Sepuluh Akhir Ramadhan
Sepuluh malam akhir Ramadhan cukup besar kelebihannya. Di Masjid Edinburgh, mereka menyediakan tempat khas untuk para jemaah yang ingin beriktikaf di masjid untuk sepuluh malam akhir ini. Sebahagian bahagian belakang masjid ditutup dengan kain langsir sebagai tempat para jemaah berehat dan beriktikaf. Iktikaf bergantung kepada berapa lama kita berada di masjid. Jika kita keluar dari masjid maka, iktikaf kita dikira terputus melainkan kita keluar kerana keperluan/hajat seperti mendapatkan bekalan makanan dll. Itupun ada syarat-syaratnya. Lalu masyarakat Pakistan Edinburgh memilih untuk bermalam di masjid untuk sepuluh hari akhir Ramadhan tanpa keluar-keluar bagi mendapatkan ganjaran semaksima mungkin. Mereka menghabiskan masa membaca al-Qur'an dan berzikir.
Di Malaysia, tidak nampak sedemikian. Kalau adapun masjid hanya menganjurkan Qiamulail sekitar 3.30 pagi. Masjid yang aku sering kunjungi tidak menampakkan ada tanda-tanda orang beriktikaf atau bermalam di situ. Wallahu'alam. Kita masih tidak dapat merasakan kebesaran sepuluh malam akhir Ramadhan ini, tidak ghairan merebutnya tidak sepertimana warga Pakistan di Edinburgh.
Teringat salah seorang Sheikh pernah menyebut bahawa kelebihan dan barakah sepuluh malam akhir ini tidak dapat diperolehi pada malam-malam lain, dan orang yang terlepas malam-malam ini nescaya orang yang paling rugi kerana kehilangan barakah yang cukup banyak yang mungkin boleh mengubah hidupnya, memberi kebahagian buatnya dunia dan akhirat. Kata beliau lagi, jika pun seorang itu penat membaca al-Quran dan berzikir, memadai jika mengadap ke arah Qiblat ketika iktikaf di dalam masjid nescaya limpahan barakah akan tetap datang mencurah-curah, Insya ALlah.
