Selang beberapa hari lagi, masyarakat di sini akan menyambut Krismas. Satu amalan menarik dalam tradisi masyarakat mereka ialah 'memberi hadiah'. Namun dalam masyarakat kita amalan sebegini belum dibudayakan lagi. Yang ada pun memberi duit raya untuk anak-anak. Pada Hari Raya tahun lepas, kami menerima berbondong hadiah dari jiran Pakistan warga Britain. Terkejut juga dibuatnya dengan penghormatan sedemikian, tapi itulah budaya di sini. Hari ini pula aku turut menerima hadiah dari rakan sekerja, Heather dan Wilma. Sebelum ini Professor Roff turut memberiku hadiah sebuah buku Peter Riddell. Pemberiaan Professor Roff itu bukan pun di musim Krismas.
Bagi kita orang Melayu, pemberian hadiah itu mesti kerana ada 'sempena' yang besar, atau untuk membalas balik budi kebaikan seseorang yang jika diberikan upah padanya nescaya beliau menolak. Apakah jika orang itu tidak berbudi pada kita maka kita tidak memberikannya hadiah? Islam tidak sebegitu.
Nabi s.a.w. menggalakkan bertukar-tukar hadiah: "Bertukar-tukarlah hadiah, kerana sesungguhnya ianya mengeratkan kasih sayang sesama kamu" [al-Bukhārī]. Pemberian hadiah pula bukannya sehala, 'one-way' dengan satu pihak sahaja yang asyik menjadi penerima sahaja, dan bukan pemberi. Tetapi ianya hendaklah turut sama menjadi pemberi. Ada juga mereka yang agak 'lokek', enggan sama sekali menerima hadiah lalu menolaknya, mungkin kerana tidak mahu termakan budi lalu terpaksa membalasnya, atau merasa menerima hadiah itu akan menjatuhkan statusnya meletakkannya seperti seorang penerima sedekah. Islam tidak berpandangan sedemikian kerana Baginda s.a.w. tidak pernah menolak apabila dihadiahkan sesuatu. Inilah amalan Baginda s.a.w. sepertimana diceritakan oleh Sayyidatina Aisyah r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawa Rasulullah menerima hadiah dan turut membalas pemberian yang beliau terima itu.
Jika keengganan menerima hadiah adalah kerana bimbang tidak mampu membalasnya, itu juga tidak berasas. Memang Rasulullah s.a.w. menganjurkan jika mampu agar kita turut membalas kebaikan yang diterima dengan kebaikan yang setara atau seumpamanya, namun jika kita tidak mampu maka hendaklah kita berdoa dan terus berdoa buat si pemberi kebaikan/hadiah itu sehingga kita merasakan kita telah membalas kebaikan yang beliau lakukan kepada kita itu dengan banyaknya doa kita itu [Abu Dawud].
Hadiah pula tidak semestinya sesuatu yang mahal, tetapi cukup sebagai tanda ingatan bagi mengeratkan kasih sayang. Itu matlamat sebenarnya pemberiaan hadiah dalam Islam, dan bukan semestinya hadiah itu suatu yang special dan mahal sepertimana mentaliti sebahagian besar masyarakat kita. Sebaik-baik hadiah yang diberi ialah benda yang memang diinginkan oleh si penerima, jika mampu. Lalu tidaklah berlaku sepertimana di sini apabila setiap kali selepas Krismas, hadiah-hadiah tersebut dijual semula dengan harga murah sebagai 'unwanted gifts'.
Bagi masyarakat Barat, memberi hadiah itu sudah menjadi adat budaya mereka khususnya setiap kali Krismas. Rakan sekerjaku itu misalnya, memberikanku beberapa helai stokin dan muffler beserta buah epal, gula-gula dan lain-lain yang dibungkus cantik. Harganya tidaklah seberapa, namun bukan nilai itu yang diambil kira, tetapi pemberian itu untuk mengeratkan persahabatan (friendship). Itulah budaya mereka yang boleh kita contohi. Jika bagi mereka untuk 'persahabatan' maka bagi kita pula untuk mengeratkan 'ukhuwwah Islamiyyah'. Tapi itu tidak bermakna kita menggalakkan 'budaya shopping' besar-besaran sepertimana mereka yang boleh menjerumuskan kepada pembaziran. Yang penting konsep dan sikap 'memberi hadiah' itu perlu jelas dan menjadi amalan kita.
Alhamdulillah, masyarakat Melayu di sini nampaknya sudah mula mengambil sedikit contoh budaya ini. Puan Niniee ketika menjadi Pengetua Sekolah Malaysia Edinburgh (SME) suatu ketika dulu sering menggalakkan pemberiaan hadiah untuk anak-anak SME. Dalam program-program yang dianjurkan SME, anak-anak sering diberikan hadiah. Hadiah kadangkala berupa pensil, crayon, biskut, dan sebagainya. Dari segi nilaiannya mungkin tidaklah seberapa, tapi pesan Niniee, 'nilai itu tidak penting', yang penting setiap hadiah perlu dibungkus cantik-cantik, walau dengan sekadar kertas suratkhabar supaya anak-anak yang menerima hadiah itu merasakan mereka memang menerima hadiah sebenar. Mereka dihargai. Ini penting juga dari segi psikologi anak-anak dan Niniee memang lulusan bidang itu, dan beliau lebih arif.
