Zuhud atau Menolak Dunia?
Zuhud yang menjadi antara amalan Rasulullah s.a.w., para sahabat r.anhum ajmain, salafus soleh yang cuba diteladani oleh para Sufi sering dipandang serong oleh masyarakat. Mereka menggelar orang yang zuhud itu sebagai orang yang 'tolak dunia'. Ini ternyata silap kerana dalam ajaran Islam, tiada apa yang diistilahkan 'menolak dunia'. Orang Sufi adalah orang yang paling tegas cuba mengikuti keseluruhan ajaran Islam zahir dan batin. Cuma pandangan orang Sufi terhadap dunia berbeza dari pandangan orang awam.
Bagi orang Sufi (dan sewajarnya semua orang Islam), melihat kehidupan dunia hanyalah sementara belaka, hanya sekelip mata atau mimpi jua jika dibandingkan dengan kehidupan yang kekal abadi di Akhirat kelak. Dunia hanyalah tempat persinggahan untuk perjalanan yang lebih jauh. Sepertimana seorang bayi di dalam rahim ibunya perlu menyedari bahawa tempohnya di dalam rahim itu sekitar sembilan bulan sepuluh hari sahaja. Oleh itu bayi itu tidaklah perlu bersiap berlebih-lebihan untuk kehidupannya yang sementara itu. Matlamat perjalanannya seterusnya ialah lahir ke dunia ini dan menjalani kehidupan duniawi. Manakala setelah berada di dunia, ia juga perlu sedar bahawa dunia ini bukan matlamat akhirnya bahkan persinggahan semata, kerana masih jauh perjalanannya.
Lantaran itulah Baginda s.a.w. berpesan kepada Abdullah ibn Umar r.a. "jadikanlah kamu di dunia sepertimana orang asing atau orang yang menumpang lalu". Orang asing dan orang yang menumpang lalu biasanya tidak bertempat lama di suatu tempat melainkan berhenti seketika lalu berlalu pergi. Begitu jugalah kita di dunia ini.
Sheikh Nuh Keller pernah menyebut antara lain bahawa jika kita dalam perjalanan jauh menaiki seekor kuda, adakah wajar kuda itu dibebankan dengan segala muatan sarat dari segala perhiasan dan kemewahan. Bukankah sewajarnya kuda itu atau kenderaan tunggangan kita dipenuhi dengan hanya keperluan belaka seperti air dll. sahaja? Bukankah semakin sarat muatan, semakin perlahanlah kelajuan kenderaan tunggangan kita dan semakin lambatlah untuk kita sampai ke destinasi yang dituju.
Oleh itu adakah wajar jika orang asing atau 'orang yang menumpang lalu' itu begitu beriya-iya mengumpulkan segala kemewahan dan kekayaan untuk penghidupan di laluannya yang sementara itu. Apatah lagi, jika usaha itu mengabaikan matlamatnya ke destinasi seterusnya, Akhirat.
Andaikata seseorang yang dalam perjalanan dari Johor ke Kedah lalu berhenti di mana-mana persinggahan R&R di sepanjang lebuhraya Utara-Selatan, lalu ternampak olehnya air terjun menjunam indah berdekatan dengan R&R, dengan air sungai pula jernih mengalir. Lalu beliau bersusah payah membeli tanah di situ, membangunkan rumah, membeli segala jenis perabot mewah untuk rumahnya bersebelahan dengan R&R itu, maka orang itu sebenarnya sudah lupa akan 'matlamat asalnya' untuk ke Kedah. Bukankah niat asal persinggahannya di R&R itu hanyalah sekejap sahaja, untuk berhenti rehat cuma, meminum seteguk air menghilangkan hausnya teramat dan menghilangkan penat lelahnya memandu. Air terjun dan sungai itu sepatutnya tidak melekakannya dari matlamat asalnya.
Tapi itulah realiti kehidupan kita, kita leka dengan dunia dan perhiasannya. Kecantikannya dunia ini melekakan ramai manusia sehingga mereka lupa bahawa mereka bukan menetap di sini. Sepertimana para pelajar Malaysia ke UK ini perlu sedar bahawa setelah tiga atau empat tahun, mereka perlu pulang ke tanahair kerana UK ini bukan tempat kita walaupun ianya sebuah negara maju dengan segala kemudahan yang jauh mengatasi negara kita. Tarikan untuk terus kekal menetap di sini cukup kuat, tetapi seperti sering disebut orang Inggeris: 'we do not belong here'!
Begitu jugalah tarikan dunia yang melupakan ramai manusia akan penghidupan sebenarnya di Akhirat. Lantaran itulah para sahabat, salafus soleh, dan para awliya sering memohon Allah jauhkan mereka dari tertipu dengan dunia. Saidina Umar r.a. sering menyebut "Wahai dunia, tipulah orang lain, jangan tipu Umar". Moga-moga Allah selamatkan kita semua jua dari tipudaya dunia! Amin.
Untuk selamat dari tipuan dan godaan dunia, sesetengah para Sufi mengambil pendekatan yang cukup tegas yang dilihat orang ramai sebagai 'menolak dunia'. Sebenarnya, bukannya mereka menolak dunia cuma mereka melatih hati-hati mereka agar tiada terikat dan cintakan dunia. Dunia tidak melekat di hati-hati mereka, melainkan hati-hati mereka mencintai Allah sahaja: diisi dengan mengingati ALlah sepanjang masa dan ketika.
Imam al-Shafie r.a. diceritakan setelah lama berpisah dengan tuan gurunya Imam Malik r.a. terlintas di hatinya untuk menziarahi Imam Malik di Madinah. Lalu setibanya di Madinah, dilihatnya Imam Malik dalam keadaan serba kemewahan dan kekayaan, tidak seperti awalnya pada ketika beliau pertama kali menemui Imam Malik. Menangis Imam al-Shafie kerana menyangka gurunya itu sudah jatuh kecintaan kepada dunia dan tertipu dengan godaannya. Imam Malik yang mengerti perasaan anak muridnya itu terus menerangkan kepada anak muridnya agar jangan bimbang, kerana segala harta yang dilihat itu semuanya adalah hadiah dari anak-anak muridnya dan orang ramai yang sedikit pun tidak memberi bekas kepada hatinya.
Inilah yang dikatakan 'zuhud', iaitu 'kekosongan hati dari harta'. Walaupun dikelilingi dengan segala kemewahan, namun ianya tidak memberi bekas kepada hatinya. Orang miskin dan papa bukanlah bermakna mereka itu kesemuanya 'zuhud'. Hanyasanya di kalangan mereka itu belum berkesempatan diberi kemewahan. Jika mereka itu diberi dunia dan harta benda, mungkin mereka lebih rakus dan tamak melebihi orang lain lagi yang kaya raya. Yang menentukan 'zuhud' atau tidak bukannya pada harta benda yang dimiliki, tetapi hatinya. Benarlah apa yang dikatakan oleh Hujjat al-Islam, Imam al-Ghazali r.a.:
((ليس الزهد فقد المال وانما الزهد فراغ القلب عنه)
"Bukanlah zuhud itu tiada berharta, tetapi zuhud itu kekosongan hati dari harta
(dunia)" (Imam al-Ghazali)
Moga-moga Allah mengosongkan hati-hati kita semua dari kecintaan kepada harta dunia. Amin. Wallahu'alam

0 Comments:
Post a Comment
Links to this post:
Create a Link
<< Home