Saturday, August 30, 2008

Erti Sebuah Kemerdekaan dan Kebebasan


Esok tanggal 31hb Ogos, rakyat Malaysia akan menyambut kemerdekaan. Merdeka dari penjajahan British. Yang sering diperkatakan ialah adakah minda kita sudah bebas dari dijajah dan dikuasai oleh Barat. Merdeka tanahair semata tanpa merdeka minda dan fikiran tidak memadai kerana akhirnya yang menguasai dan memerintah tanahair ini adalah mereka yang luarannnya sahaja sebangsa dengan kita, tetapi jiwa mereka sama seperti jiwa penjajah. Mereka berfikir sepertimana penjajah berfikir. Walaupun bangsa dan agama mereka sama dengan kita, tetapi fikrah dan ideologi sebenar mereka sama seperti penjajah: sekularis, post-modernis, liberalis, humanis, feminis dan seumpamanya. Semua ideologi ini menyimpang dari faham Islam yang benar. Tidak guna jika negara merdeka dari penjajah, tetapi yang menguasai pemerintahan masih lagi berjiwa penjajah, berideologi penjajah.

Tanpa penjajahan, biasanya rakyat akan menjadi bebas. Bebas bersuara, bebas bergerak, bebas beribadat, bebas dalam banyak hal. Walaupun tidak dinafikan bahawa tiada kebebasan mutlak di dunia ini, namun manusia sewajarnya diberi kebebasan mengikut batas hak-hak asasi yang dipersetujui dunia sejagat. Ini bukan sahaja prinsip moden, tetapi juga prinsip Islam mengutarakan hal yang sama. Penguasa dan pemerintah sekalipun tidak boleh mencabuli kebebasan hak individu. Sayyidina Umar r.a. ketika menegur Gabenor Mesir, Amru bin al-As dan anaknya pernah berkata, "sejak bila kamu memperhambakan manusia sedangkan mereka dilahirkan bebas merdeka oleh ibu-ibu mereka".

Islam sebagai satu ugama yang cukup sederhana dan tidak melampau, tidak juga menganjurkan kebebasan mutlak sehingga manusia boleh melakukan apa sahaja semahu mereka tanpa ada had dan batas. Di sana ada batasan yang perlu dipatuhi. Kebebasan hanya selama tidak memudaratkan orang lain. Bebas dalam erti pergaulan bebas lelaki dan perempuan Islam tidak benarkan, bebas memaki hamun orang lain juga diharamkan, bebas memfitnah, mengumpat orang juga tidak boleh walaupun atas nama berpolitik. Bebas untuk bertelanjang seperti di sesetengah negara Barat, atau tidak menutup aurat di khalayak ramai juga salah. Semua kebebasan yang kononnya didakwa kebebasan oleh masyarakat moden sering menjurus kepada kebebasan melampau tanpa batas dan memudaratkan, samada diri sendiri atau orang lain. Memudaratkan diri sendiri apabila kebebasan itu melanggari fitrah insaniah manusia dijadikan Sang Pengcipta. Sebab itu manusia tidak bebas membunuh dirinya sendiri, walaupun secara zahirnya dirinya itu miliknya. Hakikatnya, dirinya itu hanya 'dipinjamkan' Allah buatnya, dan sudah tentu dia tidak bebas memperlakukan semahunya atas barangan pinjam.

Bebas yang melampau tanpa batas itu bukan lagi kebebasan tetapi kezaliman. Hanya dalam Islam ada istilah menzalimi diri sendiri. Dalam ajaran lain, zalim sering melibatkan dua pihak, kita dan orang lain. Tetapi dalam Islam, zalim terhadap diri sendiri juga ditekankan. Apabila manusia melanggari batas-batas kebebasan yang dibenarkan Allah, maka dia sudah menzalimi dirinya sendiri, mencampakkan dirinya ke dalam lembah kebinasaan. Dirinya nanti akan dihumban ke Api Neraka ALllah, naudhubillah. Apakah ada kezaliman yang lebih besar dari mencampakkan diri sendiri ke dalam Neraka? Sebab itu kita disarankan berdoa: "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri, dan jika Kau tidak mengampuni kami nescaya jadilah kami orang-orang yang rugi"

