Sunday, August 10, 2008

Hati-hati Fitnah Pandangan Manusia

Para sarjana Islam yang mengkaji sejarah kepimpinan melihat ada pelbagai bentuk rupa kepimpinan dalam Islam yang agak berbeda-beda. Dari kepimpinan Baginda Rasulullah s.a.w sehingga ke Khulafa al-Rashidin dan seterusnya. Cuma yang sering diambil contoh teladan adalah kepimpinan Baginda Rasulullah s.a.w. diikuti oleh empat orang sahabat ternama itu. Kepimpinan Umar ibn Abdul Aziz (w.720) yang memerintah hanya 2-3 tahun saja juga cukup mengkagumkan dan sering dijadikan rujukan.

Apakah yang menjadikan mereka ini pemimpin yang hebat dan mengkagumkan dunia, hatta termasuk di kalangan orang-orang bukan Islam sendiri? Kerana mereka ini memimpin dengan penuh keadilan dan tidak mementingkan diri sendiri atau kaum keluarga mereka. Dan dengan sendirinya kebajikan rakyat terjamin dan dibela.

Apabila Hakim Lord Hewart menuturkan prinsip mahsyur yang hari ini diterimapakai di seluruh dunia: ‘Justice should not only be done, but should manifestly and undoubtedly be seen to be done (keadilan bukan sekadar dilaksanakan, tetapi dilihat dilaksanakan) ternyata pengamatan beliau amat tepat sekali, dan sudah sekian lama diamalkan oleh Baginda s.a.w. dan para sahabat. Begitu juga slogan ‘kepimpinan melalui teladan’ merupakan slogan yang hidup dan boleh dilihat dalam peribadi-preibadi mulia ini sehingga apabila ditanyakan Sayyidatina Aisyah r.a. bagaimanakah akhlak baginda Rasulullah s.a.w., lantas menjawab: “Akhlaq beliau adalah al-Qur’an”.

Rasulullah s.a.w. adalah al-Qur’an yang bergerak, hidup dan berjalan. Boleh dilihat oleh semua orang. Sepertimana keadilan tidak memadai sekadar dilaksanakan atau dikatakan sudah terlaksana, tetapi ianya perlu dilihat oleh mata rakyat jelata dilaksana. Islam bukan agama slogan dan perjuangan Islam juga bukan perjuangan slogan. Sebab itu hari ini Islam tidak dihormati, diperlekehkan orang bukan Islam dan Barat kerana umat Islam asyik berslogan. "Islam itu cantik", "Islam itu cemerlang", "Islam itu adil", "Islam itu menjaga kebajikan", Islam itu dan ini. Tetapi realiti pengamalannya di kalangan umat Islam tidak melihatkan kecantikan dan keadilan Islam itu, bahkan sebaliknya. Islam tidak dilihat cantik dan adil. Mereka yang kononnya berjuang untuk menegakkan keadilan Islam pun sering terbabas tenggelam dalam kepentingan diri sendiri. Mereka yang menentang korupsi, kronisme, nepotisme (KKN) sebelum berkuasa, turut melakukan hal yang sama apabila ditampuk kekuasaan. Sepatutnya, tunjukkan kita menentang itu semua dan jelas terlihat oleh rakyat bahawa kita benar-benar berjuang menegakkan keadilan Islam. Slogan dan manifesto yang tidak diterjemahkan ke dalam realiti kehidupan adalah seumpama debu-debu berterbangan tanpa makna. Inilah slogan kosong namanya dan manifesto menipu.

Islam cukup memandang berat apa yang dilihat oleh orang ramai yang ada ketikanya, apabila menepati syaratnya, boleh menjadi salah satu kaedah dalam menerbitkan hukum sepertimana dalam hal ‘urf. Justeru itu kita sering dianjurkan agar mengelak dari fitnah pandangan masyarakat. Walaupun kita mungkin ikhlas atau di pihak yang benar, namun jika keikhlasan itu boleh disalahtafsirkan, maka aulanya tinggalkan perbuatan tersebut. Seorang abang dan adik perempuan yang sudah belia remaja tidak elok berjalan bersiar-siar di khalayak ramai sambil bepegang tangan misalnya, walaupun tidak haram persentuhan mereka kerana mahram, tetapi perlakuan sedemikian boleh mengundang fitnah dan buruk sangka di kalangan masyarakat melihat yang tidak mengenali bahawa mereka berdua itu sebenarnya dua beradik.

Teringat ketika almarhum ayahku suatu ketika dahulu pernah menjawat Pengarah sebuah Yayasan milik sebuah kerajaan negeri. Di ketika aku baru tamat pengajian Universiti, aku bertanya padanya jika ada kekosongan sebagai guru sandaran di Yayasan tersebut, sementara menunggu kerja tetap yang lebih sesuai. Jawatan kosong memang banyak, tetapi dia tidak membenarkan aku memohonnya. Aku katakan padanya aku layak kerana memiliki Ijazah dan apa salahnya, jawab beliau ya benar, tetapi beliau tidak mahu mendengar cakap-cakap tidak enak di belakang kononnya Pengarah telah mengambil anaknya sendiri bekerja. Soal aku layak itu tidak timbul samasekali pada pandangan masyarakat. Mereka akan melihat bahawa perlantikan itu atas dasar nepotisme dan kronisme, bukan kelayakan.

Begitu juga suatu ketika aku diberitahu ada kekosongan untuk tender kantin di sebuah universiti. Isteriku memang pengusaha makanan bergegas pergi mengambil borang dan membayar RM50.00 untuk mendapatkan borang tender berkenaan. Namun setelah berfikir panjang, kami sepakat tidak menghantarnya takut dibimbangi nanti jika permohonan kami diterima, walaupun sememangnya isteriku layak, akan timbul fitnah dan cakap-cakap bahawa beliau diterima kerana kami mempunyai kenalan di dalam jawatankuasa tender berkenaan. Biarlah rugi RM50.00 membayar borang daripada berdepan dengan fitnah manusia yang boleh merosakkan reputasi dan nama baik kita. Bukan sekadar itu, orang yang berburuk sangka kepada kita itu pula mungkin berdosa. Mereka hanya melihat secara luarannya sahaja, tanpa mengambilkira bahawa kita juga layak sebenarnya.

Kesimpulannya, setiap tindakan kita perlu mengambil kira pandangan masyarakat terhadap tindakan berkenaan, dan adakah ia boleh mengundang fitnah dan buruk sangka. Jika kita mempunyai pilihan lain, maka cuba ambil tindakan yang agak sukar untuk difitnahkan orang. Jika terpaksa apa boleh buat.

Teringat ketika di Syria dahulu, sahabatku Mohd. Reza dan Abdul Rashid sering menyebut bahawa para ulama Syria tidak menaiki bas (servis) kerana tidak mahu berebut dengan wanita yang bukan mahram, dan takut mereka diambil gambar curi ketika dalam bas yang penuh sesak lelaki dan perempuan yang boleh menghilangkan thiqah orang terhadap mereka. Mereka lebih rela berjalan kaki. Wallahu'alam.

1 Comments:

Blogger ~albazrah~ said...

Saya terlepas pandang perkara ini. Benar tu. Terima kasih.

10:13 AM  

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home