Thursday, July 27, 2006

Berpuasa di bulan Rejab

Saya banyak menerima e-mail yang diforwardkan menceritakan pelbagai kelebihan dan fadhilat berpuasa di bulan Rejab, tidak kurang juga e-mail yang saya lihat menghukum Bid'ah amalan ini, dan melarang berpuasa samasekali, seakan-akan berpuasa di bulan Rejab itu sesuatu yang diharamkan pula. Kedua-dua pendekatan ini sebenarnya tidak tepat.

Adapun apa yang dikatakan "hadith-hadith" menggambarkan pelbagai ganjaran bagi mereka yang berpuasa di bulan Rejab atau pun mendirikan Solat al-Ragha'ib, para 'ulama hadith rata-rata berpendapat kebanyakkannya adalah palsu (atau terlalu dha'if) belaka dan tiada berasas, oleh itu penyebaran "hadith-hadith" berkenaan sewajarnya dihentikan melainkan yang jelas ada sandarannya. Walau bagaimanapun untuk melarang samasekali orang dari mengerjakan ibadat Puasa Sunat di bulan Rejab juga adalah pendekatan yang tidak betul kerana pertama, berpuasa sunat itu sendiri adalah amalah baik dalam Islam dan kedua, ada dalil-dalil yang menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan berpuasa di bulan-bulan Haram (Rejab, Zulhijjah, Zulkaedah, dan Muharram) dan inilah pegangan Mazhab Shafi'e (dan Maliki). Lantaran itu jugalah amalan ini berleluasa di kalangan orang-orang tua kita dari dulu sampai sekarang. Ketiga, di sana ada dalil yang menunjukkan bahawa ada di kalangan Sahabat dan Salaf yang berpuasa sepanjang waktu atau di bulan-bulan Haram, seperti Saidina Umar al-Khattab, anak beliau, Abdullah bin Umar, dan lain-lain -moga Allah merahmati mereka semua.

Pendekatan diambil oleh Imam Nawawi-- moga-moga Allah merahmatinya-- yang berpandangan bahawa memandangkan di sana ada dalil-dalil yang menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakan berpuasa di bulan-bulan Haram, maka kita juga secara tidak langsung digalakkan berpuasa di bulan Rejab, yang merupakan salah satu dari bulan-bulan Haram


Kesimpulannya -- seperti biasa, sesiapa yang ingin melakukannya, silakan manakala sesiapa yang merasakan ianya Bid'ah, maka tinggalkan dan tidak perlulah melarang atau mengecam orang lain dari melakukannya seolah-olah apa yang dilakukan itu sesuatu yang diharamkan dalam Islam. Wallahu alam.

Wednesday, July 19, 2006

Hilangnya Keutamaan Umat

Pesanan salah seorang guruku, agar jangan dibuang masa dengan membaca akhbar ada kebenarannya. Bahkan apabila diteliti ianya juga selari dengan mafhum sabda Junjungan Mulia s.a.w.:

"Antara kebaikan seorang Islam itu ialah ia meninggalkan perkara yang tiada kena mengena dengannya (bermanfaat baginya)"

Hari ini, akhbar dan media arus perdana tanahair sudah boleh dikatogerikan 'bahan tidak bermanfaat' lagi kerana lebih banyak membawa cerita-cerita hiburan dan 'sampah', yang melekakan umat dari menyedarkan mereka akan matlamat dijadikan Allah iaitu bagi mengabdikan diri padaNya. Cerita-cerita artis, perkahwinan, dan perceraian mereka hatta pelbagai urusan peribadi titik-bengik semuanya disiarkan secara terperinci, disensasikan bahkan ada ketikanya dibuat secara 'lintas langsung', seolah-olah tiada perkara lain yang lebih utama dari hal-hal sebegitu. Malah ada ketua pengarang akhbar turut membuat ulasan perkara remeh-temeh seumpama itu, walhal banyak isu besar untuk diulas oleh seorang Ketua Pengarang Akhbar berwibawa, seperti isu kezaliman Israel di Lubnan dan isu berleluasa kes murtad orang Melayu.

Termasuk juga 'pemujaan' terhadap hiburan dan sukan, yang semuanya diberi liputan dan sokongan meluas, dengan wang dilaburkan untuk perkara yang tidak memberi apa-apa manfaat buat negara dari segi duniawi dan ukhrawi, melainkan sekadar "mempromosikan nama" " buat seketika waktu.