Bahkan istilah kebebasan (al-hurriyyah) bagi Professor Naquib al-Attas tidak sesuai digunakan dalam konteks Islam kerana ia seolah-olah menggambarkan suatu kebebasan tanpa had, sedangkan Islam tidak sedemikian. Istilah ikhtiyar lebih sesuai digunakan kerana ianya membawa maksud "pilihan". Dan dalam konteks Islam, pilihan yang mesti dibuat ialah pilihan yang baik-baik belaka. Sebab itulah kalimah Arab ikhtiyar itu berasal dari khayr yang bermaksud baik. Bebas dalam Islam, hanyalah terhad kepada bebas untuk memilih perkara atau perlakuan yang baik sahaja. Adapun pemilihan terhadap perkara yang tidak baik dan keji, itu bukan kebebasan yang dibenarkan oleh Islam, kerana pemilihan seperti itu tidak selari dengan fitrah manusia.

Monday, August 25, 2008

Pendidikan Anak-Anak: Conditioning

Conditioning

Alhamdulillah, Ammar, Afaf dan Ali nampaknya sudah dapat menyesuaikan diri mereka dengan sekolah baru. Sudah masuk minggu ketiga mereka bersekolah. Awalnya Ali dan Afaf kerap menangis kerana kata Ali dia tiada kawan. Afaf pula memang manja.

Mereka sudah mula memetik beberapa kalimah-kalimah Arab setiap kali pulang dari sekolah: "mumtaz", "kaifa halukum" etc. Aku harap apabila penguasaan bahasa Arab mereka betul-betul mantap, aku berhasrat untuk menghantar mereka, khususnya Ammar, ke Darul Mustafa, Tarim. Mungkin untuk peringkat Thanawi dia di sana, berguru dengan sheikh-sheikh mursyid dari keturunan Rasulullah s.a.w., Habib Ali, Habib Umar dan lain-lain, Insya Allah. Moga-moga Allah makbulkan hasrat murniku ini.

Anak-anak cepat membesar, jika tidak diberikan pendidikan Islam dari kecil lagi maka apabila sudah besar remaja, sukar untuk dibentuk. Mereka akan mula membantah kerana tidak terbiasa sebegitu. Ini juga pesan Sheikh Afifi al-Akiti agar anak-anak perlu di 'conditioned'. Teringat ketika mengambil subjek psikologi di bawah Professor Malik Badri ketika di ISTAC dulu di mana beliau bercerita tentang teori 'conditioning' yang dikemukakan oleh Ivan Pavlov . Anak-anak juga perlu di "conditioned" atau "dibiasakan" dengan suasana tertentu.

Pepatah Melayu sendiri ada menyebut 'alah bisa tegar biasa'. Jika anak-anak dibiasakan dengan suasana Islam, senang mereka menerimanya. Ali hari ini sudah tidak gemar ke rumah atuknya kerana katanya di sana ada TV dan beliau benci TV. Alhamdulillah. Aku bersyukur kerana anak-anak ku sudah mula membenci TV, 'the idiot box'. Sejak dari Edinburgh lagi, aku cuba kurangkan anak-anakku menonton TV dan apabila TV rosak, kami terus membuangnya tanpa membeli baru. Mereka boleh menerimanya. Boleh hidup tanpa TV. Aku cuba beramal dengan saranan Sheikh Nuh agar sebolehnya tidak menonton TV, kerana terlalu sedikit manfaatnya. Beliau menyarankan membaca buku Jerry Mander, Four Arguments for the Elimination of TV. Aku tidak sempat membelinya namun Sidi Zul telah menghadiahkan buatku. Moga-moga Allah murahkan rezeki buatnya dan permudahkan segala urusannya.

Sesekali kubenarkan juga anak sulungku Ammar menonton perlawanan bolasepak kegemarannya. Tak mengapalah, lepaskan anginnya. Itulah satu-satunya rancangan kegemarannya. Alhamdulillah, nampaknya mereka semua terkawal dan tidak memberontak tanpa TV. Kalau sudah terbiasa, tidak menjadi masalah. Dulu kami pun risau bagaimana hidup tanpa TV, tapi rupanya tidaklah serumit mana. Malah banyak masa tidak terbuang.

