Tahun ini 31 Ogos disambut dalam bulan Ramadhan. Bulan yang mendidik manusia agar merdeka dari sebarang bentuk penghambaan. Bulan Ramadhan juga dikenali sebagai “Bulan Ihsan” kerana kita berlapar dan dahaga hanya kerana Allah dan menyedari Allah sentiasa melihat kita. Orang yang lemah iman pun di bulan ini jarang yang sanggup untuk makan atau minum curi-curi kerana tahu Allah melihat.
Kenapa kita hanya merasakan Allah melihat dalam hal makan dan minum sahaja tidak dalam perkara-perkara lain.
- ada yang terus menerus memakan rasuah
- ada yang mencuri waktu pejabat untuk urusan peribadi
- ada yang mencuri hartabenda pejabat untuk urusan peribadi
- claim overtime untuk kerja yang tak dibuat pun.
- ada di antara kita yang punch card / thumb print tetapi hilang entah ke mana.
Sama-samalah kita merdekakan diri kita semua dengan menyakini bahawa kebaikan dan keburukan yang kita lakukan walau sebesar zarrah sekalipun, tidak akan terlepas begitu sahaja melainkan ianya diganjari pahala atau dihukum berdosa dan seksa kelak, walaupun tiada siapa yang menyedarinya.
Intisari dari apa yang diungkapkan oleh Rabi’ bin Amir pernah menyebut kepada Panglima Rustam, pemimpin tentera Parsi boleh dijadikan sebagai intipati dalam menyambut kemerdekaan:
pembebasan manusia dari menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah Yang Esa;
pembebasan dari kesempitan dunia kepada akhirat yang luas;
Saya tertarik membaca tulisan tokoh korporat yang banyak berjasa kepada negara, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, yang berjudul Khalifah Ganti Superman. Tulisan tersebut jelas membayangkan kebimbangan beliau terhadap penggantinya yang mungkin datang dari luar dan tidak memahami Nilai Budaya Organisasi sebesar JCorp itu.
Sayang orang sehebat Tan Sri Ali Hashim terpaksa berundur dari terus meningkatkan kecemerlangan satu-satunya konglomerat yang dipimpin oleh orang Islam lantaran ‘suasana persekitaran yang tidak lagi kondusif’.
Umum mengetahui bahawa Tan Sri Ali seorang yang tegas dan professional dalam urusan bisnes selama beliau menerajui JCorp dan ketegasan beliau selama 28 tahun itulah yang menjadikan JCorp sepertimana hari ini. Jauh berbanding mana-mana syarikat milik SEDC mana-mana negeri lain di Malaysia yang hidup segan mati tak mahu.
Kelebihan JCorp seperti yang beliau ungkapkan dalam rencana berkenaan kerana ianya memiliki Nilai Budaya Organisasi yang tinggi yang diterapkan dalam JCorp tersebut yang boleh diringkaskan kepada beberapa nilai berikut:
Kakitangan ditukar kepada –> “Insan Kamil
Superman leadership —> khalifah / team leadership (kepimpinan berpasukan)
Centralised decision —> autonomi + syura
Beliau cukup tidak menggemari tiga bentuk budaya organisasi yang wujud dalam masyarakat Melayu hari ini:
melukut : terlalu merendah diri (cth: kakitangan)
feudal:
penjajahan
Saya kagum dengan pembinaan Nilai Budaya yang tinggi sedemikian dalam JCorp dan sudah tentulah pemupukan nilai budaya tersebut dalam setiap individu dalam organisasi memerlukan usaha yang berterusan dan kesungguhan di pihak pengurusan.
Saya teringat pertemuan dengan salah seorang kuat Khazanah Nasional , Encik Mohd Izani Ashari, apabila beliau menyebut kebanyakan orang melihat bahawa perkara yang paling penting dalam sesebuah organisasi ialah ‘pekerja’. Inilah juga pandangan Matsushita, jika tidak silap saya. Tapi bagi beliau yang lebih penting dari pekerja ialah “Nilai Budaya Organisasi“.
