Hujjatul Islam Imam al-Ghazali (450-1058 AH/505-1111 CE) di dalam kitab terkenalnya, Ihya Ulum al-Din, pada "Bab Asrar al-Sawm" (Rahsia Puasa) membahagikan tingkatan orang yang berpuasa kepada 3 jenis:
[1] Puasa Orang Awam (sawm al-'umum)
[2] Puasa Orang Terpilih (sawm al-khusus)
[3] Puasa Orang Terpilih lagi Terpilih (sawm khusus al-khusus)
Puasa Orang Awam
Rata-rata kita hari ini berpuasa pada darjat orang awam sahaja iaitu menahan lapar dan dahaga dan seks sahaja. Tetapi anggota badan yang lain tidak turut berpuasa: mata, telinga, lidah, hidung, kaki dan tangan masih lagi meneruskan perkara-perkara yang diharamkan ALlah swt. Mata masih terus melihat perkara munkar dan keji; telinga masih terus mendengar cakap-cakap kotor, umpatan dan cacian; lidah masih terus bercakap bohong, mengumpat, bergaduh; begitu juga hidung dengan dosanya, manakala kaki dan tangan masih terus digunakan untuk ke arah perkara-perkara yang dimurkai ALlah swt. Puasa sebegini tidak memperoleh sebarang pahala melainkan lapar dan dahaga seperti mana sabda Rasulullah s.a.w. "Berapa ramai yang berpuasa tidak memperolehi apa-apa dari puasanya melainkan lapar dan dahaga" [Hadith al-Nasai dan Ibn Majah] Malah ALlah begitu membenci mereka yang berpuasa tetapi masih meneruskan percakapan bohong dan dusta, "Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan amalannya, maka ALlah tidak berhajat padanya meninggalkan makanannya dan minumannya" [Hadith diriwayatkan oleh Abu Hurayrah r.a.] Inilah tingkatan orang awam, orang Islam yang belum lagi Iman itu menyerap masuk ke dalam lubuk hatinya. Islam hanya sekadar mengucap dua kalimah Syahadah.
Kita merasa cukup selesa kerana sudah berjaya menahan lapar dan dahaga dan kemahuan seks masing-masing namun tidak menyedari bahawa puasa pada darjat ini tidak memberikan apa-apa kesan kepada peningkatan kerohanian dan darjat kita di sisi ALlah, jika kita masih meneruskan dosa-dosa melalui pancaindera kita yang lain. "Kursus Puasa" selama sebulan di Madrasah Ramadhan yang kita diwajibkan ALlah menjalaninya bagi 'proses kenaikan pangkat' menjadikan kita "orang-orang bertaqwa" akan gagal jika kita tidak mengambil langkah-langkah mengekang anggota badan yang lain dari terus melakukan dosa kepada ALlah s.w.t. Kita akan keluar dari Ramadhan seperti mana kita sebelum ini, tiada sebarang peningkatan dari segi tahap kerohanian, masih pada tahap "nafsu yang menyeru kepada kejahatan" (al-nafs al-ammarah bil-su') [Surah Yusuf 12:53] dan bukannya pada darjat nafsu yang diredhai ALlah swt, iaitu "nafsu yang tenang"(al-nafs al-mutmainnah) redha dan diredhai [Surah al-Fajr 89:27-30], sedangkan masa yang ada buat kita semakin suntuk dan Izrail pula bakal menjenguk.Hanya menemui ALlah swt. sebagai orang yang berpangkat "tawqa" (muttaqin) sahaja yang akan menyelamatkan kita dari azab seksa nerakanya yang maha pedih.
Menemui ALlah swt sebagai orang Islam belum tentu menjamin kita terselamat dari azab siksanya, jika kita turut membawa bersama dosa-dosa yang banyak Nauzubillah min dhalik!. Golongan yang rugi inilah digambarkan di dalam al-Qur'an sebagai "Golongan Kiri" [al-Waqi'ah 56:9] bersama dengan golongan di kalangan orang-orang kafir. Yang membedakan azab orang Islam dari orang kafir hanyalah orang Islam tidak akan kekal selamanya di dalam neraka sedangkan orang kafir kekal selamanya (khalidina fiha abadan) Namun siapakah kan sanggup menahan siksa neraka walaupun seketika sedangkan api dunia yang merupakan percikan sekelumit dari api neraka pun tidak tertanggung?
Marilah sama-sama kita perbanyakkan istighfar, bertaubat dan mengharapkan keampunan Allah di bulan maghfirah (keampunan) ini.
allAhumma innA nas'aluka khayra hadhA sh-shahri wa-khayra mA fIhi wa-khayra mA ba'dahu wa-na'Udhubika min sharrihi wa-sharri mA ba'dahu
Amin!