Professor Syed Muhammad Naquib al-Attas pernah berkata, apalah yang nak dibanggakan dengan pencapaian mendaki Gunung Everest, apabila orang asli di kaki Pergunungan Himalaya itu sepuluh kali sehari turun naik ke puncak Gunung tersebut, tidak pula mereka merasakan itu suatu "kejayaan". Begitu juga aktiviti yang lain, yang kononnya dilabelkan sebagai "kejayaan" seperti menyeberangi Selat Inggeris, mengelilingi dunia dengan kapal layar secara solo, menjelajah Antartika, menurunkan Proton di Kutub Utara (?). Apakah sumbangan semua itu terhadap pembinaan tamaddun dan kemajuan negara?

Tidak dinafikan ianya memberi sedikit nama, populariti sementara dalam mempromosikan negara, namun kejayaan sebegitu bukan sahaja tidak memberi manfaat yang hakiki, bahkan juga tidak dipandang oleh orang lain, oleh bangsa dan negara maju lain, melainkan kita sahaja yang merasa 'syok sendiri' dan membangga diri. Di satu ketika kita menggunakan pelbagai modul dan produk bertaraf antarabangsa bagi menilai kecekapan, produktiviti dan standard sesuatu organisasi dengan QCC dan ISO dan sebagainya, namun di ketika lain kita seolah-olah hilang kayu pengukur bagi menilai apakah yang dikatakan "kejayaan" dan apakah pula yang dikatakan "kegilaan". Apa yang dimomok-momokkan "kejayaan" seperti di atas itu semua bukannya suatu kejayaan sebenarnya, kerana sesiapa pun boleh mencapainya, jika diberi peluang dan latihan dan seterusnya diberi penajaan kewangan secukupnya. Itu belum dibicarakan lagi pelbagai "kegilaan" lain bagi mencapai semua yang berprefikskan "ter"nya, dari bendera "ter"-panjang, ketupat "ter"-besar dan sebagainya yang kesemuanya adalah suatu pembaziran dan "kegilaan" belaka. Anehnya "kegilaan" ini turut mendapat sokongan kerajaan. Apakah faedahnya ini semua buat negara?, melainkan sekadar ingin memasukkan nama dalam Malaysian Guiness Book of Record, yang tidak dipedulikan sesiapa pun!

Pencapaian dan kegemilangan umat dan kejayaan mereka yang sebenar di dunia dan akhirat hanyalah melalui Kecemerlangan Ilmu, bukan hiburan atau bersukan, atau menjayakan hobi dan cita-cita individu tertentu yang ingin menjadi masyhur dan mencipta nama. Itu semua tidak memberi walau sekelumit faedah kepada pembinaan kemajuan dan tamaddun bangsa negara. Tiada catatan sejarah yang menunjukkan bangsa dan negara digelar maju hanya kerana aktiviti sebegitu. Bangsa Yahudi Israel yang sekitar 5 juta itu berjaya menguasai kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika dan Eropah hanya kerana kekuatan ilmu mereka yang membawa kepada penguasaan ekonomi dan percaturan politik dunia. Ini membolehkan mereka memperlakukan apa sahaja terhadap Lubnan, tanpa dibantah oleh mana-mana kuasa besar dan PBB, dengan umat Islam berjumlah 2 billion pula memerhatikan sahaja saudara-mara mereka dibunuh saban hari.

Lantaran itulah ungkapan: "Barangsiapa yang inginkan dunia maka hendaklah dengan ilmu, barangsiapa yang inginkan akhirat, hendaklah dengan ilmu dan barangsiapa yang inginkan keduanya juga hendaklah dengan ilmu" perlu sentiasa tersemat di hati kita semua jika benar ingin mencapai "kejayaan" sebenar.

Kejayaan individu tertentu di dalam bidang keilmuan-lah yang sepatutnya diketengahkan, diberi liputan berterusan dan berpanjangan dan bukannya hanya sekadar musiman. Bagaimana kejayaan Nur Amelina sepatutnya didokumentarikan, didedahkan teknik-teknik belajar beliau dan seumpamanya agar menyuntik semangat buat adik-adik lain mencontohi beliau. Begitu juga dengan kejayaan beberapa orang saintis muda Malaysia di pelbagai konferens, persidangan sains di Geneva dan lain-lain langsung tidak kedengaran, walhal sepatutnya turut diberi liputan meluas. Program-program ilmiah, dokumentari yang mendidik sepertimana National Geographic keluaran Barat sepatutnya ditiru dan diteladani, seeloknya dikeluarkan dalam versi kita pula sepertimana dilakukan oleh Harun Yahya contohnya. Program-program pendidikan perlu diperbanyakkan samada di TV mahupun akhbar.

