Saturday, August 09, 2008

Sudah Jatuh ditimpa Tangga

Semalam 08.08.08, aku menerima sepucuk surat dari majikanku. Surat bukannya untuk memberi sokongan moral dan perangsang atas musibah yang menimpa diriku, tetapi ugutan untuk mengambil tindakan ke atasku kerana kononnya telah melanggar Klausa 4 GTCA. Sudah lah jatuh, ditimpa tangga pula. Mereka jelas tidak menunjukkan sikap matang, bersifat ihsan. Anak sulungku Ammar jauh lebih bijaksana dari mereka apabila menuturkan: "Abie, you don't have to worry, you have done your best!".

Aku tidak heran dengan ugutan sedemikian kerana kurniaan Allah terlalu besar di atas mukabumi ini. Selagi ditakdirkan hambaNya itu bernyawa, selagi itu ada rezeki buatnya. Ulat di dalam batu pun boleh hidup, apatah lagi kita manusia berakal dan diberi kudrat tulang empat kerat.

Cuma aku sedih memikirkan sikap umat Islam dan majikan Islam. Inilah yang sering kuutarakan sebelum ini. Ada ketikanya orang kafir Barat itu lebih jauh bertolak ansur, simpati dan toleransi berbanding dengan orang Islam sendiri. Ada-ada sahaja jalan dan cara difikirkan untuk membantu orang lain. Di kalangan orang Islam, khususnya bangsa Melayu, penuh dengan hasad dengki dan suka menjatuhkan satu sama lain. Ada sahaja peluang, klausa, pekeliling yang boleh digunakan untuk menyingkirkan seseorang, akan pasti digunakan.

Ingatanku buat mereka berkuasa: ingatlah bahawa kita boleh mewujudkan peraturan, undang-undang bagi menjamin kepentingan kita tidak terjejas, memerah keringat orang bawahan lain habis-habisan, tetapi ingat bahawa jika di dalam peraturan atau undang-undang itu ada unsur kezaliman, pasti kita tidak akan terlepas perbicaraan di Padang Mahsyar kelak di depan Rabbul Jalil. Maka pada hari itu klausa dan peraturan yang dibanggakan suatu ketika dahulu itu akan menjadi sumber penyesalan.

0 Comments:

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home