Countdown 4 - Secebis Pengalaman Shipping
Tinggal beberapa minggu lagi sebelum kami mula meninggalkan bumi Edinburgh ini dan pulang ke tanahair. Bagi isteriku yang hampir empat tahun merantau setia menemaniku, sudah tentu rindu teramat terhadap sanak keluarganya.
Semalam, Alhamdulillah, urusan penghantaran pulang barang-barang ke Malaysia berjaya disempurnakan dengan bantuan ramai warga Malaysia di Edinburgh, tua muda, adik-kakak dan anak-anak. Berduyun-duyun datang, bahkan ada yang sejak malam sebelumnya -- termasuk sahabatku dari Newcastle --membantu membungkus apa yang perlu, bantu memasak, mengemas, memandu van seawal pagi dalam memindahkan barangan untuk dimasukkan ke kontena. Ada yang bermurah hati menyedekahkan seekor kambing untuk dijamu pada tengahari itu, begitu juga sahabat-sahabat lain dengan pelbagai sumbangan masing-masing dari pelbagai bentuk dan rupa. Terharu dan berterima kasih.
Itulah suasana komuniti Melayu Edinburgh. Ukhuwwah Islamiyyah, kasih sayang yang erat terjalin mungkin hasil berkat peninggalan tradisi dan contoh teladan baik generasi silam: Dr. Azman, Dr. Hisham, Dr Hanafiah, Dr. Lukman, Dr. Nasri dan generasi sezaman mereka. Ianya menjangkaui pelbagai perbezaan pandangan, pendirian politik dan batasan kenegeriaan. Tiada berpuak-puak, berpecah belah atau pulau memulau seperti di sesetengah tempat lain di UK. Suasana mesra seperti di kampung-kampung, hidup mesra laksana adik-beradik, tidak seperti kehidupan di Kuala Lumpur yang "nafsi-nafsi" sehingga jiran sebelah rumah pun tidak dikenali.
Bagi orang luar Edinburgh, atau baru tiba di Edinburgh akan melihat suasana sebegitu sebagai sesuatu yang ganjil, pelik dan jarang ditemui. Sahabat dari Newcastle yang turut hadir melahirkan rasa kekaguman dengan suasana meriah kami yang bukan sahaja dihadiri kaum bapa, tetapi ibu dan anak-anak turut sama. Tetapi bagi yang sudah hampir empat tahun di sini, aku melihat ianya suatu suasana biasa yang ditemui pada setiap kali membantu rakan-rakan yang akan pulang ke tanahair. Itulah cerminan akhlaq mulia warga Malaysia Edinburgh. Inilah yang dikatakan amalan "bantu-membantu" atau "tolong-menolong", suatu konsep yang dianjurkan oleh Islam yang disebut "al-ta'awun" sepertimana firman Allah Ta'ala:
"Bertolong-tolonganlah kamu dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan, jangan kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan maksiat"Wang ringgit sesungguhnya tidak mampu membeli ikatan persahabatan. Hanya persahabatan yang dijalin atas semangat ukhuwwah Islamiyyah, kasih sayang dan mengharapkan redha Allah sahaja yang mampu bertahan dan berkekalan. Ukhuwwah sebegitu jugalah yang dirakamkan oleh junjungan mulia dalam SabdaNya yang menyebut bahawa antara 7 golongan yang mendapat lindungan Arasy Allah s.w.t. di Padang Mahsyar kelak di ketika tiada lindungan lain melainkan lindungan ArasyNya sahaja, ialah dua insan yang berkasih sayang, bertemu dan berpisah demi kerana kecintaan kepada Allah.Bagi yang jahil tentang konsep al-ta'awun ini akan melihat tolong-menolong itu sesuatu yang menyusahkan dan membebankan orang lain. Di dalam Islam istilah "menyusahkan orang lain" itu samasekali tidak timbul. Sebaliknya Islam menganjurkan tolong-menolong dalam segenap hal yang baik dan ketaqwaan, dalam setiap ketika dan keadaan, terhadap setiap orang dan makhlukNya mengikut kemampuan. Pertolongan diberikan bukan kerana yang ditolong itu si A atau si B, kenal atau tidak, sahabat karib atau kenalan biasa, anak VIP atau anak orang hulu, tetapi kerana bersifat mulia sedemikian itu merupakan perintah Allah, agar kita saling hidup tolong-menolong satu sama lain hatta terhadap semua orang.