Inilah antara caranya untuk membangunkan minda umat, dan menyemat kecintaan rakyat terhadap ilmu. Tidak memadai hanya sekadar menganjurkan Pesta Buku Antarabangsa setahun sekali dan diharapkan rakyat menjadi 'ulat buku' semuanya, sedangkan setiap hari mereka didodoikan dengan program-program sampah dan dikelilingi dengan segala bentuk khayalan. Apa yang dikatakan program "realiti" TV itu pada hakikannya bukan realiti tetapi khayalan dan fantasi belaka, tidak meletakkan umat dalam perspektif minda yang betul, prioriti hidup yang sebenar. Akhirnya kita bukan sahaja tidak berjaya di alam Akhirat, malah di dunia juga kita hidup dalam alam khayalan. Hairan sekali apabila bangsa kita cukup pandai menciplak "produk hiburan" dari Barat, tetapi tidak pula pandai meniru pelbagai "program pendidikan" mereka yang tidak kurang hebat dan bermutu. Kita meniru semua yang "sampah" dan mengimport balik semua "penyakit" sosial ke tanahair, tetapi bukan kecemerlangan keilmuan dan ketekunan mereka.

Sepatutnya kita sedar bahawa kita hanya boleh berbangga ialah apabila kita sudah berjaya melahirkan para saintis dengan rekaan dan ciptaan yang belum ditemui dunia, melahirkan pemenang Nobel Prize, melahirkan ilmuwan yang mantap dalam setiap bidang dan dihormati di peringkat antarabangsa sepertimana yang dilahirkan oleh Barat. Malangnya hari ini, kita tidak memiliki walau seorang pun ilmuwan yang mampu diketengahkan dan menepati piawaian atau standard sebagai pakar rujuk peringkat antarabangsa dalam apa jua bidang sekalipun, melainkan seorang dua dari generasi terdahulu seperti Prof. Naquib al-Attas dan seorang dua yang lain.

Adapun apa yang kita dikelirukan hari ini dengan pelbagai label "kejayaan" itu dan ini, kalaulah berlegar sekitar hiburan, aktiviti lasak dan kepuasan dan keseronokan menjelajah (adventurous) dan tidak berpaksikan ilmu yang bermanfaat, semuanya itu pada hakikatnya bukanlah suatu "kejayaan" sebenar, tetapi suatu "kegilaan" dalam dunia khayalan kita belaka yang tidak pun perlu diraikan sama sekali, apatah lagi mendapat tempat utama di paparan dada akhbar utama negara.

Sunday, July 16, 2006

Imam Shafie menentang Tasawwuf?

Terdengar suara-suara sumbang yang mendakwa kononnya Imam al-Shafi'e r.a (w.204/820) sendiri menentang tasawwuf. Astaghfirullah!. Sanggup mereka ini membuat pembohongan atas nama Imam a-Shafi'e.

Di bawah adalah link membawa kepada terjemahan tulisan Sheikh Gibril Haddad, bagi menjawab putarbelit sesetengah pihak berhubung dengan pendirian Imam al-Shafie terhadap tasawwuf. Rencana ini berjudul Tasawwuf Imam al-Shafi'e (pdf).

Hanya Doa Buat Saudaraku

Rasulullah s.a.w. bersabda dengan mafhumnya:

"Orang mu'min itu di dalam berkasih sayang, kebaikan dan keakraban antara satu sama lain seumpama satu jasad, apabila mana-maha bahagian mengadu sakit, maka seluruh anggota badannya turut sakit dan berjaga"[Muslim]

Saban hari sejak kebelakangan ini kita mendengar pembunuhan demi pembunuhan, namun apa yang paling menyentuh hati ini ialah apabila seorang gadis berusia 14 tahun, Amber namanya, dirogol, kemudiannya dibunuh dan seterusnya dibakar di Iraq, oleh sekumpulan tentera Amerika. Turut dibunuh seluruh ahli keluarganya. Moga-moga ALlah merahmati mereka semua dan menempatkan mereka di kalangan Syuhada

Alangkah zalim dan kejamnya tindakan ini. Apakah ini perilaku manusia atau haiwan? Haiwan pun tidak sezalim dan sekejam ini. Kezaliman di Iraq, Afghanistan dan Palestin belum pun reda, Israel pula mula menyerang Lubnan dan membunuh ramai yang tidak berdosa. Cubaan negara-negara Arab membawa resolusi di PBB bagi mengecam Israel diaibkan, tidak kemana-mana setelah di-veto terlebih awal oleh sekutu kuat Israel, Amerika. Bush memberi alasan: "Israel has a right to defend herself" (Israel berhak mempertahankan negaranya!).

