Thursday, February 07, 2008

Countdown 2: Akhlak Islam di Bumi Asing

Sekitar sebulan lebih lagi, akan aku tinggalkan bumi Edinburgh ini, Insya Allah, membawa bersama seribu pengalaman dan pengajaran. Teringat kembali ketika mula-mula diarahkan oleh Professor Kamal Hasan, yang pada ketika itu Rektor UIAM, dalam sesi temuduga, supaya aku melanjutkan pelajaran ke luar negara agar luas pemandangan ("to broaden your horizon"). Benar katanya dan benar juga bidalan Melayu, "jauh berjalan luas pandangan". Bahkan dalam tradisi Islam juga para ulama' dulu merantau sejak dari kecil lagi. Lihat perantauan Imam al-Shafie misalnya, dan perantauan (al-rihlah fi talab al-hadith) para ulama hadith seperti al-Bukhari dan lain-lain.


Begitu juga ulama alam Melayu dulu dan kini. Sheikh Abdul Samad Palembang, Sheikh Daud al-Fatani dan lain-lain merantau ke Mekah menuntut ilmu. Tuan Guru Haji Abdullah Lubok Tapah ketika merantau ke Tanah Suci masih dalam usia muda, 20-an. Apabila salah seorang menantu beliau yang terpaksa meninggalkan anak kecil yang baru dilahirkan demi melanjutkan pelajaran ke luar negara, beliau berpesan: "pergilah, kerana adat menuntut ilmu itu perlu merantau".


Banyak yang aku pelajari dari perantauan ke bumi Edinburgh ini. Walaupun mungkin dari segi ilmu Islam, di Timur Tengah jauh lebih banyak ilmu dan barakah yang mungkin boleh diperolehi dari para shuyukh yang alim lagi warak. Mungkin akan ada yang berkata, apalah sangat yang diperolehi melalui belajar dengan para Orientalis di Barat. Rasanya tanggapan sebegitu silap kerana walaupun mereka tidak beriman dengan apa yang mereka ketahui, tetapi mereka banyak membantu mengajar cara-cara membuat penyelidikan yang betul dan berkualiti. Rasanya, rata-rata kalau ditanyakan kepada para ustaz yang membuat pengajian Islam di Barat, apa sebenarnya yang mereka inginkan? Pasti mereka akan menjawab "dari segi aspek penyelidikan atau research methodology" bagi melahirkan karya bermutu. Penyelidikan samada di bidang Sains mahupun Sains Sosial rasanya harus diakui bahawa dunia Barat masih yang terbaik. Berkebetulan mereka turut mengkaji Islam dan memiliki khazanah manuskrip dari dunia Islam yang tinggi mutunya. Mahu tidak mahu kita terpaksa belajar dari mereka.


Bagi sesiapa yang baru pertama kali menjejaki kaki ke Barat pasti terkejut melihat akhlak kebanyakan mereka. Yang jahat di mana-mana pun ada, namun secara keseluruhannya akhlak masyarakat Barat cukup tinggi. Ada yang mengatakan kita tidak boleh mengatakan itu 'akhlak' kerana akhlak hanya untuk orang Islam atau amalan Islam sahaja. Itu pun rasa aku tidak tepat. Masyarakat Barat sememangnya berakhlak, cuma mereka tidak mencapai kesempurnaan akhlak sepertimana yang dituntut dalam Islam.


Teringat kata-kata Sheikh Abdul Aziz Fredericks bahawa baginda Rasulullah s.a.w. diutuskan bukan membawa 'akhlaq' yang baru tetapi hanya menyempurnakan akhlaq baik yang sedia ada.


((انما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق))

Sesungguhnya aku diutuskan demi menyempurnakan akhlaq yang baik


Banyak jika ingin disenaraikan akhlaq yang baik masyarakat Barat. Bukan maksud untuk memuja mereka, cuma mahu mengambil iktibar betapa akhlak Islam yang baik itu ditemui dan diamalkan oleh orang-orang bukan Islam. Menepati masa, jujur, mendahulukan orang lain, sering memohon maaf, teliti dalam kajian mereka, berusaha mencapai kecemerlangan dan bukan sekadar cukup makan, budaya membaca yang tinggi, dan lain-lain. Mengikut sahabatku Dr.Azman ketika aku mula-mula sampai, masyarakat Barat memiliki hampir semua kebaikan Islam, kecuali arak, judi dan zina. Andaikata mereka tidak memiliki tiga dosa besar itu, nescaya mereka menjadi bangsa yang lebih hebat dari sekarang. Sedangkan kita, memiliki semua penyakit-penyakit masyarakat Barat dan meninggalkan akhlak Islam.


Baru-baru ini aku membeli sebuah vacuum cleaner. Setelah pakai beberapa kali, kami sepakat mengatakan bahawa kita perlu memulangkan kembali dan mohon 'refund' untuk wang kita. Bukan sahaja bunyinya membingitkan tetapi juga berbau hangit semacam. Itu pun setelah hampir sebulan bersama kami. Lalu aku ke Sainsbury dan mohon untuk refund. Mengikut undang-undang, selama 28 hari selepas pembelian, maka kita boleh memohon 'refund'. Dan aku berjaya mendapat wangku kembali tanpa banyak kerenah. Itulah pertama kali aku memohon refund di sini. Sedihnya, sampai ke telingaku ada anak-anak Melayu yang mengambil kesempatan atas kejujuran masyarat Barat melalui sistem ini untuk membeli apa jua peralatan yang diperlukan lalu memulangkan kembali sebelum tempoh 28 hari tamat. Ada yang membeli printer untuk mencetak assignment, lalu memulangkan sebelum tamat tempohnya. Inilah masalah kita, akhlak buruk bangsa kita, tidak jujur dan tidak amanah, penipu dan berbohong. Perbuatan sebegitu jelas haram dan merosakkan kebaikan sistem itu akhirnya polisi sebegini mungkin akan dihapuskan kerana ramai yang mengambil kesempatan. Bukan sifat orang mukmin itu menipu. Sebab itu di negara kita 'refund policy' sebegini tidak boleh diamalkan kerana masyarakat kita kuat menipu. Kalau diamalkan mungkin lingkup semua kedai-kedai terbabit.