Kata-kata Inggeris berbunyi: Do all good you can, to all people you can at all times, cukup tepat dan selari pula ia dengan prinsip Islam. Sepatutnya sentiasa tersemat di lubuk sanubari setiap kita orang mukmin.
Ada masanya kita memerlukan bantuan orang, dan ada ketika lain kita pula hendaklah ringan tangan sentiasa bersedia memberikan bantuan dan pertolongan pada yang memerlukan. Itulah yang dikatakan saling tolong-menolong, bantu-membantu (al-ta'awun). Alangkah cantik dan indahnya kehidupan sedemikian. Jika masing-masing beramal dengannya nescaya suburlah kasih sayang dan ukhuwwah Islam sesama kita.
Bahkan kita bukan sekadar sepatutnya "tolong-menolong" tetapi turut bersifat "al-ithar", iaitu mendahulukan orang lain melebihi dari diri sendiri. Suatu sifat mulia yang kian jarang-jarang ditemui di kalangan umat akhir zaman hari ini. Sebaliknya kepentingan diri sendiri sering didahulukan dari kepentingan orang lain sesuai dengan runtunan nafsu tamak haloba dan kecintaan manusia kepada duniawi yang kian melampau.
Sewajarnya apa jua bantuan yang kita rasakan mampu berikan sepatutnya "ditawarkan" bukannya menunggu sehingga orang yang memerlukan bantuan memintanya. Inilah sikap golongan al-Ansar ketika menerima rombongan Hijrah golongan al-Muhajirin dari Mekkah suatu ketika dahulu yang menawarkan apa sahaja yang diperlukan, sehingga penawaran yang tidak mungkin terlintas di fikiran kita hari ini sanggup mereka berikan. Alangkah jauhnya penghayatan Islam kita berbanding generasi awal Islam.
Manusia berperibadi angkuh dan tinggi egonya sahaja yang eggan meminta bantuan orang lain kerana tidak mahu merasa "terhutang budi" lalu perlu membalasnya kelak. Hakikatnya tiada manusia boleh hidup sendirian di dunia ini, paling tidak dia pasti memerlukan orang lain suatu hari kelak, sekurangnya untuk memandikan jenazahnya dan menyembahyangkannya buat kali terakhir dan mengebumikan mayatnya!
Kepada yang ikhlas membantu kami semalam, tiada ganjaran yang lebih baik tersedia buat mereka melainkan pahala di sisi Allah Ta'ala atas segala kebaikan, penah lelah tenaga, masa, dan wang ringgit dalam membantu saudara seagama yang perlukan pertolongan. Jazakumullahu khayran jaza'. Kepada yang tidak sempat kami layani, tersilap tutur kata tidak selayaknya, kami sekeluarga memohon seribu kemaafaan. Ampun maaf juga jika ada yang terasa dirinya telah "disusahkan" oleh kami dan "terpaksa" hadir membantu. Kami serahkan kepada Allah jua membalas segala kebaikan kerana janji balasanNya atas segala kebaikan yang dicurahkan ikhlas mengatasi segala ganjaran duniawi yang mampu kami berikan:
Wa ma tuqaddimu li anfusikum min khayrin tajiduhu ‘inda Llahi huwa khayran wa a’dhama ajra...
"Apa jua kebaikan yang kamu dahulukan untuk diri kamu, pasti akan kamu temuinya di sisi Allah Ta'ala terlebih baik dan terlebih besar ganjarannya...". (al-Muzammil:20).

