Kembali Blogging 2020

Kembali Blogging 2020

Assalamu’alaykum wrt.wbh. semua,

Saya telah beberapa bulan tidak aktif di facebook dan rasa tenang daripada membaca perbalahan politik yang tidak berkesudahan. Tidak dinafikan banyak juga manfaat di facebook khususnya bagi yang pandai menjaga masa dan lebih berdisiplin memilih apa yang perlu dibaca. Saya tidak begitu disiplin dan membaca apa sahaja yang nampak menarik sehingga ada kalanya akhirnya menganggu emosi apabila penulisan itu sifatnya seperti memperbodohkan orang lain. Lalu apabila saya menulis reaksi balas jiwa akan menjadi lebih kecamuk dan serabut pula, baik ditinggalkan saja alam facebook, jika tidak selamanya pun sekurangnya sementara. Saya rasa ingin kembali menulis di Blog kerana ia lebih bermanfaat dan kekal lama. Lagipun blog roskiman.com ini agak jarang dikemaskini, namun saya dapati blog ini setiap hari masih menerima kunjungan yang agak ramai sehingga beberapa ratus orang secara puratanya sehari dan ribuan dalam sebulan. URL web roskiman.com ini sebenarnya telah saya bangunkan ketika mula-mula bertugas di UIAM sekitar tahun 2000 bagi memuatkan nota-nota dan rujukan untuk para pelajar saya, namun sekitar 2009 ianya ditukar sebagai blog. Blogging ini sebenarnya baik untuk latihan akademik kerana ia melatih banyak perkara. Descartes pernah berkata: “I Think, therefore I Am”. Di kalangan blogger “I blog, therefore I am”.

Semenjak berkhidmat di Radio sejak tahun 2010, masa sangat terbatas untuk terlibat dalam penulisan kreatif kerana sibuk dengan Pengurusan dan Pentadbiran. Kini tidak lagi dan telah kembali ke dunia akademik. Insya Allah, untuk kehadiran 2020 ini, jika diizinkan Allah SWT: usia panjang dan masa terluang, saya akan cuba untuk lebih kerap berkongsi pandangan-pandangan terhadap isu-isu yang berkenaan. Sesuai dengan nama platfom ini blog, coretan juga tidaklah terlalu ilmiah tetapi ada kalanya santai atau separa-ilmiah untuk isu-isu yang berat dan memerlukan menghujahan. Moga-moga penulisan di sini bermanfaat, tidak dikira sia-sia dan membuang masa di sisi Allah SWT.

Saya juga mula mewujudkan kedai online yang tidak seberapa khususnya untuk menempatkan buku-buku yang saya dapati amat baik untuk turut dimiliki oleh teman-teman pembaca. Bukan sangat bertujuan asal untuk berniaga tetapi untuk memudahkan mereka yang berminat. Boleh layari di shop tersebut di URL ini: https://roskiman.com/product-category/buku/

Selamat Tahun Baru 2020!

Comments are closed.