Sungguh hina sekali umat Islam hari ini, tidak mampu berbuat apa-apa melihat Amerika, Israel dan semua musuh Allah bersatu melakukan segala bentuk pencabulan terhadap saudara-mara mereka di bumi Allah ini. Liga Arab, OIC, semuanya "kesatuan buih" yang tidak memberi apa-apa makna dalam menjaga kebajikan umat Islam, maruah dan kedaulatan negara mereka.

Apakah puncanya di ketika umat Islam sudah hampir 2 billion orang, dan banyak antara negara-negaranya kaya raya dengan minyak, namun tidak mampu berbuat apa-apa? Tiada lain kerana pemimpin-pemimpin umat Islam hari ini, hampir kesemuanya dicucuk hidung mereka dan berkiblat kepada Amerika dan Barat. Kerana apa perlu berkiblat kepada Barat? Kerana mahu terus berkuasa memerintah dan takutkan tekanan kuasa-kuasa besar dunia lebih dari takutkan kemurkaan ALlah.

Benarlah ramalan Rasulullah s.a.w, bahawa umat Islam di akhir zaman nanti ramai tetapi mereka semuanya tidak berkualiti laksana buih-buih belaka, kerana mereka dihinggapi sejenis penyakit: cintakan dunia dan takutkan mati. Ya ALlah jauhkanlah kami dari bersifat sedemikian.

Marilah kita, walaupun masih lagi mampu merenung bulan dan bintang-bintang di langit, turut sama meluangkan masa bermunajat ke hadrat ALlah, berdoa agar diturunkan bantuanNya kepada seluruh saudara mara kita di Afghanistan, Iraq, Palestin, Lubnan dan seluruh dunia yang ditindas dan dizalimi oleh golongan Kuffar ini.

Mereka ini berjaga malam bertemankan cahaya tembakan peluru berpandu dan bom-bom, bingit telinga dengan bunyi jet-jet pejuang musuh dan dentuman letupan, sedangkan kita tidur lena di perbaringan. Alangkah malunya kita mengadap ALlah kelak, dan apakah yang akan kita jawab apabila ditanya apa yang telah kamu lakukan apabila saudaramu dibunuh saban hari?. Sungguhlah kita ini jauh terlalu jauh dari bersifat dengan sifat mukmin yang digambarkan Rasulullah s.a.w di atas. Paling tidak biarlah kita menjadi Muslim yang peka dengan perkembangan saudara kita di seluruh dunia dan tidak lupa mengirimkan bantuan doa buat mereka. Orang mukmin bukan orang yang hanya ingin bahagia dan kesenangan dirinya atau keluarganya sahaja, tetapi turut menginginkan kebahagiaan dan kesenangan buat saudaranya yang lain.

Janganlah pula kita menjadi manusia yang tidak ambil peduli apa yang berlaku terhadap saudaranya kerana dikhuatiri amaran junjungan mulia Rasulullah s.a.w.tertimpa atas kita: "Sesiapa yang tidak mengambil tahu urusan umat Islam, maka sesungguhnya dia bukan dari kalangan kami"

Bersabarlah saudara-saudaraku "Sesungguhnya pertolongan ALlah dan kemenangan itu semakin hampir". Ya ALlah! tolonglah Islam dan umat Islam. Tolonglah sekalian mujahidin di mana sahaja mereka berada.

Saturday, July 15, 2006

Bertaqlid kepada Mazhab atau Bertaqlid kepada "Murajjih" moden?

Kedudukan para Imam Mazhab sangatlah agung dan tidak sepatutnya tergambar di kepala kita mereka ini boleh menginstibatkan hukum-hakam bertentangan dengan mana-mana hadith. Pendapat mereka ini seterusnya dikaji semula dan diperkukuhkan lagi oleh sekalian ulama-ulama besar Mazhab dari generasi ke generasi. Apa yang menyebabkan masih timbulnya perbedaan hukum fekah hingga ke hari adalah, antara lain kerana berbedanya pandangan para Imam terhadap sesuatu hadith, status kesahihannya dan pemilihan mereka dalam memilih menerimapakai sesuatu hadith, khususnya apabila pengharmonian perlu dilakukan disebabkan wujudnya dalil-dalil yang bercanggah antara satu sama lain (ta'arud al-adillah).

