Maqasid al-Shari'ah sehingga meninggalkan Sunnah?
Hari ini ku diundang menghadiri "Workshop on Teaching Maqasid...", anjuran Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh UIAM. Alhamdulillah banyak pelajaran yang boleh ku dapati dari majlis ini. Cuma di tengah-tengah keghairahan para pembentang membicarakan kepentingan mengajar matapelajaran "Maqasid al-Shari'ah" (Matlamat Syariah) ini, ada yang nampaknya tersasul sehingga melihat setiap perbuatan baginda Rasulullah s.a.w. itu dari segi hikmah dan maqasid belaka, sehingga mengenepikan sunnah. Sebagai contoh hadith yang diriwayatkan dalam Bukhari, Muslim dan lain-lain dengan lafaz yang sedikit berbeza-beza, mafhumnya:
“Kalaulah sekiranya aku tidak khuatir akan memberatkan umatku, niscaya aku akan perintahkan mereka bersiwak setiap kali akan shalat.”
Ada seorang pembentang yang mengatakan bahawa 'maqasid' dari hadith ini ialah saranan Rasulullah agar menjaga kebersihan, dan bukan bermakna perlu bersugi setiap kali solat.
Mengatakan bahawa hikmah hadith ini adalah menggesa umat Islam sentiasa menjaga kebersihan gigi merupakan 'tafsiran' belaka. Mungkin benar atau mungkin tidak tafsiran sebegitu. Ianya hanyalah kemungkinan (dhanniy) belaka yang tidak semestinya betul dan tepat. Tetapi, yang pasti secara qat'ienya betul dan tepat ialah perlakuan bersiwak itu sendiri digalakkan dilakukan setiap kali akan solat sepertimana yang terakam dalam hadith di atas yang boleh difahami secara lafaznya yang jelas tanpa perlu sebarang penta'wilan. Berdasarkan hadith ini jugalah para ulama merumuskan bahawa bersiwak itu sebahagian dari Sunnah Baginda s.a.w. Atau adakah kita cuba menafikan bersiwak itu Sunnah Nabi dan boleh diganti dengan menggosok gigi?
Andaikata setiap hadith dilihat dari segi hikmah dan maqasidnya belaka, dan diberikan ta'wil sewenang-wenang, maka hilanglah Sunnah Mulia baginda s.a.w. Kayu siwak tidak perlu lagi digunakan hari ini kerana sudah ada berus gigi dan ubat gigi Colgate yang jauh lebih baik kandungan bahan kimia seperti Flouride dll, untuk penjagaan gigi. Bahkan ada ubat gigi yang kononnya diperbuat atau mengandungi bahan dari kayu sugi.
Ya, bersihkan gigi dengan ubatgigi Colgate atau ubat gigi berperisa kayu sugi dll, kerana mungkin ianya lebih baik dan berkesan menjaga kebersihan gigi berbanding kayu sugi, namun bersiwaklah juga setiap kali sebelum solat kerana itu pula menghidupkan Sunnah Rasulullah s.a.w. Tiada siapa pun yang mengetahui secara pasti hikmah dan rahsianya pesanan baginda Rasulullah s.a.w. itu. Hanya Allah sahaja yang mengetahui sedangkan kita hambaNya sekadar mampu mengagak-agak sahaja. Yang penting bagi kita ialah mengikuti Sunnah itu bukan kerana mempercayai hikmah yang mungkin ada dari perlakuan Sunnah tersebut. Kita perlu yakin bahawa perlakuan Rasulullah s.a.w. itulah yang terbaik walaupun kita mungkin tidak mengetahui hikmahnya yang sebenar. wallahu'alam.
Teringat peristiwa Abdullah ibn Umar r.a. yang tidak turun dari untanya melainkan berpusing-pusing di suatu tempat beberapa kali, kerana melihat baginda Rasulullah s.a.w. pernah melakukan sedemikian ketika hayat Baginda apabila memasuki kawasan itu., Ibn Umar tidak pun mengetahui apakah hikmah atau maqasidnya perlakuan Baginda s.a.w. itu. Begitu juga Ibn Umar akan menundukkan kepalanya setiap kali melalui sebatang jalan yang suatu ketika dahulu ada sebatang pohon rendang dan baginda s.a.w. sering menundukkan kepalanya yang mulia apabila melalui jalan itu dan setiba di bawah pohon tersebut. Walaupun pohon itu sudah tiada, namun Ibn Umar tetap memperlakukan seperti amalan Rasulullah s.a.w tersebut. Inilah yang dikatakan menegakkan Sunnah Baginda s.a.w. tanpa banyak berdolak dalih, tanpa perlu mengetahui apakah hikmah atau maqasid sesuatu amalan Baginda itu. wallahu'alam.

3 Comments:
Ya betul ustaz. Setiap yg baginda lakukan sudah tentu yg terbaik kerana baginda manusia terbaik dan terpilih. Justeru, apa yg lahir daripada baginda juga adalah yg terbaik.
Adakah juga kecenderungan penafsiran hadith secara hermeunitik?
This post has been removed by the author.
Terima al-Ukht kerana sudi meninggalkan komen bernas.
Ya, inilah masalah umat Islam hari ini, termasuk di kalangan sebahagian dari para asatizah kita yang terlalu terikut trend Barat.
Apabila Barat kuat melakukan "Critical Studies/Textual Studies/Interpretation of Bible", kita pun mula ingin ikut melakukannya terhadap al-Qur'an. Kita lupa bahawa status kemuliaan al-Qur'an jauh lebih tinggi mengatasi Bible hari ini.
Pendekatan Hermeneutik sepertimana yang dibuat oleh orang Kristian Barat terhadap Bible mereka tidak boleh sama sekali digunakan terhadap al-Qur'an untuk menggantikan ilmu tafsir.
Saya sependapat dengan sahabat saya Dr Ugi Suharto dalam hal ini. Untuk pembacaan lanjut, rujuk:
http://wonkikhsan.podbean.com/2007/04/07/al-quran-perlu-hermeneutika-dr-ugi-suharto/
Post a Comment
Links to this post:
Create a Link
<< Home