Sunday, June 29, 2008

Gagal: Bukti Adanya Yang Maha Berkuasa

Pengalaman bekerja sekitar lebih 12 tahun menunjukkan bangsa kita tidak beramal sepenuhnya dengan ajaran Islam dalam pekerjaan mereka. Yang menyusahkan dan memayahkan orang bawahan adalah orang-orang Islam sendiri, para pentadbir Islam. Sesetengah peraturan, polisi dan dasar itu diwujudkan lebih banyak menyusah dari menyenangkan kita.
Di Barat, segala urusan cuba dipermudahkan. Yang payah tahun ini, tahun hadapan akan cuba dipermudahkan. Mereka sentiasa melakukan survey untuk membina kepuasan, samada pelanggan mahupun pekerja bawahan. Mereka meminimakan peraturan-peraturan yang mengongkong. Mereka hidup lebih berdasarkan prinsip 'trust' (amanah kepercayaan). Prinsip yang diambil dari ajaran Islam yang menganjurkan agar kita selalu bersangka baik (husnu zan) terhadap orang lain. Malangnya prinsip ini diabaikan oleh orang Islam. Orang Islam lebih percaya kepada sekatan-sekatan bersifat perjanjian, polisi dan peraturan yang ada ketikanya lebih kepada menzalimi orang lain. Setiap bulan ada saja Pekeliling Pentadbiran dikeluarkan yang tiada lain melainkan mengongkong belaka. Manusia mahu diperlakukan seperti robot dan komputer yang mengikut apa sahaja peraturan, pekeliling yang dipaksakan ke atas mereka tanpa ada pertimbangan perikemanusiaan dan ihsan. Manusia bukan robot yang tidak mampu berfikir. Manusia ada perasaan dan akal. Manusia yang jahat akan ada sahaja jalan yang dicari untuk mencapai hajat jahatnya walaupun pelbagai sekatan peraturan, perjanjian dikenakan. Mereka boleh menjadikan yang salah itu benar dari segi perundangan, atau apa yang sering disebut "legally right but morally wrong". Justeru itu, ada ketikanya unsur yang mengikat manusia bukan semata melalui peraturan, surat pekeliling tetapi juga unsur-unsur kemanusiaan, mahabbah dan pertimbangrasaan. Sesuatu tindakan juga perlu mengambil kira keadaan seseorang secara case-by-case, dan meletakkan situasi kita dalam situasi orang berkenaan.
Bukan bermaksud mendewakan Barat, cuma mengambil teladan dari mereka. Di Barat hampir semuanya mudah. Berurusan dengan e-mail pun diterima sebagai urusan rasmi. Di sini e-mail tidak dibuka dan tidak dikira rasmi, hanya untuk borak kosong dan gossip saja. Di sini semua urusan rasmi perlu “mengadap” secara berdepan “in-person” dan membuang masa yang lama yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk hal lain. Banyak urusan penuh dengan kerenah birokrasi, borang itu dan ini, meeting lepas satu meeting baru sesuatu keputusan boleh diambil. Menunggu tandatangan pun mengambil masa beberapa hari kalau tidak minggu, seolah-olah tiada orang lain yang boleh menurunkan tandatangan di ketiadaannya.
Pesan Nabi s.a.w. “yassiruu wa la tu’assiruu” (permudah jangan kamu memayahkan) tidak dihayati oleh orang Islam, sebaliknya diamalkan oleh masyarakat Barat hari ini. Orang kita lupa bahawa orang yang memudahkan urusan orang lain, nescaya Allah Ta'ala akan memudahkan jalannya ke Syurga.
Di kalangan masyarakat kita, mereka bukan sahaja gemar mencari jalan memayahkan orang lain, tetapi juga seolah gembira melihat orang lain tidak berjaya dan gagal. Cerminan dari sifat hasad yang menebal. Berbeda dari kalangan kaum Tionghua yang khabarnya jika saudara-mara mereka gagal dalam sesuatu perniagaan, mereka terus dibantu. Pinjaman terus diberi buat kali kedua. Dan jika gagal lagi, dibantu lagi buat kali ketiga dan terakhir. Mereka tidak mematahkan semangat saudara mereka berniaga. Semangat membantu satu sama lain cukup tinggi. Konsep “ta‘awwun ‘ala al-birr” (tolong-menolong dalam kebaikan) ajaran Islam dihayati oleh kaum Tionghua yang bukan pun beragama Islam. Sebaliknya, masyarakat Melayu Islam rata-rata penuh dengan Perasaan Hasad Dengki (PHD), tidak suka melihat orang lain lebih dari mereka, hatta dari kaum keluarga sendiri. Rata-rata kita mengakui bahawa yang kuat berdengki ialah bangsa kita walhal hasad merupakan antara penyakit hati yang cukup merbahaya.