Tidaklah layak bagi orang awam untuk berpegang kepada kata-kata Imam al-Shafi'e (w.204/820) iaitu: "Apabila sahihnya sesuatu hadith itu, maka itulah mazhabku" seolah-olah merasakan masih ada hadith yang Imam ini belum temui dan apabila saja menemui hadith-hadith yang tidak selari dengan pendapat Mazhab Shafi'e lalu terus meninggalkan mazhab dan berpegang kepada satu dua hadith yang baru ditemuinya itu, kononnya itulah "dalil" yang lebih kuat. Alangkah dangkalnya pemikiran dan bodohnya sikap sedemikian!

Lalu mulalah hari ini, ditambah lagi dengan segala kemudahan memperolehi pelbagai kitab-kitab hadith dan lainnya yang sedia tercetak mahupun Online, ramai yang ingin menjadi Mujtahid atau sekurangnya Murajjih, berijtihad sendiri atau sekurang-kurangya mentarjihkan pandangan para ulama silam dan memilih mengikut 'citarasa' dan 'kriteria' masing-masing pendapat mana yang lebih kuat untuk diamalkan. Seolah-olah mereka hari ini lebih alim dari para Imam Mazhab, dan lebih alim dari berpuluh ribu para ulama mazhab silam yang lain sejak lebih seribu tahun lalu itu. Seolah-olah "kriteria" mereka itu lebih baik dan lebih "rajih" dari "kriteria" dan apa yang telah diputuskan oleh para Imam Murajjih seperti Imam Nawawi, Imam al-Rafi'e dan lain-lain--moga-moga ALlah merahmati semua Imam ini.

Inilah kononnya bagi mereka kaedah yang betul dalam Islam supaya kita tidak "bertaqlid"(diterjemahkan secara negatifnya oleh golongan ini sebagai "mengikut membabi buta"). Lalu merasakan tidak perlu lagi bermazhab (al-la Madhhabiyah), bahkan kononnya bermazhab itu sebenarnya salah, bid'ah kerana Nabi s.a.w. tiada mazhab. Manakala bagi segelintir yang lebih moderate sedikit berpendapat masih dibolehkan bermazhab, tetapi perlu mengetahui dalil-dalil bagaimana sesuatu hukum itu diterbitkan kerana jika tidak nanti kita hanya "bertaqlid" buta. Bagaimana mungkin Pak Mat si nelayan di Langkawi dan Pak Abu si peneroka di Jengka 3 berupaya mengetahui setiap dalil-dalil atas setiap amalan ibadah yang perlu dilakukannya?

Dengan mengetahui dalil-dalilnya itu kononya kita dikira "ittiba" (diterjemahkan mereka: mengikut secara berdalil), dan bukannya ber-taqlid. Tidak perlu kita bahaskan di sini makna "taqlid" dan "ittiba", cukup jika kita katakan terlalu banyak dalil-dalil yang menunjukkan bahawa pada hakikatnya dua istilah ini memberi makna yang sama. Teliti sahajalah debat antara Sheikh Muhammad Sa`id Ramadan al-Buti dan Sheikh al-Abassi dan nilai sendirilah apakah di sana ada beza ketara makna dua istilah tersebut.

Sikap tidak bermazhab inilah sebenarnya suatu "Bid'ah" paling bahaya menyalahi Ijma' ummah yang sudah sepakat menerima Empat Mazhab besar ini sejak lebih seribu tahun lalu. Lantaran itulah juga Sheikh Buti dengan keras mengecam golongan tidak bermazhab ini melalui bukunya Al-la Madhhabiyyah Akhtaru Bid`atin Tuhaddidu al-Shari`ah al-Islamiyyah (Golongan tanpa mazhab Bid'ah paling merbahaya menentangi Shariah Islam)