Teringat arwah ayah pernah bercerita bagaimana suatu ketika dahulu seorang lelaki meminta izin dari isterinya untuk pergi menuntut ilmu kuat, "ilmu gagah" perkasa untuk tempoh beberapa tahun. Cuma pesan beliau agar isterinya jangan lupa mengangkat anak lembu keluar dari kandang untuk meragut rumput pada sebelah pagi dan membawa masuk kembali di sebelah petangnya. Anak lembu tersebut perlu diangkat kerana ada pagar rendah menghalangnya keluar-masuk dari kandangnya. Lalu si isteri pun akur dan setiap pagi dan petang melakukan seperti suruhan suaminya. Selang beberapa tahun, pulanglah suaminya. Lalu di sebelah petangnya, si isteri menyuruh si suaminya 'mengangkat' anak lembu masuk ke kandangnya., kerja pernah beliau lakukan sebelum pergi menuntut ilmu kuat dulu. Lalu si suami menyangka si isterinya bergurau kerana mana mungkin anak lembu sebesar itu boleh diangkat. Ya, 'anak lembu' yang ditinggalkan si suaminya beberapa tahun itu sudahpun besar dan dewasa, dan bukan lagi seekor anak lembu yang kecil seperti dulu. Lalu si isteri mengatakan beliau tidak bergurau lalu turun dan mengangkat 'anak lembu' yang besar itu masuk ke kandangnya. Terkejut suami melihat 'kehebatan' si isteri yang ternyata lebih gagah dari beliau yang pergi menuntut ilmu kuat. Apa rahsianya? Rahsianya ialah sesuatu yang dilakukan hari-hari, akan hilang kepayahannya. Alah bisa tegar biasa!

***

Masa berlalu begitu pantas, anak-anak yang kecil hari ini dalam sekelip mata sahaja sedar-sedar sudah besar. Kerugian apabila kita para ibubapa alpa dan leka dengan kerja sehingga pendidikan anak-anak kita biarkan sekolah dan guru yang tentukan.

Kita ibubapa yang perlu mencorakkan anak-anak kita, bukan sekolah dan guru. Teringat pesan guruku, Sheikh Nuh, bahawa kewajipan utama ibubapa ialah menjamin anak-anaknya selamat dari Api Neraka Allah Ta'ala di Akhirat kelak selaras dengan Firman Allah dalam Surah al-Tahrim 66:6:

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka"

Itulah matlamat utama ibubapa: memastikan anak-anak selamat dari Api Neraka.

Adapun matlamat agar anak-anak jadi Jurutera, Doktor, Arkitek dan sebagainya itu semua bukan matlamat utama (primary) tetapi secondary belaka. Tidak guna memegang jawatan hebat di dunia untuk kehidupan yang beberapa tahun, namun akhirnya dibakar dalam Api Neraka Allah untuk selamanya di Hari Akhirat kelak, Naudhu billah. Aku mohon Allah lindungkan aku dari terikut-ikut dengan gaya hidup ibubapa hari ini yang begitu pentingkan peperiksaan akademik anak-anak mereka, hatta yang masih di nurseri. lagi Astaghfirullah!. Apakah sudah hilang keutamaan dalam sistem pendidikan umat ini?

Yang fardhu ain entah ke mana, yang fardhu kifayah didahulukan. Jauh dari ajaran Islam. Islam menuntut agar anak-anak diajar al-Qur'an, cintakan Nabi dan kaum keluarganya, berakhlak dan beradab. Itu semua yang perlu diberatkan dan diberi penekanan, bukannya pelajaran akademik. Hari ini pelajaran agama hanyalah subjek sampingan (secondary), kelas kedua. Yang kelas pertama ialah sains dan IT.