Berbeda dengan masyarakat Barat dan kaum Tionghua, dalam masyarakat Islam Melayu, kegagalan saudara mereka bukan untuk diberi bantuan dan kata-kata perangsang agar terus berusaha lagi; jangan kecewa dan berputus asa, menggesa agar terus gigih berusaha sehingga berjaya. Sebaliknya dimarahi dan dipersalahkan. Peluang kedua jarang diberi.
Saya bersimpati dengan seorang pensyarah yang bakal menerima hukuman dari majikannya. Majikan Melayu Islam itu telah berkata kepada pekerja bawahannya, yang juga saudara se-Islam dengannya di sebuah organisasi kononnya berteraskan "Islam" dengan ungkapan angkuh: “Do you know the consequences of your failure: dismissal”? Si Majikan seolah-olah tidak pernah merasai kegagalan dalam hidupnya, persis lagak Sang Firaun yang tidak pernah merasai kesempitan hidup dan kesakitan. Malah Firaun dikatakan tidak pernah merasai demam hatta selsema selama hidupnya. Persoalan yang diajukan itu pula seolah menggambarkan orang bawahannya itu memang ingin mencari kegagalan dalam misi tugasannya. Apa kata jika si pekerja pula dengan biadap menjawab: "Do you know the consequences of dismissing me? See you in court!". Alangkah punahnya hubungan ukhuwwah Islamiyyah jika begitu muamalah antara majikan-pekerja, tanpa ada rasa kasih sayang. Di mana hilangnya semangat "brotherhood" yang dilaungkan dan cuba diterapkan sekian lama jika majikan asyik ingin menyingsing baju menunjukkan sasa lengan dan tubuhnya yang gagah perkasa? Majikan sepatutnya berlagak seperti bapa dan pekerja pula seperti anak-anaknya. Kesalahan dan kegagalan anak bukan bermakna kita boleh memutuskan ikatan dengannya dan menghalau anak kita keluar dari rumah. Dia memerlukan sokongan dan nasihat atas kegagalannya itu dan bukannya hukuman. Inilah asas dalam pentadbiran Islam dan hubungan antara majikan-pekerja. Malang buat beliau jika sudah jatuh ditimpa tangga pula. Dikhuatiri juga majikan tidak terlepas dari melakukan kezaliman di Mahkamah Rabbul Jalil di hari akhirat kelak, walaupun mungkin terlepas di atas mahkamah dunia ini berdasarkan prinsip perjanjian, dasar dan polisi yang telah direkacipta.
Saya sama sekali merasakan tidak wajar pekerja yang gagal dalam apa jua misi tugasannya dihukum semata kerana kegagalannya itu. Ini suatu bentuk kezaliman. Lebih-lebih lagi jika dia telah berusaha gigih. Apakah wajar bala tentera yang tewas di medan pertempuran menerima hukuman kerana kekalahannya itu? Mereka berperang pun kerana diperintahkan ke medan peperangan, berjuang habisan sehingga ada yang melayang nyawa. Mereka ke sana bukan atas kehendak nafsu mereka sendiri.
Siapakah yang mahu gagal, persoalannya?. Tiada manusia waras yang mencari kegagalan, namun kegagalan dan musibah tetap juga datang kerana ianya sedemikian disuratkan.
Firman Allah Ta'ala:
مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ وَلَا فِىٓ أَنفُسِكُمۡ إِلَّا فِى ڪِتَـٰبٍ۬ مِّن قَبۡلِ أَن نَّبۡرَأَهَآ‌ۚ إِنَّ ذَٲلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرٌ۬
Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (al-Hadid 57:22)
Namun orang beriman dan bertakwa tidak pernah merasa takutkan kegagalan dan bersedia menempuh kegagalan dan kesan akibat dari kegagalan itu kerana dia menyakini bahwa Allah-lah yang menjadikannya gagal, Qada' dan QadarNya, dan Allah Yang Maha Pemurah itu akan pasti membuka jalan rezeki lain pula buatnya. Tawakkalnya cukup tinggi buat ALlah.