Pekerja boleh datang dan pergi, tetapi nilai budaya organisasi jika sudah berjaya dibudayakan dan sebati dalam sesebuah organisasi itu suatu nilai budaya yang tinggi dan hebat, maka sesiapa sekalipun yang masuk bekerja dalam organisasi tersebut akan terpaksa turut sama mengikut nilai budaya organisasi berkenaan. Bak kata pepatah “masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum”.
Lalu pekerja yang tidak berkualiti juga akan terpaksa “mengkualiti” kan dirinya sendiri kerana jika beliau ingin bekerja lama dalam organisasi berkenaan. Jika tidak beliau akan jadi terasing dalam budaya kerja yang sebegitu dan lama-kelamaan jika masih tidak mahu mengikut budaya tersebut, beliau akan dicampak keluar.
Ya, saya setuju yang lebih penting bukan pekerja tetapi “budaya kerja”! dan saya semakin percaya dan dapat merasakan sendiri betapa sukar untuk mengubah budaya kerja sambil lewa, kerja lebih kurang tanpa kualiti dan ala kadar yang sudah sebati dalam hidup sesetengah orang yang saya temui hari-hari. Budaya kerja “selesa atau comfort zone”, ‘asalkan buat’ dan ‘asalkan boss tak marah’, biarpun mutu kerja itu seperti melepaskan batuk di tangga. Kreativiti, inovasi, dan pembaharuan seolah-olah mati dalam organisasi ini.
Moga-moga kita mampu membina budaya kerja ‘”menggapai kecemerlangan” agar dengan itu kita dicintai Allah, sepertimana anjuran Nabi SAW mafhumnya:
((Sesungguhnya Allah mencintai orang yang melakukan sesuatu pekerjaan, dilakukan dengan penuh kecemerlangan (itqan))) [al-Bayhaqi]
Jika setiap individu itu inginkan cemerlang, nescaya organisasinya juga akan turut cemerlang. Inilah nilai budaya organisasi yang perlu kita terapkan bersama. Selain organisasi itu berjaya, kita juga turut dicintai ALlah. Alangkah beruntungnya orang yang mengejar kecemerlangan hidup.
Rasuah semakin menjadi-jadi. Ancaman Rasulullah SAW ((Pemberi rasuah dan penerima rasuah kedua-duanya dihumban ke dalam neraka)) seolah-olah tidak dipedulikan bangsa kita hari ini- bangsa yang beragama Islam, selama mereka dapat habuan duniawi itu dengan apa cara sekalipun: halal atau haram. Wang yang banyak itulah yang akan mendatangkan kebahagiaan bagi mereka, mungkin begitulah fikirnya.
Anak-anak yang disuap dengan wang haram hasil penerimaan rasuah ibubapa mereka itulah yang hari ini mungkin menjadi anak-anak yang biadab, kurang ajar, mat rempit, mat gian, anak setan membuang anak dan pelbagai gejala sosial dalam masyarakat. Lalu kita tercari-cari di mana ubatnya? Ubatnya ialah pada ibubapa itu sendiri. Adakah wang yang disuap ke mulut anak isterinya itu wang yang halal dan berkat?
Saya teringat beberapa tahun lampau, saya ketemu seorang warga seberang yang bertahun-tahun bermastautin di bumi Malaysia kita ini tanpa sebarang permit atau dokumen rasmi. Saya bertanya kepada beliau “Mas tak takut kena tahan?. Jawab beliau ringkas, “tak apa, kalau ditahan, hulur saja”.
Arwah ayah saya sering menyebut seorang ahli perniagaan bangsa Cina di Kota Bharu pernah berkata “Selama lembu makan rumput, selama itulah orang Melayu makan rasuah”.