Sheikh Hamzah pernah menyebut bahawa di usia anak-anak ini, kita tidak perlu mengajar benda lain cukup dengan mengajar mereka mendalami al-Qur'an. Seorang rakanku di Terengganu yang membukan sekolah Tahfiz turut menyatakan hal yang seakan sama. Katanya, anak-anak di sekolahnya diajar hafal al-Qur'an sahaja sehingga kelas empat, dan mereka akan masuk kelas lima dan enam di sekolah kebangsaan. Yang ajaibnya, anak-anak ini masih sempat menjadi pelajar cemerlang dalam peperiksaan UPSR walaupun belajar hanya dua tahun sahaja. Inilah barakah.

Seorang teman kepada sahabatku juga bercerita hal yang sama. Beliau menghantar anaknya ke al-Raudhah di Hulu Langat untuk sekolah Tahfiz sepenuh masa. Apabila tiba tahun peperiksaan, samada PMR atau SPM, beliau akan pindahkan anak-anaknya ke sekolah kebangsaan. Kebiasaannya mereka sebegini berjaya dengan baik. Itulah barakah apabila al-Qur'an dan ilmu agama memenuhi dada-dada anak-anak kita. Ianya menjadi nur yang membuka pintu hati mereka untuk menerima ilmu-ilmu berguna yang lain. Generasi sebeginilah yang memperolehi dunia dan akhirat.

Sunday, August 24, 2008

Pinocchio and Mubahalah

My youngest son Ali this morning narrated to me a story about Pinnocchio and how every time he lied, his nose grew longer. I laughed to myself how wonderful if the story was a real one, especially in the context of Malaysian politics now, with too much lies, accussations and counter-accussations every day. If the nose grew everytime we lied, then we would not have to make a 'mubahalah' every now and then. The punishment is instant, cash - growing nose for the liers!

We have never experienced the challenge of 'sumpah' as it is happening now. Sumpah is of no value and has no effect on the people lack of taqwa. He could not care less whether the wrath of Allah will befall upon him or not if he lied in the sumpah. Only the muttaqin that fears Allah and His wrath takes sumpah as a grievious matter. There was a time, when a drug addict was spotted wondering around our compound. When we came out, he said he just wanted to drink the water from our tap at the compound. And he sounded like making a sumpah too that 'kita orang, [sumpah Kak] walau macam ni pun kita tak curi barang orang, kita orang nak, kita minta'. I laughed when my wife told about the incident and began reflecting how much of our metal stuff left outside the house had gone missing because of these addicts. And they never requested them from us!

Saturday, August 23, 2008

Sumber Ilmu Islam Bukan Sanad Semata

Baru-baru ini saya menghadiri Seminar Karya Agung anjuran IKIM. Salah seorang pembentang dari Utara tanahair begitu lantang mengkritik para penulis Seerah yang kononnya tidak mengikut manhaj ilmu yang benar sehingga memasukkan sekalian cerita-cerita yang pada beliau 'dongeng' dan tiada asas dalam Islam. Hanya Ibn Qayyim al-Jawzi sahajalah menerusi Zad al-Ma’ad beliau, yang merakamkan seerah berdasarkan sandaran hadith-hadith yang kuat. Yang peliknya di ketika pembentang itu begitu lantang menyeru kepada sanad, beliau turut merakamkan cerita yang diterima berdasarkan mimpi. Apabila golongan Sufi menggunakan mimpi sebagai salah satu sumber mereka, mereka ini ditentang habis-habisan. Orang yang lantang bercakap tentang sanad itu sendiri pun selalunya tidak memiliki sanad hadith yang sampai kepada Rasulullah s.a.w. Sanad ijazah ini tidak pula mereka titikberatkan.

Metodologi penulisan Seerah harus dibezakan dari metodologi hadith dan tidak semestinya setiap orang perlu menggunakan pendekatan hadith dalam semua hal dan disiplin ilmu. Pemahaman terhadap 'Sunnah' itu sendiri berbeza takrifannya antara ahlul hadith, ahlul fiqh dll. Buku al-Sunnah al-Nabawiyyah Bayna Ahlul Hadith wa Ahlul Fiqh oleh Muhammad al-Ghazali menjelaskan wujudnya perbezaan pemahaman ini.
Tuntutan agar semua orang mengikut sanad ini sebenarnya lahir dari ketaksuban kepada kata-kata Ibn Mubarak "lau la isnad, la qala man shaa maa shaa", sehingga sesuatu ilmu itu benar dan boleh diterima hanya apabila ianya bersanad. Atau lebih tepat lagi berdasarkan ilmu rijalnya dalam periwayatan sesuatu hadith atau cerita tersebut.