Sama-samalah kita renung adakah pendapat Imam Mazhab, seorang Mujtahid Mutlaq atau Mujtahid Mustaqill ini yang kemudiannya diteliti dan disemak oleh beribu ulama Mazhab masing-masing dari kalangan Mujtahid Murajjih atau Muntasib yang mu'tabar, wara' lagi bertaqwa, yang kemudiannya diputuskan sebagai inilah "pendapat mazhab" kita (aSHAbunA), ataupun pendapat seorang dua ulama moden hari ini yang tidak seorang pun layak bergelar Mujtahid Mutlaq, sebaliknya hafalan hadith pun tidaklah seberapa. Jikapun layak mereka ini hanyalah sekadar memenuhi kelompok "murajjih separuh masak" (jika dibandingkan dengan ulama silam). Malangnya "murajjih separuh masak" inilah yang cuba menipu umat dan menyembunyikan kebenaran dengan menampakkan seolahnya mereka sahajalah yang "ilmiah", "bermanhaj", dan "mengikut Sunnah" manakala orang lain semuanya "bertaqlid buta" dan "Bid'ah" belaka. Inilah juga sebenarnya pendekatan puak "Jehovah Witnesses" (meminjam ungkapan Sheikh Muhammad Yaqoubi al-Hasani), iaitu segolongan puak sesat dalam Kristian yang menyalahi arus perdana mereka, yang kononnya cuba mengembalikan agama Kristian sepertimana diamalkan di awal kurun agama itu.

Tepat sekali pengamatan Almarhum Allamah Sheikhul Hadith Muhammad Zakariyya Kandhlawi ketika mengkritik para cerdik pandai golongan ini di dalam kitabnya Ikhtilaf al-a'immah (Perbezaan pendapat para Imam) dengan katanya:

"Secara jujurnya, aku merasa pelik terhadap orang yang tidak mengikut mana-mana mazhab (ghayr al-muqallidin), di sebalik mereka ini mengetahui akan kebenaran, namun masih cuba menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat agar mempercayai bahawa mereka yang bermazhab ini kononnya tidak mengambil kira hadith yang bertentangan dengan pendapat para Imam mereka. Orang yang tidak bermazhab itu bukanlah sangat suatu isu, dan mereka bebas kerana mereka hanyalah orang awam. Aku tidak menyalahkan mereka. Cuma aku menyalahkan orang berilmu di kalangan mereka, walaupun berilmu tapi masih juga menyembunyikan kebenaran itu dari orang awam. Mereka ini sebenarnya menyamari kebenaran dan menipu umat"



Wallahu'alam.

Innocent: The State of the American Man

This article by Tom Junod has been quite some time in my Inbox, since I could not find time to read it. After going though it, however, one would inevitably agree with the author first premise of the article, poking with a question: Can America and Islam coexist?

Originally appeared in Esquire, but Cageprisoners.com's presentation seems easier to read, plus a photo of John Walker Lindh as well. Quite a long one, but worth reading and at the same time touching.

http://www.cageprisoners.com/articles.php?id=14720

Friday, July 14, 2006

Kelebihan Ahli Fekah mengatasi Ahli Hadith

Imām Ahmad bin Hanbal (w.241/855) apabila ditanya orang berhubung dengan seorang ahli hadīth yang terkenal di zamannya, iaitu Abdul Razzāq al-San'ānī, samada beliau (Abdul Razzaq) itu telah turut menguasai ilmu fekah (berdasarkan keilmuannya di bidang hadith)? Maka Imam Ahmad menjawab: “amatlah terlalu jarang penguasaan ilmu fekah di kalangan ahli hadīth” [Abu Ya’lā, Tabaqāt al-Hanabilah, 1:329; Abū Ghuddah, al-Isnād min al-Dīn, 68].

Ibn Abdul Salam pula berkata: “Kebanyakan ahli hadith jahil tentang fekah” [Ibn Abdul Salām, al-Fatāwā al-Mawsiliyyah, 132-134]. Manakala Anas ibn Sīrīn menambah bahawa kebanyakannya pula di kalangan golongan Salaf!

Al-Dhahabī menyebut: “Majoriti ahli hadith tidak mengetahui, tidak teliti tentang makna sebenar hadith, dan tidak takut terhadap Allah berhubung dengannya” [Al-Dhahabī, Siyar, edisi Fikr, 7:410]

Pakar hadith terkenal masakini yang tidak asing lagi, Almarhum Sheikh Abdul Fattah Abū Ghuddah (moga-moga ALlah merahmatinya) ketika menyebut beberapa nama besar hadith berkata:

“Jika orang seperti Yahya al-Qattān, Waki' ibn al-Jarrah, Abdul Razzāq, Yahya ibn Mā'īn, dan mereka yang setaraf dengan nama-nama besar ini, tidak sanggup untuk memasuki medan ijtihād dan fekah, alangkah terburu-burunya golongan tertentu hari ini yang sewenangnya melakukan ijtihād!"

[Abū Ghuddah, al-Isnād min al-Dīn, 68]

(Dipetik dari buku Sheikh Gibril Fouad Haddad, Sunna Notes:Studies in Hadith and Doctrine)