Gagal merupakan lumrah kehidupan yang tidak boleh dielak. Kegagalan menunjukkan bahawa adanya Yang Maha Berkuasa. Orang yang sentiasa mendapat apa yang dihajati dibimbangi akan lupa daratan, lupa TuhanNya dan lupa bahawa dia akan mati suatu hari nanti. Bukankah mati merupakan kegagalan yang paling tinggi di dunia ini, iaitu kegagalan untuk terus hidup. Adakah mampu di antara kita lari dari kegagalan sebesar itu?
Sebab itulah kita diperintahkan bersyukur ketika senang dan bersabar ketika susah dan gagal. Perintah bersabar ketika susah itu menunjukkan bahawa kesusahan itu ada. Namun kita tidak boleh putus harap kepada ALlah ketika ditimpa musibah. Lantaran itulah kita dianjurkan bersabar agar hubungan kita dengan Allah terus dimantapkan walaupun di ketika susah. Orang yang paling banyak gagal dan diuji adalah para anbiya’ dan solihin dan mereka yang seumpamanya. Namun Allah tidak murka kerana kegagalan mereka, tetapi berbangga kerana mereka banyak bersabar dan terus gigih berusaha disebalik kegagalan itu. Lantaran itu ada di kalangan mereka di gelar ‘Ulul Azmi’. Hatta Baginda s.a.w. sendiri pernah gagal. Di baling batu sehingga berdarah ketika berdakwah di Ta’if, gagal memujuk bapa saudara kesayangannya Abu Talib memeluk Islam, dan kalah dalam Peperangan Uhud.
Kegagalan dan kekalahan mengandungi pengajaran tersendiri yang perlu direnungi dan diamati secara mendalam, menuntut kita mencari hikmah di sebaliknya. Bukan untuk dicela, dihina mereka yang gagal. Kadangkala kegagalan itu bukan 100% disebabkan kelemahan orang yang gagal itu, tetapi faktor luaran yang lain. Anak-anak yang gagal ada ketikanya bukan salah mereka, tetapi salah ibubapa yang tidak memberi tumpuan kepada mereka, tidak pernah menanyakan pelajaran mereka; ibubapa gagal mewujudkan suasana belajar yang selesa untuk mereka di rumah; ibubapa sering bergaduh sehingga anak-anak hilang tumpuan belajar dan bosan di rumah; ibubapa sibuk dengan kerja mencari harta di luar sedangkan harta paling berharga dirumah, iaitu anak-anak mereka, mereka abaikan.
Menjadi ibubapa Muslim, pentadbir Muslim, pensyarah Muslim dan apa jua menuntut kita menjadi lebih cemerlang dari yang bukan Islam. Kerana Islam itu Cemerlang yang tiada agama lain atau ideologi lain lebih cemerlang darinya (al-Islamu ya’lu wa la yu’la ‘alayh). Cemerlang bukan semata atas kertas akademik dan kelulusan, tetapi cemerlang dari segi akhlak dan budipekerti mulia. Kerana akhlak dan budipekerti itulah lebih dekat dengan manusia, dan lebih senang ternampak dek mata dan hati, dan bukannya kelulusan akademik kita.
Hari ini sudah ramai orang Melayu Islam yang cemerlang dari segi kelulusan, bersijilkan PhD, bergelar Professor, berjawatan kerajaan sehingga JUSA, dan sebagainya. Tetapi akhlak mereka mengecewakan dan tidak mencerminkan kehebatan intektual dan pengalaman luas yang mereka miliki. Lebih mengecewakan apabila mereka ini berkerja di organisasi Islam namun ruh Islam tiada pada mereka. Mereka hebat dari segi zahiriah semata, tetapi kosong dari segi batin dan ruh. Tidak memahami perasaan dan menyelami jiwa dan penderitaan orang lain. Tiada ihsan dan kasihan belas dalam mereka bertindak, yang sepatutnya wujud dalam sanubari orang mukmin hakiki. Mereka gemar menzahirkan kekuasaan sementara mereka miliki; memecat dan menyekat gaji dan kenaikan pangkat orang bawahan lain atas nama peraturan, polisi dan dasar. Mereka ini ibarat tubuh-tubuh terzahir kecantikan, tetapi sayangnya jika diamati rupanya mayat-mayat belaka, tanpa ruh. They all are beautiful dead corpses! Apakah ada sebarang manfaat lagi pada mayat-mayat?
Moga-moga Allah jadikan kita semua tinggi ilmu dan tinggi juga adab dan akhlak budipekerti. Allahumma rabbi zidni ilman warzuqni fahma. Addabani rabbi fa ahsin ta'dibi.