Walaupun dari segi prinsipnya, tiada siapa pun yang menafikan kebenaran maxim kalam Ibn Mubarak itu, khususnya dalam ilmu hadith, namun ianya tidaklah bermakna pendekatan lain yang tidak bersanad samasekali tidak boleh diterima dan ditolak. Seperkara lagi, benarkah kata-kata yang disandarkan kepada Ibn Mubarak itu benar bersumberkan beliau, atau sanadnya sambung-menyambung sampai kepada Ibn Mubarak? Pernahkah sesiapa membuktikan bahawa ianya benar-benar kalam Ibn Mubarak, di ketika mereka ini lantang bercakap pasal sanad? Jika pun dibuktikan benar kalam Ibn Mubarak rahimahullah, ianya samasekali tidak boleh menjadi hukum setaraf dengan al-Qur'an atau al-Hadith sehingga tidak boleh ditakwilkan atau diberi faham lain. Ianya boleh diterima dan ditolak tanpa perlu kepada ketaksuban sepertimana juga seruan mereka agar kita jangan taksub kepada Imam al-Ghazali dan al-Shafie r.a.
Dalam kitab aqidah salah seorang ulama Ahlul Sunnah wal Jamaah yang tersohor seperti Najmuddin al-Nasafi misalnya menggariskan tiga cara sekurangnya untuk sesuatu itu diterima sebagai ilmu, iaitu:
  • al-hawass al-salima (deria pancaindera yang sihat)
  • al-khabar al-sadiq (berita benar)
  • al-aql (akal)

Al-Isnad, dalam hal ini bolehlah digolongkan dalam kaedah kedua, iaitu al-khabar al-sadiq. Namun di sana masih ada dua lagi pendekatan lain yang boleh digunakan dalam menilai sesuatu itu samada ianya boleh dikategorikan sebagai ilmu atau bukan, iaitu al-hawass al-salima dan al-aql. Bahkan sesetengah ulama turut memasukkan ilham para awliya dan siddiqin sebagai sumber ilmu, walaupun di sana ada perbezaan pandangan.

Jika kita perhatikan kaedah penulisan Ihya oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali (rahimahullah) pada awal setiap Bab kitab beliau, beliau telah meletakkan dalil-dalil dari al-Qur'an, dan kemudiannya diikuti dengan hadith-hadith Sahih dan kemudiannya hadith-hadith yang agak lemah dan seterusnya hikayat (qila) dan sebagainya. Walaupun hikayat tidaklah boleh menjadi hujjah, namun ianya ada kepentingannya juga dalam keadaan tertentu, seperti melengkapkan sesuatu perceritaan yang tergantung, sebagai teladan dan seumpamanya. Inilah maratib ilmu Islam yang meletakkan al-Qur'an dan al-Hadith sebagai sumber utama, dan dalam masa yang sama turut menerima pakai kaedah-kaedah sokongan lain samada saintifik atau tidak saintifik, selama ianya tidak bercanggah dengan dua sumber hukum utama Islam itu. Mereka yang taksub dengan sanad ini sepatutnya diminta untuk mendalami ilmu epistemologi dalam Islam agar lebih luas pemahaman mereka terhadap sumber ilmu dalam Islam.

Salah seorang pembentang kertaskerja pada hari itu, Saudara Md. Asham, turut membidas ketaksuban kepada sanad sehingga meletakkan sanad atau lebih tepat lagi ilmu rijal itulah segalanya. Sanad hanyalah bermaksud 'sandaran' dan tidak semestinya setiap sesuatu itu perlu disandarkan kepada periwayatan semata, barulah boleh diterima kebenarannya.

Selesai sesi hari itu, aku berkesempatan bertemu dengan Saudara Asham, lalu beliau memberikan rencana yang pernah beliau hantar kepada pihak akhbar berhubung dengan hal yang sama. Rencana berjudul Awasi Pelampau Hadith II, masih boleh dilawati di laman web IKIM. wallahu'alam.

