Sunday, July 20, 2008

Berfikir Dengan Betul

Tanahair kita sejak beberapa bulan ini penuh dengan pelbagai isu sehingga sukar bagi orang awam untuk menentukan mana yang benar dan mana yang palsu. Kegagalan menilai kebenaran sebenarnya bertitik tolak dari kegagalan berfikir dengan betul. Orang yang gagal berfikir dengan betul bukanlah bermakna dia seorang yang gila atau bodoh, tetapi kerana dia tidak pernah diasuh teknik-teknik berfikir yang betul sejak dari kecil.

Kegagalan inilah yang kita warisi dari sistem pendidikan kebangsaan hari ini. Semuanya kita "disuapkan" (spoon-feeding). Di Barat, anak-anak kita diasuh berfikir dan tidak terus diberikan jawapan kepada setiap permasaalan. Anak-anak saya sering bertanya "why" untuk setiap perkara yang saya suruh atau larang sehingga saya tidak boleh menyuruh mereka berbuat sesuatu perkara sehingga saya sediakan dahulu jawapannya. Mereka mahukan jawapan rasionalnya setiap isu; itulah anak-anak didikan Barat. Saya sendiri tidak mengharapkan mereka 'dengar dan taat' (sami'na wa ata'na) kerana di zaman penuh pancaroba ini mereka perlukan jawapannya untuk mempertahankan tindakan baik mereka dari serangan perosak dari kalangan rakan-rakan liar di luar sana.

Simon Blackburn, tokoh falsafah kontemporari ini menyebut dalam bukunya "Think" bahawa kebijaksaan Socrates bukan kerana beliau mengetahui banyak perkara atau menguasai banyak ilmu, bahkan sebaliknya. Tetapi kebijaksaan Socrates ialah kemampuan beliau berfikir dengan betul dan justeru itu mampu mencari kelemahan dalam hujjah lawannya yang mungkin mengetahui lebih banyak darinya.

Saya melihat siaran Debat di TV baru-baru ini dan merasakan kebenaran terhadap kata-kata Simon Blackburn di atas bahawa fakta semata tidak mampu bertahan dari gasakan hujahan lawan yang mampu menyusun bahasa dengan lebih kemas dan logik. Premis perbahasan yang tidak jelas dan sering berubah-ubah sehingga kesimpulannya gagal dibuat adalah antara beberapa contoh si pendebat itu tidak mahir dalam ilmu logik.

Dalam tradisi pengajian Islam silam, matapelajaran logik atau mantiq seperti buku Isagoge oleh Ibn al-Muqaffa' yang merupakan terjemahan dan saduran dari buku awal membicarakan tentang klasifikasi yang dibuat oleh Aristotle, diajar kepada anak-anak Islam sejak ratusan tahun lalu. Malangnya ilmu sedemikian tidak mendapat tempat lagi hari ini kerana masyarakat dan kerajaan tidak melihat kepentingannya lagi. Yang penting hari ini ialah Sains dan Teknologi, seperti ICT dll. Ilmu-ilmu logik, bahasa, agama, sejarah dan ilmu sains sosial yang lain sudah hilang kepentingannya. Graduan bidang ini tidak diperlukan di pasaran kerja lagi. Lalu pengajian-pengajian sebegini semakin kurang mendapat tempat di Universiti tempatan.

Yang memenuhi pasaran kerja hari ini semuanya mereka dari kalangan saintis belaka yang tidak memiliki ilmu berfikir dan berhujah yang benar. Kita mungkin maju dari segi fizikal dan teknologi, tetapi kontang dari berfikir betul, jahil tentang agama sendiri. Natijahnya, yang menguruskan kemajuan negara hari adalah dari kalangan-kalangan manusia tiada adab atau lebih tepat lagi biadab. Lalu masyarakat kita bukan melahirkan peradaban tetapi perbiadaban.

0 Comments:

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home