Tuesday, June 24, 2008

Sidi Ahmad Zarruq: 5 Usul Tarekat

Berkata Sidi Sheikh Ahmad ibn Ahmad Zarruq r.a. bahawa tarekat kita ini mengandungi lima usul utama, iaitu:

  1. taqwā Allahi fī al-sirri wa al-alāniyyah (taqwa kepada ALlah baik dalam keadaan rahsia mahupun terang)
  1. ittibā’ al-sunnah fi al-aqwāl wa al-af’al (mengikut sunnah dalam perkataan dan perbuatan)

  1. al-‘irād ‘an al-khalq fi al-iqbāl wa al-idbār (tidak mempedulikan apa pandangan org terhadapnya dalam menerima atau menolak)
  1. al-ridā ‘an Allah fi al-qalīl wa al-kathīr (reda kepada Allah samada dalam keadaan sedikit mahupun banyak)
  1. al-ruju’ ilā Allahi fī al-sarrā’ wa al-darrā’ (kembali kepada Allah samada dalam keadaan senang mahupun susah).

Saturday, June 21, 2008

In-laws are death

My youngest sister has been staying with my second sister since my father passed away in 2000. My mother stays with them too since then. And this second sister has been married for many years. My youngest sister, who has been pursuing her degree in Medicine came to visit me today, since she is having her one-month break. We have no chance of talking much since I left the country for the last four years.

Looking that she has become a fully grown-up lady now, I reminded her to observe her ‘awrah in front of her brother in-law while in the house, since he is her non-mahram, no matter how close we are to him. He is a nice and pious person though, no doubt about it. Surprisingly, she responded that she heard there was a dispensation given to someone who had been staying with and raised by a non-mahram, such as a brother in-law, since one was still a minor. And concealing of the ‘awrah according to her could be relaxed. I have’nt heard such a ruling before and found it quite strange.

I told her that as far as I am concerned, it is in fact on the contrary, relationship with the in-laws is to be more strictly observed since given the familial and social atmosphere, one tend to feel comfortable and forget that one were not actual blood brother-sister in relationship.

For that reason the Prophet has been reported, in both Sahihayn, Sahih Bukhari and Muslim of an authentic hadith from Uqbah ibn Amir (May Allah be pleased with him) that the Messenger of Allah s.a.w. said: “Beware of going near (non-mahram) women.” A person inquired: “What about in-laws?” The Messenger of Allah (May Allah bless him and give him peace) responded, “The in-laws are death. The Prophet compared the in-laws to death, to demonstrate its gravity even more than the non-mahrams.

It is up to her to follow my advice or her google ustaz that she found on the internet. What a big fitnah now during this cyber age when we have spurious google alims and mawlanas mushroomed on the internet. These people, most of them, do not even have any proper formal learning and qualification. May Allah help us all.