Monday, August 11, 2008

Berkata-kata itu juga perbuatan

Kita sering mengira bahawa apabila disebut 'perbuatan' ianya melibatkan anggota fizikal kaki dan tangan. Apabila dikata berbuat baik kepada orang, sering kita terbayang perilaku seperti membantu, tidak meyakitkan orang dengan memukul dan lain-lain. Jarang kita terfikir bahawa di lidah itu juga sebahagian dari anggota yang terlibat dalam 'berbuat' sesuatu. Ramai yang menjaga agar tidak menyakiti orang lain secara fizikalnya, seperti tidak memukul orang dan seumpamanya. Tetapi tidak ramai yang menjaga lidah mereka dari menyakiti hati dan perasaan orang lain, menimbulkan provokasi dan kemarahan orang, mengumpat dan seumpamanya. Walhal semua itu termasuk perbuatan, dan ianya akan dipertanggungjawabkan di Hari Akhirat kelak.

Bersabda junjugan Mulia:

"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam"
(al-Hadith)

Sunday, August 10, 2008

Hati-hati Fitnah Pandangan Manusia

Para sarjana Islam yang mengkaji sejarah kepimpinan melihat ada pelbagai bentuk rupa kepimpinan dalam Islam yang agak berbeda-beda. Dari kepimpinan Baginda Rasulullah s.a.w sehingga ke Khulafa al-Rashidin dan seterusnya. Cuma yang sering diambil contoh teladan adalah kepimpinan Baginda Rasulullah s.a.w. diikuti oleh empat orang sahabat ternama itu. Kepimpinan Umar ibn Abdul Aziz (w.720) yang memerintah hanya 2-3 tahun saja juga cukup mengkagumkan dan sering dijadikan rujukan.

Apakah yang menjadikan mereka ini pemimpin yang hebat dan mengkagumkan dunia, hatta termasuk di kalangan orang-orang bukan Islam sendiri? Kerana mereka ini memimpin dengan penuh keadilan dan tidak mementingkan diri sendiri atau kaum keluarga mereka. Dan dengan sendirinya kebajikan rakyat terjamin dan dibela.

Apabila Hakim Lord Hewart menuturkan prinsip mahsyur yang hari ini diterimapakai di seluruh dunia: ‘Justice should not only be done, but should manifestly and undoubtedly be seen to be done (keadilan bukan sekadar dilaksanakan, tetapi dilihat dilaksanakan) ternyata pengamatan beliau amat tepat sekali, dan sudah sekian lama diamalkan oleh Baginda s.a.w. dan para sahabat. Begitu juga slogan ‘kepimpinan melalui teladan’ merupakan slogan yang hidup dan boleh dilihat dalam peribadi-preibadi mulia ini sehingga apabila ditanyakan Sayyidatina Aisyah r.a. bagaimanakah akhlak baginda Rasulullah s.a.w., lantas menjawab: “Akhlaq beliau adalah al-Qur’an”.

Rasulullah s.a.w. adalah al-Qur’an yang bergerak, hidup dan berjalan. Boleh dilihat oleh semua orang. Sepertimana keadilan tidak memadai sekadar dilaksanakan atau dikatakan sudah terlaksana, tetapi ianya perlu dilihat oleh mata rakyat jelata dilaksana. Islam bukan agama slogan dan perjuangan Islam juga bukan perjuangan slogan. Sebab itu hari ini Islam tidak dihormati, diperlekehkan orang bukan Islam dan Barat kerana umat Islam asyik berslogan. "Islam itu cantik", "Islam itu cemerlang", "Islam itu adil", "Islam itu menjaga kebajikan", Islam itu dan ini. Tetapi realiti pengamalannya di kalangan umat Islam tidak melihatkan kecantikan dan keadilan Islam itu, bahkan sebaliknya. Islam tidak dilihat cantik dan adil. Mereka yang kononnya berjuang untuk menegakkan keadilan Islam pun sering terbabas tenggelam dalam kepentingan diri sendiri. Mereka yang menentang korupsi, kronisme, nepotisme (KKN) sebelum berkuasa, turut melakukan hal yang sama apabila ditampuk kekuasaan. Sepatutnya, tunjukkan kita menentang itu semua dan jelas terlihat oleh rakyat bahawa kita benar-benar berjuang menegakkan keadilan Islam. Slogan dan manifesto yang tidak diterjemahkan ke dalam realiti kehidupan adalah seumpama debu-debu berterbangan tanpa makna. Inilah slogan kosong namanya dan manifesto menipu.

