Sumber Ilmu Islam Bukan Sanad Semata
Walaupun dari segi prinsipnya, tiada siapa pun yang menafikan kebenaran maxim kalam Ibn Mubarak itu, khususnya dalam ilmu hadith, namun ianya tidaklah bermakna pendekatan lain yang tidak bersanad samasekali tidak boleh diterima dan ditolak. Seperkara lagi, benarkah kata-kata yang disandarkan kepada Ibn Mubarak itu benar bersumberkan beliau, atau sanadnya sambung-menyambung sampai kepada Ibn Mubarak? Pernahkah sesiapa membuktikan bahawa ianya benar-benar kalam Ibn Mubarak, di ketika mereka ini lantang bercakap pasal sanad? Jika pun dibuktikan benar kalam Ibn Mubarak rahimahullah, ianya samasekali tidak boleh menjadi hukum setaraf dengan al-Qur'an atau al-Hadith sehingga tidak boleh ditakwilkan atau diberi faham lain. Ianya boleh diterima dan ditolak tanpa perlu kepada ketaksuban sepertimana juga seruan mereka agar kita jangan taksub kepada Imam al-Ghazali dan al-Shafie r.a.
- al-hawass al-salima (deria pancaindera yang sihat)
- al-khabar al-sadiq (berita benar)
- al-aql (akal)
Al-Isnad, dalam hal ini bolehlah digolongkan dalam kaedah kedua, iaitu al-khabar al-sadiq. Namun di sana masih ada dua lagi pendekatan lain yang boleh digunakan dalam menilai sesuatu itu samada ianya boleh dikategorikan sebagai ilmu atau bukan, iaitu al-hawass al-salima dan al-aql. Bahkan sesetengah ulama turut memasukkan ilham para awliya dan siddiqin sebagai sumber ilmu, walaupun di sana ada perbezaan pandangan.
Jika kita perhatikan kaedah penulisan Ihya oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali (rahimahullah) pada awal setiap Bab kitab beliau, beliau telah meletakkan dalil-dalil dari al-Qur'an, dan kemudiannya diikuti dengan hadith-hadith Sahih dan kemudiannya hadith-hadith yang agak lemah dan seterusnya hikayat (qila) dan sebagainya. Walaupun hikayat tidaklah boleh menjadi hujjah, namun ianya ada kepentingannya juga dalam keadaan tertentu, seperti melengkapkan sesuatu perceritaan yang tergantung, sebagai teladan dan seumpamanya. Inilah maratib ilmu Islam yang meletakkan al-Qur'an dan al-Hadith sebagai sumber utama, dan dalam masa yang sama turut menerima pakai kaedah-kaedah sokongan lain samada saintifik atau tidak saintifik, selama ianya tidak bercanggah dengan dua sumber hukum utama Islam itu. Mereka yang taksub dengan sanad ini sepatutnya diminta untuk mendalami ilmu epistemologi dalam Islam agar lebih luas pemahaman mereka terhadap sumber ilmu dalam Islam.
Salah seorang pembentang kertaskerja pada hari itu, Saudara Md. Asham, turut membidas ketaksuban kepada sanad sehingga meletakkan sanad atau lebih tepat lagi ilmu rijal itulah segalanya. Sanad hanyalah bermaksud 'sandaran' dan tidak semestinya setiap sesuatu itu perlu disandarkan kepada periwayatan semata, barulah boleh diterima kebenarannya.
Selesai sesi hari itu, aku berkesempatan bertemu dengan Saudara Asham, lalu beliau memberikan rencana yang pernah beliau hantar kepada pihak akhbar berhubung dengan hal yang sama. Rencana berjudul Awasi Pelampau Hadith II, masih boleh dilawati di laman web IKIM. wallahu'alam.

0 Comments:
Post a Comment
Links to this post:
Create a Link
<< Home