GANJARAN PAHALA SAMA KERANA MASYAQQAH

GANJARAN PAHALA SAMA KERANA MASYAQQAH

Alhamdulillah kita sekali lagi diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk memasuki di bulan Ramadan, bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan. Berapa ramai di kalangan kita yang begitu ingin untuk sampai ke bulan Ramadan dan meraih segala kelebihannya namun tidak diizinkan oleh Allah SWT. Di musim seluruh dunia dilanda wabak COVIC-19 ini, kematian tidak lagi boleh diduga. Ketika rencana ini ditulis, dianggarkan hampir 3 juta penduduk dunia didapati positif COVIC-19, dengan hampir mencecah 200,000 kematian. Ramai di kalangan mereka ini adalah insan-insan yang dalam keadaan sihat walafiat sebelum itu dan tidak pernah menduga bahawa mereka akan dijangkiti COVIC-19, tetapi ketentuan Allah SWT mengatasi segala-galanya. Mereka dijangkiti virus pembunuh ini dan biasanya dalam sekitar masa dua minggu atau sebulan, mereka yang gagal pulih khususnya daripada kalangan mereka yang sudah mempunyai penyakit-penyakit kritikal seperti kencing manis, darah tinggi dan berusia, akan semakin teruk dan seterusnya meninggal dunia.

Tahun inilah pertama kali kita di Malaysia, dan di sebahagian besar negara-negara Islam di dunia ini yang menyambut Ramadan dalam keadaan pergerakan kita dikawal atau disebut Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), atau “lockdown” di sesetengah negara, dan Perdana Menteri Malaysia mengumumkan baru-baru ini demi keselamatan rakyat, PKP disambung lagi hingga 12 Mei 2020. Walaupun kerajaan menyedari negara akan kerugian berbillion ringgit ekoran PKP ini, dan turut akan menyusahkan rakyat dalam meneruskan kehidupan mereka secara normal namun keselamatan setiap individu mengatasi segala kepentingan ekonomi dan kebendaan. Alhamdulillah, rakyat di negara kita juga majoritinya patuh dengan perintah ini walaupun terpaksa hidup dalam kesusahan seketika kerana akhirnya yang utama dalam kehidupan kita hakikatnya ialah “kesihatan” dan keselamatan” nyawa kita sendiri. Tiada guna wang ringgit yang melimpah ruah jika akhirnya tidak dapat digunakan kerana sakit atau mati. Seperti yang sering disebut, wang boleh dicari ganti tetapi nyawa sekali hilang tidak boleh diganti. COVID-19 ini mampu membunuh dan malangnya tiada vaksin lagi sehingga ke hari ini.

Walaubagaimanapun, kehadiran Ramadan dalam suasana PKP kerana COVIC-19 ini dengan masjid dan surau ditutup, bukanlah bermakna kita tidak mampu meraih ganjaran yang besar seperti mana Ramadan-Ramadan lalu walaupun banyak yang tidak lagi mampu kita lakukan di masjid-masjid seperti mendirikan Solat Terawih berjemaah di masjid, Iktikaf di masjid, atau Solat Masjid lima waktu di masjid dan amalan-amalan lain yang dapat dilakukan di masjid sekiranya selama ini ketika sebelum muncul wabak COVIC-19 ini, kita dengan penuh istiqamah telah melazimi melakukan amalan-amalan tersebut di masjid.

Ada sepotong hadith daripada Baginda SAW menyebut kisah seorang sahabat bernama Abu Burdah bin Abu Musa RA yang telah menemani Yazid bin Abu Kasyabah RA dalam suatu perjalanan, dan pada waktu itu Yazid sedang berpuasa. Abu Burdah berkata Yazid: “Saya berkali-kali mendengar Abu Musa berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Apabila seorang hamba sakit atau dalam menempuh perjalanan, maka dicatat baginya pahala kebaikan sebagaimana ketika dia bermukim dan dalam keadaan sihat”.  إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا (HR Bukhari 2863; Ahmad No: 18848).

Para ulama mengambil pengajaran daripada hadith ini iaitu merumuskan bahawa jika seseorang itu sentiasa istiqamah ketika sihatnya atau ketika bermukimnya melakukan sesuatu amalan soleh tetapi tiba-tiba beliau jatuh sakit, atau terpaksa menempuh perjalanan bermusafir sehingga menyukarkannya melakukan amalan sama yang sudah sebati dengan kehidupannya itu, maka Allah SWT akan tetap memberinya ganjaran seperti mana dia melakukan amalan tersebut walaupun dia tidak dapat lagi melakukannya seperti kelazimannya kerana ditimpa sakit atau musafir itu. Dalam hadith itu, walaupun seorang itu terpaksa berbuka puasa kerana musafir (bukan bertujuan maksiat) yang menyukarkan perjalanannya, namun dia tetap mendapat pahala kerana sekiranya dia bermukim beliau pasti akan berpuasa seperti kelaziman. Begitu juga kita boleh qiyaskan ketidakmampuan kita untuk pergi ke masjid bagi tujuan Solat Terawih berjemaah, atau iktikaf, atau Solat berjemaah, atau Solat Jumaat disebabkan masjid ditutup kerana COVIC-19, sedangkan selama ini dalam keadaan biasa kita adalah orang yang istiqamah dan tidak pernah meninggalkannya, maka bersabar dan bertenanglah kerana ganjaran yang sama daripada Allah akan kita peroleh seperti mana kita melakukannya. Walaupun kita bukan sakit atau musafir, tetapi kesusahan (masyaqqah) telah wujud seperti mana juga kesusahan bagi orang sakit dan musafir, sehingga tidak membenarkan kita melakukan amalan yang sama, maka nescaya Allah SWT Yang Maha Pemurah akan tetap memberikan pahalanya kepada kita seperti mana janji Baginda SAW itu tadi. Justeru itu, bertetaplah kita di rumah mematuhi perintah Ulil Amri, bersabarlah melakukan ibadah-ibadah di bulan Ramadan ini di rumah sendiri buat sementara waktu sehingga wabak yang melanda negara kita ini berlalu dengan segera dan kita akan dapat kembali melakukan ibadat terawih di masjid, iktikaf sepertimana kelaziman kita setiap tahun. Moga-moga Allah angkat wabak yang melanda negara kita dan seluruh dunia segera.

Dr. Nik Roskiman Abdul Samad
Felow Kanan
Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

[Makalah yang telah disunting telah diterbitkan dalam ruangan Tinta Minda, BERNAMA.com pada 29 April 2020. Ini merupakan makalah asal]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site is protected by reCAPTCHA and the Google Privacy Policy and Terms of Service apply.