Monday, April 14, 2008

Barangan melambung, umat tidak bersatu

Harga barangan keperluan harian di Malaysia ternyata melambung tinggi berbanding empat tahun lalu. Mungkin benarlah seperti telahan ramai penganalisis bahawa itulah salah satu faktor menyumbang kepada 'tsunami politik' baru-baru ini. Isteriku terkejut besar apabila susu yang melambung dua kali ganda dari harga empat tahun lalu. Walhal gajiku tidak pun naik sebanyak itu. Nampaknya semakin perit hidup di Tanahair hari ini. Lebih perit bagi golongan berpendapat rendah. Tidak hairan jika ramai yang menambah pendapatan bekerja di sebelah malam pula, di pasar2 malam dll. Ini sudah tentu menyumbang masalah lain pulak. Di mana masa untuk anak2 jika ibubapa sibuk bekerja siang malam mencari nafkah?
Barangan naik saban hari tanpa ada kawalan dari kerajaan mahupun perasaan tanggungjawab para peniaga. Pelanggan pula tidak bersatu membentuk kekuatan untuk memulau barangan tertentu, tidak seperti di Barat.

Terkenang baru-baru ini di UK ketika salah satu syarikat coklat mengisytiharkan barangannya tidak lagi sesuai untuk 'vegetarian', lalu bantahan demi bantahan dibuat sehingga memaksa syarikat tersebut kembali kepada status asalnya barangannya 'suitable for vegetarians'.

Tetapi itu di Barat. Mereka boleh bersatu sebab itu mereka kuat. EU yang dianggotai lebih 25 negara Eropah dapat bersatu mengguna matawang Euro yang sama, tetapi tidak negara Islam. Umat Islam asyik bercakaran sesama sendiri. Liga Arab asyik berbalah sesama ahlinya sehingga setiap usul jarang dapat disepakati. Apabila ada usul mengutuk negara Israel, akan ada negara Arab pro Amerika yang membantah.
Orang Islam rata-rata amat gemar berselisih pendapat dan mempertahankan pendapatnya yang lemah mahupun salah. Teringat ketika mula-mula sampai di Sudan tahun 1997 dulu pernah seorang sahabat bercerita bagaimana di sana apabila ada pemandu yang jelas salah melanggari kenderaan orang lain, tapi masih bertegas mengatakan ia di pihak yang benar dan menyalahkan pihak yang lain. Pengalaman di Saudi juga begitu. Rata-rata negara Arab sama saja. Arab mencerminkan Islam walaupun bukan semua Arab itu Muslim. Nah, nilailah sendiri kualiti umat Islam hari ini.
Ketika di ISTAC dulu, Professor Naquib al-Attas diketahui cukup tidak gemar untuk menghadiri undangan ke konferens di Timur Tengah kerana katanya, antara lain, orang Arab sukar menerima kebenaran dan pendapat orang lain. Lebih-lebih lagi mendengar hal melibatkan Islam dari orang bukan Arab. Mereka lebih gemar mengungkapkan kalam Junjungan Mulia s.a.w. "perbezaan pendapat di kalangan umatku itu rahmat". Ada ketikanya dituturkan kata-kata: "that's is your opinion, I have a different opinion".
Kenapa perlu kita memiliki pendapat berbeza-beza? Kenapa kita terlalu angkuh dan sombong untuk menerima pendapat orang lain jika ternyata pendapat mereka itu lebih baik?
Benar kata-kata Baginda s.a.w. itu, tetapi aplikasinya salah. Ia bukanlah bermakna kita boleh berbeda pendapat dalam segenap hal, jauh sekali digalakkan berbeda pendapat. Apabila pendapat orang lain itu lebih bernas, hujjah lebih kukuh dan penuh kebijaksanaan, maka tinggallah pendapat kita yang rapuh dan tidak berasas itu. Jangan kita merasa terhina mendapati pendapat kita dibuktikan tidak cukup kuat. Bukankah kita hidup ini mencari yang terbaik dalam serba-serbi? Tidak semua perkara perlu khilaf.
Cuma sayang sekali, sistem pendidikan tidak membantu melahirkan manusia yang mampu berfikir secara logik, rasional dan kritis sehingga mampu menilai sesuatu secara objektif: baik buruknya dan benar palsunya. Sistem kita melahirkan ramai manusia 'burung kakaktua'.

0 Comments:

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home