk, maslahah dan mudarat vaksin tersebut terhadap masyarakat umat Islam khususnya, sebelum mengeluarkan fatwa berkenaan.

Jika sekalipun wujud perbezaan pandangan antara alim ulama dalam sesuatu perkara dengan pihak berkuasa agama sesebuah negeri atau negara, namun keputusan pemerintah (ulil al-amri) hendaklah mendahului keputusan individu ulama tersebut demi menjamin kemaslahatan masyarakat keseluruhannya.

Dalam mengeluarkan hukum Harus tersebut, prinsip utama yang ditekankan oleh pihak berkuasa agama ialah kepentingan menjaga nyawa yang merupakan Matlamat Syariat (al-Maqasid al-Shariah) tertinggi sekali yang mengatasi sekalian matlamat yang lain. Bahkan dalam keadaan terdesak nyawa boleh terancam jika sesuatu yang yang haram tidak dilakukan, maka yang haram itu boleh dibenarkan berdasarkan kaedah “darurat mengharuskan sesuatu yang dilarang” dan “keadaan darurat itu ditentukan mengikut kadarnya sahaja,” untuk sekadar berpada meneruskan hidup.

Wabak pandemik virus COVID-19 ini telah meletakkan kita umat Islam dalam situasi darurat yang amat, dan setakat makalah ini ditulis seramai 2,430,794 telah meninggal dunia akibat virus ini di seluruh dunia dengan seramai hampir 1,000 orang daripada jumlah tersebut adalah dari negara kita. Jika sekalipun dikhuatiri bahawa dalam vaksin tersebut mengandungi gelatin atau dari bahan bersumberkan najis, namun hal kemungkinan sedemikian sudah pun diteliti oleh para ilmuwan kita dan banyak sekali pandangan-pandangan para alim-ulama berhubung silam yang muktabar dengan keharusan menggunakan bahan tercemar dengan najis khususnya jika situasi darurat dan tiada cara lain yang boleh dilakukan lagi. Apatah lagi pada saat ini belum dapat dipastikan adakah vaksin COVID-19 yang akan tiba di Malaysia merupakan produk yang mengandungi gelatin yang tidak halal. Pandangan Imam al-Nawani dalam Raudat at-Thalibin wa Umdatu al-Muftin misalnya menyebut sesuatu yang masih tidak jelas samada bernajis atau suci, maka hukumnya ditetapkan seperti asalnya, iaitu suci.

Negara jiran seperti Singapura misalnya, Mufti Singapura Dr Nazirudin Mohd Nasir, menyeru umat Islam di negara berkenaan agar jangan ragu-ragu untuk mengambil vaksin COVID-19 ini, dan tidak perlu mempersoalkan status halal atau tidak vaksin tersebut kerana prosedur tertentu sudah pun diambil kira. Begitu juga dengan Indonesia, Ketua Umum Nahdatul Ulama Indonesia (NU), KH Said Agil Sirajd menyeru agar umat Islam tidak ragus-ragu untuk mengambil vaksin COVID-19 ini. Ujar beliau:

“Jangan disangka saya dibayar untuk bercakap seperti. Tidak, ‘wallahi’ tidak, tetapi betul-betul demi keselamatan kita semua. Virus corona itu ada dan bahaya. Maka, ayuh kalau ada vaksin nanti pertengahan Mac kita jayakan vaksinasi ini. Saya bercakap sebegini bukan dibayar, bukan kita pro-pemerintah, tetapi betul-betul ingin menyelamatkan kita semua. Wahai kiai-kiai, ustaz-ustaz, para pengurus NU, COVID-19 itu ada dan membahayakan,” katanya.

Majlis Fatwa Emiriyah Arab Bersatu (UAE), yang dipengerusikan oleh ulama tersohor dunia, Sheikh Abdullah ben Bayyah, juga menyebut bahawa sekiranya tiada pilihan lain berubat dengan vaksin yang mengandungi gelatin yang tidak halal sekalipun, adalah dibenarkan demi menyelamatkan nyawa yang merupakan matlamat yang lebih tinggi lagi. Pihak Darul Ifta’ Mesir juga menyuarakan hal yang sama, iaitu keharusan berubat demi menyelamatkan nyawa selagi tiada ubat lain yang boleh.

[Rencana ini telah disiarkan dengan suntingan dalam akhbar Utusan Malaysia, 19.2.2021]

Comments are closed.