Home Schooling
Kritikan Dorothy Sayers melalui tulisannya ‘The Lost Tools of Learning’ ternyata benar sekali. Termasuklah juga tulisan kritis Harvey & Laurie Bluedorn ‘Ten Things To Do With Your Child Before Age Ten’ (pdf) dan beberapa tulisan-tulisan lain seperti John Taylor Gatto, yang mengkritik kaedah pembelajaran moden dan menyeru kembali kepada kaedah pendidikan zaman silam – zaman klasik - disamping menyesuaikan dengan beberapa perubahan sesuai dengan perkembangan zaman moden ini.
Tidak dinafikan bahawa anak-anak zaman moden ini diajar banyak matapelajaran, berbanding generasi silam, tetapi adakah itu juga bermakna mereka lebih ‘mengetahui’ atau lebih ‘bijak’ hari ini berbanding dulu? Atau mereka sebenarnya hanya menjadi seperti burung kakaktua yang diajar dan disogokkan oleh tuannya dengan pelbagai ‘kata-kata’ indah didengar, tanpa mengetahui dan mampu menilai sendiri keindahan makna yang diluahkan kembali itu.
Itulah produk pendidikan generasi sistem pendidikan kita hari, tidak mampu berfikir sendiri dengan betul kerana mereka selama ini tidak pernah diajar ‘berfikir’, walaupun diajar dengan puluhan matapelajaran. Berfikir dan berfikir dengan betul merupakan dua perkara berbeza. Ya, orang berakal memang mampu berfikir, tetapi adakah pemikiran mereka itu betul, logik, rasional, kritikal, tepat dan sebagainya. Dalam situasi di mana pengajian bersifat hafalan dan peperiksaan, ianya tidak akan mampu membentuk minda yang ‘rasional’ ‘kritikal’, ‘analitikal’, ‘kreatif’ dan sebagainya. Mereka tidak mampu berfikir sendiri sebetulnya dan membuat keputusan yang betul dan tepat. Mungkin lebih mudah difahami jika kita katakan sistem kita hanya mampu melahirkan ‘pengikut’ yang setia tetapi bukan ‘pemimpin’ kerana ciri-ciri kepimpinan tidak terbina dan tidak dipupuk. Pemimpin biasanya pemikiran mereka merdeka, mampu menilai dan kemudiannya membuat keputusan sendiri. Pengikut jarang bersifat sedemikian.
Hari ini kita mengajar terlalu banyak matapelajaran, tetapi kita tidak mengajar anak-anak kita berfikir yang betul, dan kaedah belajar yang tepat. Kita berbangga apabila ada anak-anak SPM yang mengambil berpuluh matapelajaran dan berjaya dengan cemerlang. Ya, anak-anak sebegitu memang berjaya, tetapi berjaya ‘menghafal’ dan menjawab dengan baik. Tidak bermakna mereka telah memiliki alat-alat yang diperlukan untuk berjaya hidup selepas SPM itu, berjaya menjadi pemimpin yang baik.
Hakikatnya anak-anak itu tidak memiliki ‘alat’ (tools) yang secukupnya untuk mereka menghadapi cabaran kehidupan ini, sepertimana dakwaan Dorothy Sayers. Mereka seumpama askar-askar yang diarahkan berperang, tetapi tidak dilengkapi senjata. Mereka bernasib baik berjaya sekali, tidak bermakna akan berjaya selamanya.
Perlu diakui bahawa banyak masalah dan isu yang timbul dalam masyarakat kita hari ini sebenarnya disebabkan kegagalan berfikir dengan betul, khususnya di kalangan pemimpin-pemimpin kita hari ini, terzahir melalui lidah-lidah orang-orang politik. Akibat tidak pernah diajar ‘berfikir’ dengan betul ketika kecil dahulu, percakapan mereka merapu, tiada asas, tidak menepati ilmu logika dan rasional, tidak konsisten, banyak mengampu dan membodek sehingga mereka mengorbankan kebenaran dan keadilan. Bagi yang bijaksana akan melihat pemimpin-pemimpin palsu ini seperti ’orang-orang bodoh’. Inilah juga kebimbangan yang pernah disuarakan oleh Professor Naquib al-Attas, ‘lingkaran ganas’ kekeliruan ilmu yang kemudiannya melahirkan pemimpin-pemimpin palsu.
