Pelbagai takrifan diberikan oleh para ulama tentang tasawuf melihat daripada perspektif yang berbeza-beza. Ulama Parsi Suhrawardi (w.1191M) misalnya dalam kitabnya ‘Awārif al-Ma’ārif  menyebut di sana ada lebih daripada 1,000 definisi tasawuf, manakala Sidi Ahmad Zarruq pula menyebut ada lebih 2,000 takrifan. Ada yang melihat tasawuf dari aspek zuhud, mujahadah, akhlak dan lain-lain. Perbezaan itu lebih kepada penekanan sahaja dan  dan perspektif yang berbeza namun ia membawa makna yang hampir sama saling melengkapi dan menyempurnakan. Sheikhul Islam Imam Zakariya al-Ansari RA (w.1520M) yang menjadi Qadi di Mesir selama 20 tahun, pengarang banyak kitab-kitab fekah dan tasawuf yang menjadi rujukan kita hingga ke hari ini seperti Manhajul Tullab, Fathul Wahhab, Tuhfatul Tullab, dan syarah kepada Imam al-Qusyairi Risalah fi al-tasawuf memberikan definisi tasawuf sebagai: “tasawuf itu ialah seseorang itu membersihkan dirinya, memperelokkan akhlaknya, dan membina zahir dan batin bagi mencapai kebahagian abadi yang berkekalan. Tumpuannya ialah pada menyucikan hati”. Sidi Zarruq menyebut tasawuf itu ialah “benar menuju kepada Allah SWT”. Definisi yang paling mudah difahami telah diberikan oleh seorang tokoh ilmuwan nusantara yang terkenal, Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menyimpulkan dengan sangat baik makna tasawuf ini dengan berkata: “Tasawuf itu ialah mengamalkan syariat pada maqam Ihsan[1]

[1] “The practice (aʿmāl) of the sharīʿah at the station (maqām) of excellence (iḥsān), Syed Muhammad Naquib al-Atts, (Kuala Lumpur: Islamic Academy of Science, 1981), 1.

Category : Q&A