Monday, June 16, 2008

Tiga Prinsip Utama Tasawwuf: Zuhud

Rata-rata kitab tasawwuf seperti Lata'if al-minan karya Sidi Ibn 'Ataillah misalnya, meletakkan tiga prinsip utama ini untuk seorang salik:
  1. Zuhud (zuhd)
  2. Taubat (tawbah)
  3. Merealisasikan hakikat penghambaan (tahqiq al-'ubudiyyah)
Kalimah zuhud sering disalahfahami hari ini dan mempunyai konotasi negatif. Zuhud sering disamakan dengan "selekeh", "miskin", "tolak dunia", dan seperti itu. Walhal hakikat zuhud yang sebenarnya bukan membawa maksud sedemikian. Zuhud sebenarnya ialah suatu sikap yang membebaskan hati seseorang itu dari terikat dengan apa jua unsur lain melainkan ALlah. Hatinya hanya terisi untuk ALlah dan selain ALlah dikira baginya melalaikannya.

"Lalai" bagi ahli tasawwuf berbeza dari "lalai" mengikut takrif fekah atau orang awam. Bagi orang awam, jika mereka terlibat dalam hal-hal keduniaan sehingga meninggalkan kewajipan seperti solat dan seumpamanya, maka baru dikira terlibat dalam aktiviti 'lalai' (lagha). Bagi ahli sufi memadai jika mereka terlupa untuk berzikir buat beberapa waktu, maka itu sudah dikira lalai (ghaflah).

Itu tidak bermakna orang zahid menolak dunia, cuma dirinya tidak melihat dunia itu sepertimana orang awam melihatnya dan tertarik dengannya. Bagi mereka, dunia diambil sekadar untuk membantunya mengingati ALlah.

Dunia dalam terminologi tasawwuf merujuk kepada sekalian hal yang melekakan manusia. Namun jika unsur dunia itu tidak melalaikan seseorang, maka itu bukan dunia, tetapi akhirat walaupun ianya secara zahirnya dunia.

Hartabenda boleh menjadi samada bersifat dunia ataupun akhirat, bergantung kepada siapa yang mendatanginya. Bagi mereka yang rakus dengan dunia, dan penggemar dunia (abna' al-dunya) mereka mengejar dunia dan kemewahannya sehingga melalaikan mereka dari kewajipan. Tetapi bagi para zuhhad mereka tidak mengejar harta, namun jika harta kemewahan dianugerahkan ALlah, mereka bersyukur dan dalam masa sama tidak takut membelanjakan harta mereka pada jalan ALlah. Mereka tidak takut kehilangan harta, atau mereka mungkin akan menjadi faqir atau miskin kerana bersedekah pada jalan ALlah. Apa perlu mereka takut kehilangan sesuatu yang mereka tidak kasihi? Kita merasa takut kehilangan harta kerana kita kasihkan harta tersebut dan takut menjadi miskin tanpanya. Tanya diri sendiri adakah kita takut kehilangan hartabenda yang dimiliki atau kita akan redha jika itu yang Allah takdirkan buat kita? Jika kita merasa takut, maka itu tandanya kita cintakan harta kita walaupun lidah kita mungkin cuba menafikannya. Makin kuat kecintaan seseorang kepada hartanya, makin tinggi ketakutannya jika hartanya itu hilang dari milikannya. Itu tidak bermakna kita tidak perlu mengambil langkah-langkah perlu menjaga harta benda kita.

Para zuhhad cukup gemar membelanjakan harta mereka jika dianugerahkan, dan sentiasa merasa mencukupi di ketika tiada. Orang bakhil tidak layak menjadi seorang zahid kerana kecintaannya pada harta dunia, sedangkan orang zuhud bersifat karim, pemurah sentiasa.

Tuesday, June 10, 2008

Antara kemewahan pemimpin dan kesengsaraan rakyat

Seorang sahabat meminta saya memberi sedikit pandangan tentang kenaikan harga minyak. Saya setuju dengan pendapat ramai bahawa yang terasa himpitannya ialah rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana. Para pemimpin dan pak-pak menteri tidak merasa apa-apa kerana bukan sahaja gaji dan elaun mereka puluhan ribu sebulan jumlahnya, bahkan minyak pun dibayar oleh kerajaan. Inilah apabila jurang antara pemimpin dan rakyat terlalu jauh. Kekayaan dan kemakmuran negara tidak dinikmati sama rata oleh sekalian rakyat jelata. Hanya kelompok kecil di atas sana sahaja rakus membelanjakan harta negara seperti harta peninggalan keluarga mereka sendiri. Sebab itu hari ini manusia berebut-rebut ingin menjadi pemimpin kerana mereka tahu laba dan habuan harta yang sedang menunggu bagi mereka yang bergelar pemimpin. Lalu masing-masing melaungkan berjuang demi membela bangsa, ada juga yang ingin membela agama dan sebagainya.