Alhamdulillah selama hampir empat tahun di bumi UK ini aku berkesempatan menyempurnakan rukun Islam kelima, menunaikan ibadat haji. Moga-moga Allah terima ibadatku itu sebagai haji mabrur di sininya. Dalam perjalanan keluar dari bumi UK ini dan singgah di Cairo, terasa sungguh jauh berbeda akhlak orang Islam dan bukan Islam. Di airport Cairo itu manusia berebut-rebut, menjerit-jerit tanpa segan silu. Itu belum diceritakan lagi pengalaman di Tanah Suci dan akhlak para jemaah haji di sana, berebut-rebut untuk mengucup Hajarul Aswad. Berebut-rebut dan asak-mengasak di hampir semua tempat merupakan pemandangan biasa musim haji. Itulah akhlak orang Islam kini. "Akhlak orang Islam" itu samasekali tidak menggambarkan "akhlak Islam" sebenar. Sering aku terfikir, jika beginilah akhlak jemaah haji, padanlah hanya orang yang Haji Mabrur sahaja diberi ganjaran syurga oleh Allah Ta'ala. Dan dalam jutaan jemaah haji saban tahun itu, rasanya hanya sekelumit sahaja sebenarnya yang mendapat ganjaran 'title' itu. Moga-moga aku salah seorang darinya ya Rabb! Amin.


wallahu alam.

4 Comments:

Blogger ZLAA said...

Salam

Saya tengah surf untuk mencari hukum child benefit. Berjumpa di Laman Ixora dan linknya ke laman web ini. Malangnya, saya sukar untuk mencari teksnya. Jika ada, harap dapat bantu saya mencarinya. Terima kasih

2:57 PM  
Anonymous Sharif said...

Salam Ya Sheikh Ustaz, rata-rata begitulah komen oleh umat Islam yang pernah menetap di bumi UK dan berkesempatan menunaikan ibadah di tanah suci. Mudahan tuan Sheikh, dapat mengongsikan kriteria, sebab-musabab mengapa majoriti masyarakat barat di UK mampu lebih ber'akhlak' Islam drpd umat Islam di timur tengah dan keseluruhan umat Islam di seantaro dunia.
Mudahan jadi panduan utk mereka yg mahu ambil iktibar! InsyAllah.

7:08 AM  
Anonymous Sharif said...

Syabas Ya Sheikh Ustaz...
posting yg menarik..

7:09 AM  
Blogger salik said...

Terima kasih Tuan Sharif atas dua komen tuan dan kata-kata perangsang yang diberikan.

Kenapa masyarakat Barat lebih berakhlak dari umat Islam di merata dunia banyak faktornya. Lain orang akan melihat dari sudut yang berbeza. Pada saya dan pengalaman yang sedikit di sini, saya lihat ianya banyak bergantung kepada pendidikan ibubapa terhadap anak-anak sejak kecil lagi.

Di sini, masyarakat mereka mendidik anak-anak di sekolah2 agar memiliki akhlak dan budipekerti yang baik dari sekecil-kecil perkara hingga sebesarnya. Di tanahair kita, kita membiarkan khususnya hal-hal kecil, dan tidak menumpukan untuk memberi pengajaran kepada anak-anak.

Hal-hal kecil yang saya maksudkan contohnya seperti mereka mengajar/mendisplinkan anak-anak dalam menyusun jaket masing-masing sebelum ke kelas, meletakkan lunchbox dalam kotaknya, mengajar agar menahan daun pintu jika ada orang di belakang yang akan lalu sama, melazimkan mengucap "I am sorry" apabila melakukan kesalahan, dan "excuse me" apabila memerlukan sesuatu.

Mereka turut memberi ganjaran untuk anak-anak yang berakhlak baik minggu tersebut dengan gelaran "child of the week", memberi bintang Achievment dari gangsa, perak, dan emas. Memberi sticker pelbagai kata2 perangsang yang ditampalkan di uniform sekolah sebagai tanda anak2 melakukan perkara yg baik.

Di tanahair kita, penerapan sebegitu kurang diberi perhatian sehingga anak-anak kita mungkin tidak merasakan perbezaan ketara sangat antara "mana yang baik" dan "akhlak mana yang tidak baik".

Di sini mereka menwujudkan jurang yang besar antara "perbuatan yang baik" dan "tidak".

Rata-rata pemandu kenderaan di sini akan memberi laluan kepada kenderaan lain, samada yang ingin keluar dari parking dan masuk ke laluan utama, atau yang ingin memasuki simpang tanpa perlu menunggu berjam-jam seperti di tanahair kita. Mereka memahami bahawa apabila lampu isyarat kereta di depan itu menunjukkan pemandunya ingin melakukan itu semua, maka mereka membantunya. Hon kereta hampir langsung tidak kedengaran di sini.

Itulah sekadar komen ringkas saya. Insya ALlah kesempatan lain kita ulas kembali

2:03 PM  

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home