Saturday, January 12, 2008

Menceritakan maksiat itu maksiat

Selamat Menyambut Awal Muharram!. Bulan yang dipilih oleh Saidina Umar r.a. sebagai bulan pertama untuk kalendar Hijriyyah Islam. Kenapa tidak bulan-bulan lain?. Kerana, kata Sheikh Ridhwan, Umar r.a. melihat umat Islam berduyun pulang menunaikan haji di bulan Zulhijjah, dengan semangat dan azam baru bak bayi baru lahirkan ibunya begitu membara. Cantik jika bulan selepas Zulhijjah, iaitu Muharram dijadikan bulan pertama kalendar Hijrah agar himmah yang tinggi kerana ubudiyyah kepada ALlah ketika Haji itu dapat terus dimantap dan diperteguhkan lagi.

 

Kebetulan tahun ini, awal Muharram dan tahun baru Masehi tidak jauh bezanya. Ramai yang memanjangkan e-mail menceritakan kemungkaran berlaku sepanjang sambutan Tahun Baru 2008. Ada yang menceritakan dengan begitu terperinci sekali maksiat itu dan ini, adegan-adegan yang tidak sepatutnya disebut. Mungkin ada yang tidak sedar bahawa "menceritakan maksiat itu juga suatu maksiat".

 

Apa motif sahabat-sahabat yang bercerita tentang kemaksiatan pesta sambutan Tahun Baru 2008 itu?   Jika untuk berseronok bercerita cerita lucah, sudah tentu ianya berdosa. Untuk menunjukkan rakyat kita, umat Islam sudah jauh dari penghayatan Islam, ianya sudah lama diketahui dan bukan tahun ini sahaja. Untuk menunjukkan kepincangan kerajaan Islam-Hadhari membenarkan majlis-majlis maksiat, tulisan sebegitu rasanya tidak memberi apa-apa bekas. Dan umumnya juga rakyat tidak merasa begitu  terpanggil untuk bangkit melakukan perubahan politik hanya kerana itu. Lalu  apa untungnya bercerita tentang maksiat di sana sini? Sukar untuk aku mengira ianya demi pengajaran dan menimbulkan keinsafan.

 

Professor Malik Badri, pakar psikologi Islam ketika mengajar kami Psikologi menceritakan bagaimana suatu kajian di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa semakin meluas berita-berita maksiat, contohnya sumbang mahram ditulis, semakin banyak kes-kes seumpama itu dilapurkan berlaku dan semakin terus meningkat. Ianya bukan semakin berkurangan seperti diharapkan. Kenapa boleh jadi begitu?

 

Prof. Malik menjawab kerana mereka yang belum melakukan kerja keji itu terfikir: "jika orang lain boleh lakukannya, kenapa tidak aku. Ianya bukan suatu yang asing lagi. Ianya suatu yang sudah biasa, normal dan ramai orang melakukannya". Perasaan 'bersalah' sudah semakin hilang, dan nilai 'kekejian' sesuatu perbuatan itu juga semakin terhapus apabila banyak berita-berita mengenainya ditulis. Ya, kalau semua orang atau ramai orang melakukannya apa lagi yang menjadikannya salah? Ledakan dari pengaruh kumpulan humanis yang melihat masyarakat yang menentukan nilai baik buruknya sesuatu. Lihatlah apa yang sudah terjadi dengan dunia Barat hari ini yang hilang nilai luhurnya. Jika dulu sekitar tiga puluh tahun lalu seorang pelajar perempuan yang berkesedudukan dibuang dari Universiti kerana mencemarkan nama agama Kristian dan budaya masyarakatnya. Hari ini, ianya sudah menjadi norma kehidupan mereka, tiada salah lagi.

 

Mendedahkan berita-berita mungkar dan maksiat jauh sama sekali mampu memberi keinsafan atau pengajaran kepada orang lain yang belum terjerumus sama, bahkan sebaliknya menggalakkan mereka ikut sama kerana merasakan ianya bukan lagi suatu yang jijik kerana ramai orang melakukannya.

 

Hati-hati saudaraku, para wartawan, media agar tidak mendedahkan kes-kes maksiat, mensensasikan cerita-cerita mungkar untuk melariskan jualan majalah-majalah kerana walaupun kita tidak terlibat dalam melakukan maksiat itu namun "menceritakan kemaksiatan itu juga suatu maksiat".

0 Comments:

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home