Islam cukup memandang berat apa yang dilihat oleh orang ramai yang ada ketikanya, apabila menepati syaratnya, boleh menjadi salah satu kaedah dalam menerbitkan hukum sepertimana dalam hal ‘urf. Justeru itu kita sering dianjurkan agar mengelak dari fitnah pandangan masyarakat. Walaupun kita mungkin ikhlas atau di pihak yang benar, namun jika keikhlasan itu boleh disalahtafsirkan, maka aulanya tinggalkan perbuatan tersebut. Seorang abang dan adik perempuan yang sudah belia remaja tidak elok berjalan bersiar-siar di khalayak ramai sambil bepegang tangan misalnya, walaupun tidak haram persentuhan mereka kerana mahram, tetapi perlakuan sedemikian boleh mengundang fitnah dan buruk sangka di kalangan masyarakat melihat yang tidak mengenali bahawa mereka berdua itu sebenarnya dua beradik.

Teringat ketika almarhum ayahku suatu ketika dahulu pernah menjawat Pengarah sebuah Yayasan milik sebuah kerajaan negeri. Di ketika aku baru tamat pengajian Universiti, aku bertanya padanya jika ada kekosongan sebagai guru sandaran di Yayasan tersebut, sementara menunggu kerja tetap yang lebih sesuai. Jawatan kosong memang banyak, tetapi dia tidak membenarkan aku memohonnya. Aku katakan padanya aku layak kerana memiliki Ijazah dan apa salahnya, jawab beliau ya benar, tetapi beliau tidak mahu mendengar cakap-cakap tidak enak di belakang kononnya Pengarah telah mengambil anaknya sendiri bekerja. Soal aku layak itu tidak timbul samasekali pada pandangan masyarakat. Mereka akan melihat bahawa perlantikan itu atas dasar nepotisme dan kronisme, bukan kelayakan.

Begitu juga suatu ketika aku diberitahu ada kekosongan untuk tender kantin di sebuah universiti. Isteriku memang pengusaha makanan bergegas pergi mengambil borang dan membayar RM50.00 untuk mendapatkan borang tender berkenaan. Namun setelah berfikir panjang, kami sepakat tidak menghantarnya takut dibimbangi nanti jika permohonan kami diterima, walaupun sememangnya isteriku layak, akan timbul fitnah dan cakap-cakap bahawa beliau diterima kerana kami mempunyai kenalan di dalam jawatankuasa tender berkenaan. Biarlah rugi RM50.00 membayar borang daripada berdepan dengan fitnah manusia yang boleh merosakkan reputasi dan nama baik kita. Bukan sekadar itu, orang yang berburuk sangka kepada kita itu pula mungkin berdosa. Mereka hanya melihat secara luarannya sahaja, tanpa mengambilkira bahawa kita juga layak sebenarnya.

Kesimpulannya, setiap tindakan kita perlu mengambil kira pandangan masyarakat terhadap tindakan berkenaan, dan adakah ia boleh mengundang fitnah dan buruk sangka. Jika kita mempunyai pilihan lain, maka cuba ambil tindakan yang agak sukar untuk difitnahkan orang. Jika terpaksa apa boleh buat.

Teringat ketika di Syria dahulu, sahabatku Mohd. Reza dan Abdul Rashid sering menyebut bahawa para ulama Syria tidak menaiki bas (servis) kerana tidak mahu berebut dengan wanita yang bukan mahram, dan takut mereka diambil gambar curi ketika dalam bas yang penuh sesak lelaki dan perempuan yang boleh menghilangkan thiqah orang terhadap mereka. Mereka lebih rela berjalan kaki. Wallahu'alam.