Seorang temanku Dr. Z pernah meminta nasihatku bagaimana untuk menyelesaikan masalah dengan jiran sepejabat dengannya kerana rakannya itu sering bermasam muka, tidak mahu menegurnya tanpa sebarang sebab. Ku katakan padanya, berinya hadiah nescaya akan hilang segala perangai tidak baiknya terhadap kita, Insya Allah. Sahabatku Dr. A sendiri pernah melakukan perkara yang sama dan terbukti berhasil. Beliau pernah bercerita bagaimana jirannya makcik Scottish, yang sering memarahi anak-anaknya kerana bising dan sebagainya. Lalu beliau memberi hadiah berupa coklat, gula-gula dan lain-lain untuk beberapa kali kepada makcik itu, lalu hilang segala perangai tidak eloknya terhadap keluarga beliau.
Cuma ramai di kalangan kita sukar untuk melakukan sedemikian kerana di dalam hati-hati kita masih ada 'penyakit hati', sombong dan takabbur. Kita sering mendengar ungkapan: "sekali engkau tidak mahu berkawan denganku seratus kali aku lagi tak ingin" dan seumpamanya. Itu semua ungkapan melambangkan ego yang tinggi, penyakit hati sedangkan di dalam Islam sekali orang ingin memutuskan silaturrahim dengan kita, semakin kita dekati kerana rahmat dan keampunan Allah bersama dengan orang yang menghubungkan silaturrahim. Insya Allah, kesempatan lain kita berbicara pula pasal menghubungkan silaturrahim, suatu tajuk yang agak panjang. Lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat Melayu yang 'berdarah panas' dan sering terlalu berbangga dengan 'darah panglima' dan gedebe masing-masing yang tidak bertempat mengikut kacamata Islam.
Dalam masyarakat kita budaya memberi hadiah ini juga ada walaupun mungkin tidak serancak di sini. Misalnya, di tanahair dulu, setiap kali menziarahi ke rumah orang maka kebiasaannya di bawa 'buah tangan' berupa makanan, buah-buahan atau kueh-mueh dan sebagainya. Namun sayangnya budaya mulia tradisi orang tua-tua kita itu yang selari dengan Islam sudah semakin dilupakan generasi baru. Generasi moden hari ini lebih senang 'berlenggang' kosong menziarahi rumah sahabat handai, dari membawa 'buah tangan' seperti amalan baik turun-temurun dulu.
Dalam kalangan masyarakat Arab Islam, memberi hadiah agak kuat juga diamalkan. Lebih-lebih di kalangan para Sheikh-sheikh alim yang mengamalkan Sunnah Nabi s.a.w. ini. Sheikh Abdul Aziz Frederick pernah menceritakan bagaimana setiap kali beliau menziarahi rumah seorang Sheikh Arab yang alim ini, pasti akan diberikannya hadiah. Suatu hari beliau berkunjung ke rumah Sheikh tersebut, dan di dalam hatinya terdetik "apa pula hadiah bakal aku perolehi hari ini". Namun sehingga beliau hampir berlalu pergi, Sheikh tersebut tidak memberinya sebarang hadiah. Pelik. Tiba-tiba beliau terdengar suara Sheikh itu memanggilnya dari tingkat atas "Abdul Aziz...Abdul Aziz.." Lalu Sheikh itu menghadiahkan padanya ketulan batu. Terlintas di fikirannya "buat apa dengan batu ini". Lalu Sheikh menceritakan bahawa batu itu asalnya adalah sebahagian dari Kaabah al-Musharrafah. Beliau memperolehi batu itu kerana Kaabah pernah terlibat dengan pembinaan semula suatu ketika dahulu. Lihat bagaimana Sheikh itu masih mahu memberikan hadiah walaupun mungkin beliau tidak memiliki apa-apa untuk diberi melainkan batu simpanannya sekian lama.
Aku teringat ketika berkunjung ke rumah Tuan Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah beberapa tahun lalu. Beliau 'menahan' kami dari berlalu pulang dan menjemput kami makan tengahari bersamanya kerana katanya beliau baru menerima beberapa kilo daging yang dihadiahkan orang. Itulah budaya kita yang sudah kurang diamalkan sekarang. Dulu, tok-tok guru dan orang alim diberi pelbagai hadiah. Di musim buah, rumah mereka penuh dengan buah dan di musim Raya korban pula, rumah mereka berlimpah-ruah daging korban. Hari ini, orang politik yang sering diberikan 'hadiah' dan bukannya tok-tok guru seperti zaman silam. Ketika kami ingin berlalu, Tuan Guru pula bermurah hati menghadiahkan sejumlah wang ringgit untuk adik iparku yang sudah umur 20-an. Itulah ciri orang alim, semakin banyak hadiah dan sumbangan yang diterima semakin pemurah mereka, dan bukannya semakin kedekut.
Pemberian hadiah perlu dibudayakan dalam masyarakat kita tanpa perlu menunggu 'sempena' tertentu samada Hari Raya atau sebagainya. Dalam masa yang sama kita perlu berhati-hati juga terhadap 'rasuah' yang bersalutkan 'hadiah', diberi untuk menagih sesuatu. Seperti yang disebut orang 'ada udang di sebalik hadiah'. Insya Allah di kesempatan lain kita berbicara pula berhubung hadiah untuk mereka yang berkuasa.
Bagi mereka yang pernah memberi kami pelbagai hadiah dan belum berkesempatan untuk kami membalasnya, hanya doa kami bersama mereka semua, Insya Allah. Moga-moga ALlah mengganjari dan memberkati hidup mereka dan memurahkan rezeki buat mereka semua di dunia dan akhirat.