Dulu para sahabat, tabi'in dan salafus soleh menolak dari dilantik menjadi pemimpin. Jika diminta untuk menjadi pemimpin pun, masing-masing akan menggunakan harta milik mereka untuk membantu negara rakyat setelah dilantik memegang jawatan, sehingga akhirnya tiada harta yang tinggal buat mereka, dan bukan sebaliknya: mengaut harta negara demi mengkayakan diri sendiri . Hari ini, rata-rata orang-orang yang dulunya "biasa-biasa" sahaja yang tiba-tiba bergelar pemimpin sekelip mata menjadi kaya-raya. Dari rumah kampung buruk sebelum bergelar YB, bertukar kepada bungalow mewah seperti istana di celah-celah rumah-rumah buruk milik hamba rakyat kais pagi makan pagi kais petang makan petang.

Dulu ketika muda saya bersemangat juga berjuang untuk apa yang dilaungkan sebagai 'perjuangan Islam'. Namun akhir-akhir ini saya sedar bahawa hanya segelintir sahaja yang benar-benar berjuang kerana Islam, yang lainnya hanya untuk mengkayakan diri sendiri belaka apabila berkuasa. Berebut projek dan tanah balak hatta dalam parti yang dikatakan memperjuangkan Islam. Yang berkereta buruk menukar kepada kereta mewah; yang beristeri satu, menambah kepada dua dan tiga bahkan ada yang terus mencukupkan kuota. Bagi saya tidak wajar gaya dan cara hidup seseorang pemimpin apatah lagi 'pejuang Islam' berubah dengan tiba-tiba apabila dilantik YB. Ianya menimbulkan fitnah besar. Pemimpin dan lebih-lebih lagi pejuang Islam bukan berjuang untuk dunia tetapi untuk menegakkan Islam dan seharusnya mereka tidak dilekakan dengan kemewahan duniawi sepertimana kebanyakan manusia hari ini. Jika mereka inginkan kemewahan, terjun dalam bidang perniagaan dan tinggalkan memimpin, dan bukannya menggunakan kedudukan sebagai pemimpin untuk mencari peluang-peluang perniagaan dengan menyalahgunakan kedudukan dan pangkat.

Saya sering berkata kepada rakan-rakan yang kuat berjuang dalam 'perjuangan Islam' agar menyemai jiwa sufi, kerana selama diri tidak "di-sufikan" selama itulah kita menjadi rakus dan tamak dengan dunia, menjadi sepertimana kebanyakan manusia hari ini. wallahu'alam.

Tulisan Mufti Perlis yang terbaru agak menarik mengulas isu kenaikan minyak ini dengan membawa kisah mahsyur antara Imam Nawawi dan Sultan di zamannya. Walaupun dalam banyak hal saya tidak menyenangi tulisan beliau yang sering menyerang aliran tradisional, namun tulisan terbaru ini cukup menarik dan sepatutnya dihayati bersama khususnya oleh golongan bergelar pemimpin. Sepatutnya Dr. Asri perlu lebih banyak mengulas isu-isu sebegini yang menyuntik kesedaran dari membangkitkan isu-isu khilafiyyah yang tidak berkesudahan.

Dr Asri: Agama bukan mengkhayalkan orang miskin

Tuesday, June 03, 2008

Rakaman MP3 Kuliah Bidayatul Hidayat

Alhamdulillah, saya sempat merakamkan Kuliah Pengajian Kilat Kitab Bidayatul Hidayah oleh Sheikh Fahmi Zamzam (hafizahullahu Ta'ala) yang diadakan di Ukay Prima hujung minggu lepas. Rakaman ini bermula dari "Bab Adab Apabila Imam Mula Bertakbir".

Link:  Rakaman MP3 Bidayatul Hidayah oleh Sheikh Fahmi

Moga-moga bermanfaat.