Monday, May 26, 2008

Sistem Pendidikan Kebangsaan Hilang Kepercayaan

Hampir dua bulan kami tiba di tanahair namun tiga orang anakku yang sepatutnya kudaftarkan bersekolah, tidak kulakukan. Aku masih mencari-cari sekolah yang sesuai untuk mereka. Cadangan untuk homeshooling nampaknya sukar dilaksanakan kerana kesibukanku dan ditambah pula isteriku terpaksa membantu perniagaan keluarganya.

Anak-anakku fasih berbahasa Inggeris kerana hampir empat tahun bersekolah di Edinburgh. Tetapi kefasihan itu sebaliknya tidak dipandang positif oleh rata-rata guru di sekolah kebangsaan hari ini. Dari pengalaman teman-teman yang pulang dari UK lalu menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah kebangsaan, anak-anak sebegini akan merasa rendah diri kerana kurang berkemahiran berbahasa Melayu. Seorang rakanku di Kedah menyatakan bagaimana anaknya tertekan dimarahi guru kerana asyik bertutur bahasa Inggeris. Hari ini beliau tidak mahu bercakap Inggeris walau sepatah pun. Sayang sekali. Guru-guru di sekolah kebangsaan katanya tidak banyak membantu anak-anak seperti anak beliau yang mungkin agak perlahan dari segi kemahiran Bahasa Melayu.

Namun yang lebih aku risaukan bukan masalah bahasa itu, tetapi pendidikan dan disiplin anak-anakku kelak. Sekolah aliran kebangsaan hari ini seolah hilang kawalan disiplin dan moral. Pelbagai unsur-unsur jahat, budaya samseng dan tidak bermoral berkembang di sekolah-sekolah sehingga rata-rata ibubapa yang aku temui sudah tidak begitu mempercayai sekolah kebangsaan lagi. Ditambah pula bebanan matapelajaran yang diajar sebegitu banyak, di sebelah malamnya terpaksa menghadiri kelas tuition pulak. Aku cuba meninjau sekolah antarabangsan (International schools), tapi nampaknya sekolah-sekolah sebegini dibina bukan untuk tujuan pendidikan tetapi lebih kepada komersial sehingga golongan seperti kami tidak mampu menikmati pendidikan sedemikian.

Alhamdulillah kutemui sebuah sekolah agama yang dibina oleh dermawan dari Yemen. SubhanaLlah, hebat sekolahnya dengan penekanan Bahasa Arab dan matapelajaran Islamnya. Mudirnya juga cukup baik. Aku daftarkan dua anakku di sekolah berkenaan dan bila sesi kemasukan depan bermula, Insya ALlah harap mereka akan dapat mula bersekolah.

Sekolah sedemikian tidak menawarkan matapelajaran UPSR, dan anak Melayu pun rasanya seorang dua sahaja. Yang lainnya semua atau kebanyakkan berbangsa Arab. UPSR ke, PMR ke, SPM ke itu semua sijil dunia belaka. Aku pentingkan anak-anakku mendapat pendidikan Islam yang secukupnya dan memiliki asas yang kukuh. Itu yang Fardhu 'Ainnya. Selepas itu boleh difikirkan jika mereka perlu mengambil matapelajaran akademik lain.

Hari ini para ibubapa terkejar-kejar menghantar anak: pagi ke sekolah kebangsaan, petang ke sekolah agama rakyat. Di sebelah malam pula menghantar anak ke kelas tambahan hatta seawal usia Tahun Pertama pengajian. Dua-dua ingin dikejar namun akhirnya dua-dua keciciran kerana anak-anak tidak mampu melakukan kedua-dua sekali. Dahulukan prioriti mereka, yang aula ialah Agama mereka. Yang lain boleh dikemudiankan. Jika di peringkat awal ini agama mereka keciciran, usah diharap mereka akan mencari agama setelah meningkat remaja. Namun jika akademik mereka keciciran, mereka punyai banyak masa untuk mengejarnya. SPM/STPM boleh diambil bila-bila masa! Lagipun berapa ramai yang tidak memiliki SPM/STPM tapi hidup mereka tetap berjaya dari segi duniawinya.

Ibubapa hari ini begitu menginginkan anak-anak mereka mendapat pendidikan Islam dan akademik, juga penguasaan Bahasa Inggeris dan komputer. Namun sayang, sekolah swasta yang ada hari ini lebih bersifat komersial belaka demi mengaut keuntungan berlipat ganda. Bukan sahaja penceramah agama yang dulu heboh dikatakan mengenakan bayaran tinggi, sekolah agama pun begitu. Semuanya fulus belaka.

Mungkin aku perlu memikirkan untuk menubuh sekolah yang menawarkan pendidikan Islam yang integrated tetapi dalam masa sama sekadar mengenakan bayaran yang berpatutan bagi menampung kos, tidak untuk keuntungan seperti yang ada hari ini, Insya ALlah. Inilah sebahagian dari kewajipan kita hari ini, jihad kita: memberi pendidikan Islam untuk generasi akan datang. Allahu musta'an!.

1 Comments:

Blogger Ayah said...

Assalamualaikum Ustaz,

Semoga niat Ustaz untuk menubuhkan sekolah itu tercapai. Saya bersetuju sangat dengan pendekatan agama yang didahulukan. Perkara2 lain boleh dikemudiankan. Yang penting, kita bina kekuatan peribadi anak2 yang kukuh, berlandaskan agama Islam. Insyaallah, kekuatan ini bersama keyakinan diri untuk menjadi Khalifah Allah akan menjadikan mereka anak2 yang soleh & solehah.

-Ayah-

6:48 PM  

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home