Permulaan Jalan Kerohaniaan

images

Q. Apakah permulaan dalam menjalani Jalan Kerohanian?

A.  Niat yang betul. Mereka yang telah bersedia untuk menjalani Jalan Kerohanian hendaklah meletakkan niat yang jelas dan mantap berhubung tindakan yang mereka ambil itu sesuai dengan perintah Allah bahawa ‘setiap amalan itu bermula dengan niat’ [Muslim 3.1515-16:1907]. Niat yang betul iaitu untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT semata-mata dan bukannya untuk niat yang selain darinya. Ada sesetengah daripada kita yang mengambil tindakan untuk mengikut sesuatu tarekat semata-mata untuk berdampingan dengan orang-orang tertentu dalam tarekat yang mempunyai kedudukan dan pangkat yang mungkin boleh membantu mereka dalam urusan duniawi, atau untuk bersama-sama dengan kelompok elit, misalnya. Ada juga yang bersama tarekat untuk mendapatkan keberkatan agar perniagaan mereka laris. Ini semua bukan niat yang betul. Hanyasanya mereka yang berniat ikhlas semata-mata kerana Allah Taala sahaja, untuk mendekatkan diri denganNya sahaja lalu beliau akan dipermudahkan urusan untuk mendekatkan diri denganNya.

Q. Selain daripada niat yang betul, apakah lagi yang diutamakan dalam menjalani Jalan Kerohanian?

A Ilmu dan Amal. Penekanan seterusnya bagi mereka yang ingin menjalani Jalan Kerohanian adalah perlu memahami bahawa Jalan Kerohanian menuju Allah SWT bukanlah jalan yang boleh dicapai dengan hanya melalui pembacaan yang banyak, berguru dengan ramai orang atau seumpamanya tetapi merupakan pengamalan kerohanian. Dalam ertikata lain amal itu merupakan suatu kemestiaan dalam menjalani jalan kerohanian ini sekiranyan benar-benar ingin melihat ianya membuahkan hasil. Walaupun seseorang itu telah mengkhatamkan ratusan kitab-kitab tasawuf namun jika tidak beramal dengan amalan ahli tasawuf yang termaktub dalam kitab-kitab tersebut, maka beliau belum boleh dikira tergolong di kalangan mereka yang menjalani Jalan Kerohanian atau seringkali disebut ‘salik’. Ada juga di kalangan sesetengah pengikut tarekat yang begitu berbangga menjadi murid kanan Sheikh, atau generasi terawal yang berbaiah dengan sheikhnya, tetapi kalau dilihat dari segi amalannya, mereka ini jauh tidak mengamalkan apa-apa pun dari ajaran tasawuf walaupun mereka sudah berpuluh tahun berbaiah dengan Syeikh mereka, berbanding dengan anak-anak murid yang baru berjinak dengan ilmu tarekat tetapi tekun beramal dengan ajaran gurunya satu demi satu. Jalan Kerohanian atau tarekat bukanlah perkumpulan untuk orang elit, atau berprestij. Ianya juga tidak memberi makna kepada orang yang samada lama atau baru menjalani jalan ini sekiranya yang lama itu tidak beramal dengan apa-apa pun ajaran ini. Oleh itu, soal banyak membaca kitab-kitab tasawuf, tempoh lama berbaiah dengan Syeikh dan mengambil tarekat dengannya, bukanlah menggambarkan seseorang itu sudah tinggi martabat kerohaniannya jika beliau tidakpun beramal dengan ajaran tasawuf yang dipelajarinya. Pengamalannya pula bukan sekadar ritual dan fizikal semata, tetapi hendaklah turut beramal dengan amalan batin yang telah kita terangkan sebelum ini.

Q. Bagaimana cara memilih tarekat yang betul?

A. Silsilah Bersambung. Pernah kita jelaskan sebelum ini bahawa dalam memilih tarekat yang ingin disertai hendaklah melihat kepada Silsilah tarekat berkenaan adakah bersambung kepada Baginda SAW. Tarekat terlalu banyak dalam masyarakat kita hari ini dan mereka yang mendakwa “sheikh”, “murshid” dan “alim” juga banyak. Namun setiap dakwaan tersebut perlulah dengan pembuktian dan pembuktian tarekat itu sah atau tidak ialah melalui sanad silsilah yang bersambung terus kepada Baginda SAW dari satu guru ke guru yang lain, dari satu generasi ke generasi yang lain. Kesannya sangat parah apabila seseorang itu tersalah masuk dalam tarekat yang palsu yang akan terus membelenggunya dalam kesesatan hingga ke akhir hayatnya tanpa beliau sedari. Terlalu sedih apabila kita melihat disebabkan kesedaran untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT semakin wujud di kalangan masyarakat kita hari ini, namun mereka sering terjerumus dalam ‘berguru’ dengan guru palsu dan sesat. Kriteria utama yang kita jelaskan sebelum ini ialah guru yang benar ialah guru yang mengikuti Syariat Islam iaitu berpegang kepada al-Qur’an dan As-Sunnah.

Q. Bolehkah bertukar tarekat?

A. Istiqamah. Dalam apa yang dilakukan, Islam menganjurkan agama kita sentiasa istiqamah. Hanya dengan istiqamah barulah akan membuahkan hasil. Ibarat air yang menitik di atas sebongkah batu, tidak akan memberi bekas jika sehari dua, tetapi jika bertahun lamanya sudah pasti akan meninggalkan lekuk pada batu tersebut. Begitu juga menjalani Jalan Kerohanian melalui tarekat adalah seumpama seseorang itu menggali telaga untuk mencari air. Air hanya akan ditemui apabila usaha gigih berterusan dan sampai kepada mata air. Tetapi jika seseorang itu menggali sedalam dua tiga meter, dan berhenti lalu menggali di tempat lain dua tiga meter dan berhenti, maka beliau selama-lamanya tidak akan menemui mata air. Untuk sampai ke penghujung Jalan Kerohanian ini, seseorang itu hendaklah istiqamah, tetapi dalam tarekatnya tidak berubah-ubah dari satu tarekat ke tarekat yang lain. Seringkali terjadi, apabila seseorang yang menjalani jalan tarekat ini diuji dengan didatangkan Syeikh dalam tarekat yang tidak beliau sertai yang khabarnya mempunyai karamah. Lalu beliau berpindah tarekat meninggalkan tarekat asalnya untuk berbaiah dengan Syeikh yang kononnya mempunyai karamah. Kemudian, beliau mendengar ada Syeikh lain yang mempunyai karamah lebih hebat, lalu beliau bertukar tarekat lagi tanpa kesudahannya. Yakinlah, bahawa jika Allah takdirkan kita dengan tarekat A dan Syeikh A, maka di situlah rezeki kita dan jalan kita untuk menghampiri Allah SWT. Jika Syeikh itu seorang yang murshid yang telah mencapai makrifat, dan tarekat itu pula silsilahnya bersambung tidak putus, maka istiqamahlah dalam tarekat itu nescaya si salik itu juga lambat laun akan mencapai makrifahnya. Wa ma tawfiqi illa billah. Wallahu’alam.

Print Friendly

Be the first to comment on "Permulaan Jalan Kerohaniaan"

Leave a comment