Kita melahirkan masyarakat yang diukur semata ‘sijil’ atau ‘on paper’. Sijil bukan ukuran tepat mencerminkan tahap pemikiran seseorang. Dari satu segi ternampak seolah seorang itu banyak ‘ilmu’, tetapi dari segi yang lain pemikiran mereka belum cukup dimatangkan lagi untuk mampu membuat kesimpulan yang bijaksana terhadap sesuatu hal. Kadar buta huruf hari ini tidak dinafikan rendah berbanding 50 puluh tahun dulu, tetapi bukanlah bermakna masyarakat hari ini lebih ‘bijaksana’ dari generasi tua-tua lalu.
Kehebatan tamadun masyarakat Yunani silam bukan kerana mereka mengajar banyak matapelajaran, tetapi mereka mengajar rakyat mereka ‘cara belajar’ atau ‘berfikir’ dengan betul, sehingga mereka mampu melahirkan ramai cendikiawan dan ahli filasuf.
Apabila seseorang itu menguasai ‘cara belajar’ yang betul, beliau sebenarnya memiliki alat untuk berfikir. Beliau mampu berdikari, mengutip mutiara-mutiara bernilai melalui kejadian alam semesta dan mengambil pelajaran dan hikmah darinya, tanpa perlu diajarkan atau ditunjukkan satu persatu. Lantaran itulah masyarakat silam mampu melahirkan manusia yang ‘bijaksana’ atau al-hakim/hukama’ yang membimbing masyarakat melalui kata-kata mereka yang penuh hikmah. Melalui bimbingan guru-guru yang membentuk, mengasuh dan mematangkan pemikiran mereka, ditambah lagi dengan pembacaan mereka kemudiannya, akan memantapkan lagi pemahaman, menajamkan hujjah mereka, seterusnya mengukuhkan pendirian mereka sehingga mereka jelas dan faham setiap yang mereka pelajari secara logik dan rasionalnya, bukan dipaksa-paksa atau disogok-sogok.
Hari ini sistem kita lebih tekankan memperbanyakkan ‘ilmu’ melalui memperbanyakkan ‘matapelajaran’ diajar. Setiap kali mesyuarat agung parti politik, ada sahaja matapelajaran baru yang dicadangkan dimasukkan dalam kurikulum kebangsaan. Alangkah singkat pemikiran sebegitu.
Sistem pendidikan kita bukannya berusaha melahirkan manusia yang bijaksana melalui latihan ‘berfikir’ tetapi menjadi seperti manusia robot yang segala maklumat ingin disumbatkan ke dalam memori. Akhirnya ‘ilmu’ atau setepatnya ‘maklumat’ yang banyak yang disogokkan itu menjadi lapuk dan tidak berguna kerana akal pemikiran belum cukup terbina mantap untuk menampung dan memahami maklumat yang banyak itu. Maklumat banyak itu menjadi tidak berguna lagi untuk kehidupan sehariannya.
Perlu ingat anak-anak kita bukan robot tetapi insan yang perlu dibentuk, dikembangkan daya pemikiran mereka secara sempurna. Lantaran itulah dalam masyarakat Yunani silam, mereka membahagikan pengajian kepada dua fasa:
- Trivium
- Quadrivium
Bukan sesuatu rahsia lagi bahawa ramai pemimpin negara kita sendiri, orang-orang berada yang tidak lagi menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah kebangsaan, tetapi memilih sekolah-sekolah antarabangsa (International Schools) atau menghantar mereka ke luar negara belajar sekolah di sana, mengambil A level di UK, misalnya. Kerana apa? Kerana mereka sendiri tidak yakin dengan sistem kebangsaan mampu mendidik anak-anak mereka sebaik mungkin. Tiada apa yang diingii oleh ibubapa melainkan anak-anak mereka mendapat pendidikan terbaik. Tetapi tidak semua mampu menghantar anak-anak ke sekolah antarabangsa dan luar negara, lalu apa pilihan yang ada? Home schooling?
Labels: homeschooling

0 Comments:
Post a Comment
Links to this post:
Create a Link
<< Home