Mencuri sebenarnya boleh berlaku dalam banyak bentuk. Tapi ramai yang tidak sedar. Kebanyakannya ingat curi tu, mencuri barang sahaja. Sebenarnya mencuri boleh juga berlaku dalam bentuk:
Mencuri masa
Mencuri tenaga
Di bulan Ramadhan ini, Alhamdulillah, ramai yang berlumba-lumba menggiatkan amal ibadat. Ada yang cuba menghabiskan satu juz al-Qur’an sehari, ada juga menambahkan amalan-amalan sunat lain – Solat sunat Dhuha dan solat-solat lain. Ini satu perkembangan positif, Alhamdulillah.
Sekadar peringatan bersama, walaupun kita mungkin telah berulangkali diingatkan iaitu waktu pejabat adalah hak majikan kita yang perlu kita penuhi. Kita tertakluk kepada peraturan-peraturan kerja yang mesti dipatuhi. Itulah aqad atau perjanjian kita dengan majikan kita. Aqad itu nanti akan dipersoalkan oleh ALlah Ta’ala di Akhirat kelak. Memenuhi masa kerja dengan bekerja adalah keWAJIBan kita, manakala yang lain-lain amalan adalah sunat belaka. Cuma masih ramai di kalangan kita yang kurang jelas perkara ini:
- Masih ada yang meninggalkan pejabat untuk ke musolla /surau membaca al-Qur’an berjam-jam di bulan Ramadhan atau berlama Solat Sunat, meninggalkan kerja hakiki. Ini tidak betul, apabila kita mengutamakan perkara SUNAT dan meninggalkan perkara WAJIB. Kerja itu wajib. 8-9 jam waktu kerja di pejabat itu bukan hak kita, kita sudah dibayar gaji untuk itu. Kita tidak boleh gunakan masa 9 jam itu sesuka hati kita, melainkan waktu rehat kita dan waktu yang dibenarkan oleh majikan kita. Waktu itu akan dibayar di hujung bulan nanti dalam bentuk gaji. Realitinya ia bukan hak milik kita, tetapi hak majikan kita. Kalau tidak kita pulang dengan wang gaji yang tidak bersih, syubhat dan tiada barakah hidup kita walaupun mungkin banyak wang.
- Di kalangan para penceramah dan asatizah pula, ada yang menerima pelbagai undangan memberi ceramah sana dan sini. Lalu dipenuhi undangan-undangan itu dan ini di dalam waktu pejabat secara ‘curi-curi’, tanpa kebenaran majikannya sedangkan ianya bukan tugas hakikinya. Lebih teruk lagi apabila tugas hakikinya terbengkalai, lalu memberi alasan sibuk. Ya, sibuk dengan kerja sampingan! Lalu dapatlah beberapa ringgit honorarium wang yang pada saya tidak bersih kerana melakukannya dengan cara “curi-curi”. Hasil yang syubhat itulah yang akan disuapkan ke mulut anak isterinya.
- Ada juga yang curi-curi menggunakan sebahagian besar 8-9 jam untuk update blog, facebook, twitter dll masing-masing sedangkan itu bukan tugas hakikinya. Sekali lagi kita bawa pulang sebahagian wang gaji yang syubhat. Tidak salah untuk update facebook, tetapi lakukanlah di luar waktu pejabat. Internet ini sebenarnya mengasyikkan dan kita boleh menghabiskan berjam-jam waktu pejabat tanpa disedari di depan komputer kemaskini fb atau blog. Jadi, jauhkan dari facebook, blog, twitter ketika waktu pejabat!.
- Yang terlibat dengan MLM dalam waktu pejabat pun tidak kurang ramainya juga hari ini.
- Yang keluar dari pejabat untuk urusan peribadi tanpa kebenaran majikan juga begitu berleluasa hari ini. Pergi shopping pun ada, servis kereta dan macam-macam lagi.
- Yang jual biskut raya, baju raya dalam waktu pejabat pun ada juga. Apa agak hukumnya, ya?
Kenapa kita tidak lakukan semua itu di luar waktu pejabat? Masa itu ianya milik kita sepenuhnya. Kita tidak mencuri masa sesiapa pun.