Saturday, August 09, 2008

Sudah Jatuh ditimpa Tangga

Semalam 08.08.08, aku menerima sepucuk surat dari majikanku. Surat bukannya untuk memberi sokongan moral dan perangsang atas musibah yang menimpa diriku, tetapi ugutan untuk mengambil tindakan ke atasku kerana kononnya telah melanggar Klausa 4 GTCA. Sudah lah jatuh, ditimpa tangga pula. Mereka jelas tidak menunjukkan sikap matang, bersifat ihsan. Anak sulungku Ammar jauh lebih bijaksana dari mereka apabila menuturkan: "Abie, you don't have to worry, you have done your best!".

Aku tidak heran dengan ugutan sedemikian kerana kurniaan Allah terlalu besar di atas mukabumi ini. Selagi ditakdirkan hambaNya itu bernyawa, selagi itu ada rezeki buatnya. Ulat di dalam batu pun boleh hidup, apatah lagi kita manusia berakal dan diberi kudrat tulang empat kerat.

Cuma aku sedih memikirkan sikap umat Islam dan majikan Islam. Inilah yang sering kuutarakan sebelum ini. Ada ketikanya orang kafir Barat itu lebih jauh bertolak ansur, simpati dan toleransi berbanding dengan orang Islam sendiri. Ada-ada sahaja jalan dan cara difikirkan untuk membantu orang lain. Di kalangan orang Islam, khususnya bangsa Melayu, penuh dengan hasad dengki dan suka menjatuhkan satu sama lain. Ada sahaja peluang, klausa, pekeliling yang boleh digunakan untuk menyingkirkan seseorang, akan pasti digunakan.

Ingatanku buat mereka berkuasa: ingatlah bahawa kita boleh mewujudkan peraturan, undang-undang bagi menjamin kepentingan kita tidak terjejas, memerah keringat orang bawahan lain habis-habisan, tetapi ingat bahawa jika di dalam peraturan atau undang-undang itu ada unsur kezaliman, pasti kita tidak akan terlepas perbicaraan di Padang Mahsyar kelak di depan Rabbul Jalil. Maka pada hari itu klausa dan peraturan yang dibanggakan suatu ketika dahulu itu akan menjadi sumber penyesalan.

Thursday, August 07, 2008

Novel: Ayat-Ayat Cinta

Lama rasanya tidak kembali mengetuk keyboard usang ini dan mengupdate 'diari' virtualku. Ini kerana aku sering berjauhan dengannya sejak akhir-akhir ini ditambah pula dengan kesihatan yang sedikit terganggu. Harapan untuk berkunjung ke PC Fair demi mencari laptop baru juga tidak kesampaian lantaran keterbatasan waktu. Sayang laptop yang dipakai belum sampai dua tahun itu sudah tidak ekon0mikal lagi untuk diperbaiki. Ini mengingatkan ku pesan jiranku penjual komputer di Edinburgh, lain kali beli laptop minta 3-year warranty. Bayar lebih sedikit pun berbaloi, katanya, sebab kos baikpulih laptop agak tinggi.

Beberapa hari lalu, aku dipinjamkan sebuah novel dan disarankan membacanya. Isteriku beriya-iya benar menyuruhku membacanya kerana katanya novel berkenaan menarik dan lain dari yang lain. Aku sejak dulu kurang berminat membaca novel. Apalagi novel-novel cinta. Ku lebih gemar membaca buku-buku akademik berat kerana bagiku masa terlalu berharga untuk dihabiskan membaca cerita-cerita khayalan dan rekaan belaka yang tidak begitu bermanfaat.

Bagi isteriku lain pula, ada novel kata beliau yang mampu membangkit jiwa dan semangat untuk lebih kuat mentaati Allah, dan novel pembangun jiwa seumpama itu sepatutnya dibaca. Lalu beliau mengunjukkan novel 'Ayat-Ayat Cinta' oleh Habiburahman El-Shirazy. Ternyata aku terpaku untuk beberapa waktu bagi membaca dan menghayati cerita yang diolahnya menarik, penuh pengajaran dan tauladan. Kusarankan khususnya buat adik-adik remaja meluangkan masa membaca novel ini dan mengambil teladan dari kisah yang dipaparkan.