Benarkah Ciri-Ciri Tasawuf Wujud Sejak Zaman Nabi SAW Lagi?

Benarkah Ciri-Ciri Tasawuf Wujud Sejak Zaman Nabi SAW Lagi?

Print Friendly, PDF & Email

Benar dan bukti-bukitnya terlalu banyak kerana tasawuf seperti yang dijelaskan merupakan 1/3 daripada juzuk ajaran Islam selain Aqidah dan Fekah seperti mana yang dijelaskan dalam “Hadith Jibrilsebelum ini. Tanpa tasawuf, maka tidak lengkaplah Islam seseorang itu kerana Islam itu tiga dimensi: Aqidah, Fekah dan Tasawuf. Justeru kerana itu kita harus benar-benar jelas  apakah yang dimaksudkan dengan istilah “tasawuf” itu.  Jika sekiranya Rukun Islam dalam Hadith Jibril itu kemudiannya berkembang menjadi Ilmu Fekah, Rukun Imam pula menjadi Ilmu Aqidah atau Tauhid, maka Ihsan pula berkembang menjadi Ilmu Tasawuf. Dalam konteks ini tasawuf itu sebahagian daripada ajaran Islam. Tasawuf itu memberi makna seperti di bawah ini iaitu membicarakan aspek batin atau rohaninya seseorang itu yang tidak dibicarakan dalam Ilmu Fekah mahupun Ilmu Tauhid. Oleh kerana itu, semangat atau ciri-ciri tasawuf itu sememangnya bukan sahaja wujud bahkan sebati dalam kehidupan Baginda SAW dan Para Sahabat generasi awal Islam, iaitu seperti antaranya:

  • Ikhlas, hanya mengharapkan keredhaan Allah (sidq tawajjuh ila Allah);
  • Kecintaan kepada Akhirat Melebihi Dunia;
  • Zuhud dan Tidak Cintakan Dunia;
  • Akhlak mulia, seperti menahan marah, Ithār (mendahului orang lain) dll.;
  • Khusyuk.

Baginda SAW dan Para Sahabat Ranhum semuanya fokus menjadikan Allah SWT sebagai matlamat utama kehidupan dan meletakkan Akhirat sebagai tempat kembali yang kekal abadi adapun dunia hanyalah tempat sementara sahaja. Mereka semua generasi yang ikhlas dalam melakukan amal perbuatan menuntut keredhaan Allah. Begitu juga mereka bukan golongan yang cintakan dunia sebaliknya bersifat zuhud, iaitu mengambil dunia hanya sekadar keperluan. Ini ditunjukkan oleh Baginda SAW walaupun Baginda SAW boleh memiliki emas-emas seperti mana yang dinyatakan oleh beberapa riwayat hadith, antaranya apabila Sayyidina Jibril AS mendatangani Rasulullah SAW seraya berkata:

“Sesungguhnya Allah memberi salam kepadamu dan berkata, apakah engkau mahu aku jadikan gunung ini emas dan gunung ini selalu bersamamu ke mana engkau pergi?” Lalu Rasulullah SAW  diam dan menundukkan kepalanya sejenak, seraya bersabda (mafhumnya): “Wahai Jibril sesungguhnya dunia ini adalah rumah bagi siapa yang tidak punya rumah dan harta bagi siapa yang tidak punya harta, dan tempat berkumpul yang tidak mempunyai akal”. Kemudian Jibril berkata: “Ya Muhammad, Allah telah menguatkan engkau dengan perkataan yang benar”.

Hadith daripada Umar ibn al-Khattab yang masuk ke rumah Rasulullah SAW dan mendapati beliau baru bangun daripada tidur dan di belakang badan Nabi SAW terdapat kesan bekas tikar kasar yang dijadikan alas tidurnya. Melihat keadaan itu Umar menangis lalu ditanya oleh Baginda SAW “Saya teringat dengan Kaisar Rom dengan kemewahan kerajaannya, Hurmuz dengan kebesaran kerajaannya  dan Raja Habsyah dengan kebesaran kerajaannya, sementara engkau merupakan utusan Allah SWT hanya tidur di atas tikar yang diperbuat daripada daun tamar yang kasar. Rasulullah SAW menjawab “ tidakkah engkau reda bahawa mereka memiliki dunia sementara kita memiliki Akhirat? (HR Ibn al-Mundhir daripada Ikrimah). Begitu juga dengan Sayyidina Umar ibn al-Khattab RA sendiri dikatakan memiliki sehingga 12 tampalan pada jubahnya ketika menyampaikan khutbah. Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq pula menginfaqkan keseluruhan hartanya pada jalan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda kepada Bilal:  أَنْفِقْ بِلالُ وَلا تَخْشَ مِنْ ذِي الْعَرْشِ إِقْلالا (“Bersedekahlah wahai Bilal!  janganlah engkau takut kefakiran daripada Tuhan Pemilik Arasy”).  Ini semua ciri-ciri orang yang mencintai Akhirat melebihi kecintaan mereka kepada dunia dan meletakkan Allah SWT sebagai matlamat hidup.

Begitu juga dengan berakhlak mulia, rata-rata Para Sahabat Ranhum berakhlak mulia dan Rasulullah SAW sendiri memiliki akhlaq yang paling agung (Surah al-Qalam 68:4). Daripada Abu Hurairah RA berkata Rasulullah SAW telah bersabda (mafhumnya): “Bukanlah orang yang kuat itu yang dapat membanting lawannya, kekuatan seseorang tetapi yang disebut orang kuat adalah orang yang dapat menahan hawa nafsunya pada waktu marah.” (Bukhari & Muslim)

Comments are closed.