Dalam sehari waktu bekerja itu, kita tidak memiliki banyak masa sebenarnya. Jika sebahagian besar waktu bekerja itu dihabiskan untuk kerja-kerja sampingan, bagaimanakah kita boleh mengharapkan kualiti dalam pekerjaan kita. Kita tidak fokus dengan kerja kita. Kerja hakiki kita dilakukan dengan sambil lewa sahaja kerana banyak masa dihabiskan untuk kerja sampingan.
Orang yang tidak fokus dalam kerjayanya tidak akan berjaya, walau apapun yang dia buat. Dan yang lebih sedih lagi, hidupnya tiada barakah walaupun dia kerja siang dan malam, berkejar ke sana dan ke sini. Dia juga akan menjadi orang yang haus di lautan yang tidak pernah puas. Akhirat kelak, di azab pula oleh Allah kerana cuai dalam melaksanakan amanah dalam pekerjaan ketika di dunia. Moga-moga ALlah selamatkan kita semua.
Akhirnya, pelbagai hujah balas boleh diberikan terhadap apa yang saya coretkan ini. Manusia tidak boleh mendisiplinkan manusia lain melainkan keinginan diri sendiri untuk berubah. Tepuk dada tanya iman. Terserahlah.
Buatlah apa yang kamu suka, kira-kira kamu boleh menjawab dengan selamat di depan Allah Ta’ala kelak!. Wallahu’alam.
Kes pembuangan bayi serta keganasan yang semakin berleluasa di negara ini berkemungkinan mempunyai kaitan dengan bahan yang ditonton masyarakat. Setiausaha Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan KDN, S. Tanasegran berkata pihaknya sedang menjalankan kajian tentang hubungan itu. Berdasarkan laporan luar negara 18% masalah sosial berpunca dari tontonan filem
Terlalu banyak yang diperkatakan tentang kejadian ‘membuang bayi’ atau kini kerajaan mahu menggunakan istilah ‘membunuh bayi’. Pelbagai cara cuba diketengahkan dalam mencari penyelesaian kepada permasalahan ini tetapi nampaknya banyak yang tersasar.
Kita bukan mencari puncanya, tetapi cuba mengubat penyakitnya setelah parah. Kita sediakan sekolah untuk pelajar mengandung, kita mahu menjatuhkan hukuman mandatori kepada mereka yang membuang / membunuh bayi tetapi dalam masa yang sama kita suburkan majlis pesta-pestaan, sambutan itu dan ini seperti Sambutan Tahun Baru dll, di mana percampuran lelaki dan perempuan begitu bebas berleluasa.
Media kita pula menyajikan pelbagai aktiviti maksiat, kisah-kisah zina didedahkan dengan begitu terperinci bagi melariskan jualan, gambar-gambar yang meloyakan mata, CD-CD lucah berleluasa. Serbuan berkesan gagal dilaksanakan kerana adanya talibarut di kalangan bangsa kita dalam agensi kerajaan yang menjual maklumat serbuan kepada peniaga-peniaga perosak negara ini. Mereka ini yang perlu terlebih dahulu dihukum dan undang-undang keras diwujudkan membendung aktiviti mereka kerana merekalah menyemarak liarkan nafsu anak muda.
Lalu kita jadilah seperti orang yang kakinya buruk kerana kencing manis, tetapi yang ingin diubatinya ialah di tempat buruknya itu tanpa mengubati penyakit kencing manisnya. Malah dia terus menerus memakan makanan manis dan bergula sepuas nafsunya seolah-olah kakinya yang buruk itu merupakan suatu yang terpisah dan terasing.
Mampukah kakinya sembuh? Begitu jugalah usaha sebilangan kita dalam menyembuh penyakit masyarakat yang melanda negara hari ini. Kita ubati simptomnya, bukan punca penyakitnya.
Kadangkala saya merasa lucu membaca komen-komen yang diutarakan oleh sesetengah pemimpin kita, yang bergelar “pejuang Islam” atau ahli politik Islam, bahkan ustaz-ustaz kita sekalipun berhubung dengan penggunaan kalimah Allah.
