Hak Anak Dalam Islam
Ahad lepas aku berkesempatan menadah kitab Imam al-Haddad, al-Nasaih al-Diniyya di bawah tunjuk ajar Sheikh Abdul Aziz
Majlis bermula dengan burdah, mawlid dan dars. Subhanallah, terasa dekat sungguh akhirat, lunak, jinak dan tenang hati apabila menghadiri majlis-majlis zikir sebegini. Inilah yang dikatakan 'spiritual uplifting'. Jauh sekali berbeza apabila kita menghadiri majlis-majlis maksiat mahupun melalaikan, terasa hati berkecamuk dan resah gelisah walaupun majlis itu seakan zahirnya menyeronokkan. Walaupun bukan di negara umat Islam, namun apabila bersama dalam majlis-majlis zikir sebegini jauh lebih baik dari berada di negara sendiri yang hiruk-pikuk dengan segala majlis melalaikan. Ada di kalangan kami yang mengatakan mereka memperolehi hidayah di bumi orang bukan Islam!. Cuma sayang, tidak ramai anak-anak Melayu berminat dengan majlis-majlis zikir sebegini. Jika dianjurkan "Malaysian Night" walaupun perlu membayar tiket, nescaya penuh sesak. Itulah apabila nafsu diturutkan, ruh pasti merana.
Sheikh Abdul Aziz menyentuh tentang berbuat baik kepada orang tua (birr al-walidayn). Banyak noktah penting jika ingin dirakamkan di sini, mungkin di kesempatan lain.
Antara noktah menarik ialah agar ibubapa tidak terlalu mendesak anak-anak mereka, kerana walau bagaimana sekalipun anak-anak
Imam al-Haddad juga mengingatkan agar ibubapa tidak mendoakan kecelakaan buat anak-anak mereka, lantaran marah atas sikap kebiadapan anak-anak. Kerana itu akan hanya semakin menjauhkan mereka dari ketaatan. Sebaliknya, sentiasa mendoakan kebaikan buat mereka walau sejahat mana sekalipun anak-anak itu kerana doa ibubapa itu dimakbulkan oleh Allah Ta'ala, Insya ALlah.
Teringat pesan arwah ayah aku, supaya anak-anak tidak dimaki hamun. Ada di kalangan ibubapa yang memaki hamun anak-anak mereka dengan kata-kata seperti 'binatang', 'beruk' 'celaka' dan lain-lain apabila kemuncak kemarahan. Kata ayah aku, walaupun mungkin anak-anak tidak bertukar menjadi 'binatang' atau 'beruk' seperti yang disumpahkan oleh ibubapa, namun akhlak dan perangainya akan semakin menjurus ke arah itu sedikit demi sedikit, kerana setiap kata-kata ibu dan bapa itu menjadi doa untuk anak-anaknya. Hidup anak-anak yang disumpah seranah ibubapanya juga tidak memperolehi keberkatan.
Sering juga aku mendengar ibubapa yang merujuk anak-anak mereka dengan penjodoh bilangan selayaknya untuk binantang, iaitu "ekor". Contohnya: "susah nak bergerak, ada tiga ekor kat rumah tu", atau "lambat sikit, nak siapkan empat ekor ni dulu". Ini juga akhlak ibubapa yang buruk dan menganggap anak-anak sama setaraf seperti binatang. Tidak heranlah jika anak-anak menjadi semakin bersifat "kebinatangan", degil, pemarah kerana ibubapa setiap hari tanpa mereka sedari menggunakan kalimah-kalimah yang tidak layak untuk mendidik dan meng-adabkan mereka, tetapi hanya layak untuk binatang. Bagaimana mungkin anak-anak mereka menjadi manusia beradab?
Sebab itulah antara hak anak dalam Islam ialah mereka diberikan nama-nama yang baik. Apabila mereka dipanggil dengan nama-nama yang baik itu, panggilan itu juga merupakan suatu doa untuk mereka. Sheikh Aziz bercerita bagaimana seorang suami mengadu kepada seorang sheikh tentang tingkahlaku isterinya. Lalu Sheikh itu bertanya, apa nama isteri beliau. Lalu disebut nama isterinya. Sheikh berkata nama itu tidak sesuai. Mulai hari ini, kau panggil dia "Hafsah". Lalu si suami itu pulang ke rumah dan memberitahu isterinya mulai hari ini nama baru beliau ialah "Hafsah". Sejak itu, perangai isterinya terus berubah, mungkin kerana berkat nama umm al-mukminin, Sayyidatina Hafsah binti Umar al-Khattab r.anhuma, wallahu'alam.

0 Comments:
Post a Comment
Links to this post:
Create a Link
<< Home