Tuesday, July 15, 2008

Hakikat Dunia

Imam al-Ghazali rahimahullah mentakrifkan dunia sebagai:

Apa jua yang langit itu di atasnya, dan bumi itu di bawahnya,
kecuali apa yang kerana Allah (li-Llah)

Apa yang kerana Allah, maka ianya urusan Akhirat walaupun masih berada diantara langit dan bumi. Justeru itu para Sufi mengambil dunia sekadar apa yang memberi manfaat padanya, untuk kehidupan duniawi dan ukhrawinya, agar dunia itu semuanya menjadi kerana Allah (li-Llah). Bukanlah sifat para Sufi mengumpulkan harta, memenuhkan rumahnya dengan segala perhiasan yang tidak memberi apa jua manfaat buat kehidupan dunia apa lagi akhirat mereka. Inilah sifat zuhud ahli Sufi. Ambil dunia sekadar untuk memberi manfaat buatmu (bagi urusan duniawi dan ukhrawi) mu, maka barulah dunia itu dikatakan memberi manfaat buatmu. Jika dunia diambil tanpa melihat apakah manfaatnya, maka orang sebegitu itu telah tenggelam dalam kerakusan dan ketamakan duniawi, naudhubillah. Oleh itu tidak benar para Sufi menolak dunia, cuma para Sufi tidak mengambil dunia yang tidak memberi manfaat buat kehidupannya. Adapun orang awam melihat dunia sebagai menarik dan 'bermanfaat' belaka sehingga mereka leka bahawa tempat mereka sebenarnya bukan di dunia ini.

Sufi mengikut Sheikh Nuh Keller ialah seorang yang "minimalist" (mengambil dunia seminima mungkin). Sedangkan dalam masyarakat moden hari ini kita diberitahu oleh pakar-pakar ekonomi tentang masalah keterbatasan sumber (scarcity of resources) akibat dari melayani kemahuan manusia yang tanpa batas (insatiable wants).

Tanyakan orang yang tidur di jalanan dan di bawah jambatan, apakah yang mereka mahukan?. Nescaya mereka inginkan hanya sebuah bilik yang selesa untuk berteduh dari kesejukan angin malam dan terik sang mentari. Namun jika diberikan bilik yang beliau kehendaki itu, selang beberapa lama maka nescaya beliau menginginkan pula sebuah rumah yang lebih selesa dan begitulah seterusnya kemahuan manusia tanpa hentinya. Lantaran itulah Junjungan Mulia berpesan:

"Andaikata anak Adam itu diberikan satu lembah dari lembah-lembah emas, nescaya dia menginginkan satu lembah lagi, (tiada putus-putuslah kemahuan anak Adam itu) sehinggalah disumbat tanah ke dalam mulutnya"

Para Sufi yang merupakan manusia Muslim yang sebenar beramal dengan Islam, melihat dunia melalui kacamata Islam di mana dunia ini hanya lah sebagai ladang tempat menabur benih dan bercucuk tanam, untuk dituai hasilnya di akhirat kelak. Sungguh aneh apabila ada manusia yang sanggup berbelanja besar membina rumah besar berjuta ringgit untuk tinggal di ladangnya. Jika sedemikian dilakukan oleh petani di dunia ini, pasti dikatakan orang tidak siuman. Apa yang terlihat di ladang-ladang hari ini biasanya hanyalah bangsal kecil atau dipanggil 'dangau' di kalangan orang Kelantan, sebagai tempat petani berehat seketika, makan dan solat. Rumah sebenar para petani dan peladang jauh dari ladang-ladang mereka, dan jauh lebih indah dari dangau di tengah-tengah ladang. Kerana ladang-ladang itu bukan tempat penginapan mereka yang sebenar.

Itulah bandingan kita di dunia laksana petani di ladang-ladang mereka yang pergi bekerja untuk pulang ke rumah setelah habis waktunya. Tiada apa yang mereka bangunkan di ladang-ladang melainkan sekadar tempat berteduh sementara. Hari ini, kita tidak melihat dunia sedemikian rupa walaupun kita mendakwa kita tidak kejar dunia dan tidak rakus dengannya namun realitinya ketamakan diri terhadap dunia itu jelas pada sifat dan perangai rata-rata dari kita. Hari ini kita sibuk bangunkan dah hiaskan 'dangau' kita, sedangkan 'rumah sebenar' kita di Akhirat kelak tidak pun kita persiapkan. Sedangkan di sanalah tempat penginapan kita yang kekal abadi, walhal kehidupan duniawi ini hanya beberapa tahun sahaja.

Bandingan nilaian kehidupan Akhirat dari segi nilaian matematiknya terlalu besar, iaitu infiniti, sedangkan bandingan kehidupan duniawi ialah terlalu kecil, iaitu

1/∞ (1/infiniti). Dalam ilmu matematik, 1/infiniti itu dikira menghampiri nilai kosong, maknanya dunia ini tiada nilai langsung jika dibandingkan dengan Akhirat! Tidak heranlah apabila ada riwayat yang menyebut bahawa Baginda s.a.w pada suatu hari mengangkat bangkai haiwan ditemui di tepi jalan dan bertanyakan para sahabat berapa harga atau nilai bangkai ini di sisi tuannya? Sudah barang tentu ianya tidak bernilai langsung. Lalu Rasulullah s.a.w. menyebut bahawa begitu jugalah nilaian dunia ini di sisi tuannya, Allah Ta'ala.

Namun tidak ramai yang mengerti hakikat dunia ini. Kalau yang tahu pun tidak faham dan tidak mahu menghayati hakikat ini lalu terus beramal selaku pencinta dunia. Kecintaan kepada dunia itulah punca segala kerosakan di atas mukabumi ini. Rasuah, perbalahan politik, penyalahgunaan kuasa, penipuan, korupsi dan apa sahaja adalah berpunca kecintaan kepada dunia. Benarlah pesan Baginda s.a.w. bahawa "Kecintaan kepada dunia punca segala kejahatan". wallahu'alam.

O Allah selamatkan kami semua dari fitnah dunia!

3 Comments:

Anonymous zaa said...

Salam. Saya mohon izin utk link mp3pengajian Ustaz Fahmi pada web saya. Jzkk.

8:12 PM  
Blogger salik said...

Silakan. Apa jua yang tersiar di blog ini dibenarkan untuk link, copy, sebar dll tanpa perlu memohon izin dari saya. Moga-moga usaha dakwah alam siber ini menjadi jariah buat kita semua.

11:31 PM  
Anonymous Anonymous said...

Salam. Mudah-mudahan ustaz terus menerus berkongsi ilmu agama dgn pembaca bagi mengimbangi kebanjiran blog-blog yang penuh dengan 'despair' dunia.

6:26 AM  

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home