Memang benar tiada nas qat’ie yang melarang penggunaannya oleh bukan Islam, tetapi itu tidak bermakna hukum tidak boleh dirumuskan dari nas-nas yang bersifat zanni. Jika diteliti dari segi sejarah, bahasa, dan seumpamanya maka sudah pasti boleh dibuat keputusan atau hukum yang agak nyata.
Yang mendakwa orang bukan Islam boleh menggunakannya melihat bahawa itulah tanda umat Islam ‘open minded’. (Lihat YB Khalid Samad). Ada juga berdalilkan Surah al-Zukhruf 87-87 yang difahami, pada pandangan saya diluar kontek sebenar.
Ada juga ustaz yang menghukumkan HARUS penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, tetapi tidak bersetuju penggunaan kalimah lain seperti kalimah solat, kaabah, masjid oleh bukan Islam. (Lihat Zaharuddin.net)
Tidakkah pelik pendapat sebegitu?
Di sini jelas menunjukkan betapa celarunya pemikiran umat Islam hari ini bahkan betapa celarunya orang-orang yang menjadi harapan umat di kalangan para asatizah dan ulama untuk melihat perkara ini dari perspektif yang sebenar bersumberkan hujah-hujah yang kukuh, walaupun tanpa di sana ada nas yang qat’ie yang jelas.
Rujuk tulisan-tulisan di laman Islam Iman Ihsan yang pada saya jelas memusnahkan pandangan-pandangan lain yang menyokong penggunaannya. Wallahu’alam.
Benarlah Sabda Baginda S.A.W yang sering kita dengar bahawa di akhir zaman nanti, umat Islam ramai tetapi seumpama buih – tiada kualiti. Kenapa jadi begitu? Kerana kamu cintakan dunia dan takutkan mati.
Ya, kita cintakan dunia. Pemimpin-pemimpin kita pula beratus kali ganda cintakan dunia. Ada yang ingin jadi Perdana Menteri, Menteri Besar dan memerintah Malaysia. Kerana kecintaan itulah kita gadaikan semuanya, prinsip perjuangan untuk menegakkan Islam, bertegas dengan orang kafir dalam hal agama walau dibenci mereka. Kita terpaksa berbaik-baik dengan mereka bukan kerana ‘dakwah’ tetapi perlukan ‘pangkah’ mereka dalam pilihanraya kelak. Lalu kita bertolak ansur dalam serba serbi kononnya Islam itu ‘mudah’, Islam itu sesuai untuk semua orang bla…bla..
Persoalannya, benarkah apa yang diperjuangkan selama ini demi kerana Islam seperti yang dicanang-canangkan? Amat meragukan. Lihat gelagat “pejuang-pejuang Islam” apabila diberi peluang memerintah. Apakah Islam yang ditegakkan atau menambah kekayaan dan kemewahan, menambah isteri dan kenderaan? Begitukah perjuangan pejuang-pejuang Islam di zaman Salafussoleh? Rumah Gabenor Abu Ubaidah al-Jarrah begitu dhoif sehingga jika diangkat tangan nescaya akan mencecah bumbungnya. Nah lihatlah pula rumah-rumah “pejuang Islam” hari ini? dan “Unta-unta” mereka, 5 series atau 7 series.
Lalu kita mengharapkan mereka memperjuangkan Islam?. Lupakan sahaja, kita perjuangkanlah menegakkan Islam dengan sekadar kemampuan diri kita sendiri. Jangan diharapkan manusia-manusia yang berkepentingan yang berjuang atas nama Islam atau bangsa Melayu. Semuannya tidak boleh diharapkan belaka.
NB: Maaf jika tulisan ini agak kasar kerana agak sedih hari ini setelah lebih 50 tahun merdeka dengan Islam sebagai agama persekutuan, Allah sudah “diduakan”: Allah Islam dan allah Kristian. Astaghfirullah.