Saturday, January 19, 2008

Daging korban dan orang bukan Islam

Baru-baru ini ada satu Fatwa diforwardkan ke e-group kami berhubung dengan 'diharuskan memberi orang bukan Islam makan daging korban/aqiqah'. Rasanya jarang kita dengar fatwa sebegini. Sejak kecil lagi kita diajar bahawa daging korban/aqiqah tidak boleh diberi makan orang bukan Islam. Ternyata apabila aku teliti fatwa itu tidak menyebut mana-mana kitab-kitab ulama mazhab, sebaliknya memetik ayat Surat Mumtahanah 8-9. Ayat tersebut bukan pun bersabit dengan memberi makan daging korban/aqiqah cuma menyarankan berbuat baik kepada orang bukan Islam yang tidak memerangi orang Islam. Tiada siapa pun yang melarang berbuat baik kepada orang bukan Islam, bahkan ianya dituntut. Banyak kisah-kisah teladan yang menunjukkan bagaimana Baginda s.a.w. melayani orang kafir dengan baik, kisah dengan perempuan Yahudi dan lain-lain. Berbuat baiklah semahu mungkin, namun persoalannya bolehkah memberi makan daging korban/aqiqah kepada orang bukan Islam?


Kalau ditanyakan dalil adakah ayat al-Qur'an atau al-Hadith yang melarangnya? Wallahu'alam, mungkin ada mungkin tiada. Namun hukum, bukan semestinya didatangkan langsung dari al-Qur'an dan al-Hadith yang secara terang-terangan menyentuh sesuatu permasalahan itu secara khusus. Ada ketikanya hukum diterbitkan berdasarkan kaedah-kaedah tertentu, seperti Qiyas misalnya yang juga ada sandaran al-Qur'an dan al-Hadith. Bagi kita orang awam, mengambil hukum untuk beramal bukan dengan cara meneliti ayat-ayat al-Qur'an dan al-Hadith lalu menerbitkan hukum sendiri. Tetapi sebaliknya melihat apa yang telah siap dirumuskan oleh para ulama berhubung dengan sesuatu masalah. Rumusan para ulama itu sudah semestinya mengambil kira kesemua ayat-ayat al-Qur'an dan Hadith, kaedah-kaedah Usul al-Fiqh dan lain-lain untuk sampai kepada hukum berkenaan. Ianya tidak ubah seperti seorang ahli farmasi memberi kita ubat yang sudah siap diproses. Ianya sudah tentu lebih selamat dari kita sendiri yang menyediakan ubat berkenaan!. Di situlah peri pentingnya mengikut ulama muktabar kerana itulah lebih selamat.


Berbalik kepada fatwa di atas, puas aku teliti beberapa kitab para ulama Mazhab Shafie yang aku miliki, dan kebetulan dapat juga melayari melalui Online, namun tidak aku temui fatwa yang membenarkan memberi makan orang bukan Islam daging korban/aqiqah.


Imam al-Nawawi rahimahullah (w. 676/1277), contohnya menukilkan dalam Minhaj al-Talibin, Kitab al-Udhiyya menyebut bahawa orang kafir tidak boleh memakan daging korban (..لَا يَجُوزُ لِكَافِرٍ الْأَكْلُ مِنْهَا مُطْلَقًا). Imam Ibn Hajar al-Haytami rahimahullah (w. 974/1567) yang mensyarahkan kitab berkenaan melalui kitabnya Tuhfat al-muhtaj turut mengesahkan hal yang sama:

أَيْ مِنْ عَدَمِ جَوَازِ أَكْلِ الْكَافِرِ مِنْهَا مُطْلَقًا


Pendapat yang sama boleh ditemui dalam kitab-kitab fekah Mazhab al-Shafie yang lain iaitu "tidak dibolehkan memberi makan daging korban/aqiqah kepada orang bukan Islam secara mutlak". Ulama Shafi'iyah mengiyaskan ibadah korban/aqiqah sepertimana amalan zakat di mana hanya orang Islam yang berhak menerima zakat. Kedua, matlamat pemberian daging korban/aqiqah itu ialah "irfāq al-muslimīn" iaitu mengeratkan kasih sayang sesama Islam. Inilah pandangan dalam Mazhab al-Shafie. Adapun dalam mazhab lain, mungkin berbeda. Cuma aku diberitahu, hatta dalam mazhab lain sekalipun walaupun mungkin tidak menghukumkan "Haram" tetapi menghukumkan "Makruh Tahriman", iaitu makruh mendekati Haram memberi orang bukan Islam daging korban/aqiqah. Belum aku temui pandangan Mazhab yang menghukumkan Harus (kalau ada tolong maklumkan), melainkan pendapat dari Mufti Perlis di atas yang senada dengan ulama Saudi. Kita semua maklumi bahawa ulama Saudi rata-rata tidak bermazhab walaupun Raja mereka pernah suatu ketika mendakwa mereka mengikut Mazhab Hanbali. Hakikatnya, ulama Saudi mengikut pandangan mereka sendiri kerana merasakan mereka juga layak berijtihad, lalu di tanahair kita pun hari ini ramai juga yang ingin menjadi mujtahid, mujtahid separuh masak!


Ada juga seorang sahabat yang meng"forward"kan amalan London Mosque yang turut memberi daging korban kepada dua pertubuhan Kristian, Men's Mission dan Salvation Army. Bagi beliau mungkin ini petanda bahawa 'para fuqaha sudah mengkaji semula hukum fekah setelah mengambil kira fenomena Islamophobia'. Pertama, setahu aku tiada alasan untuk para fuqaha mengkaji hukum fekah ini hanya kerana Islamophobia. Semata-mata untuk berbuat baik kepada orang bukan Islam tidak semestinya memberikan daging korban/aqiqah. Kedua, masjid-masjid di UK ini rata-rata kalau bukan didominasikan oleh Pakistan bermazhab Hanafi, ianya dimiliki atau dibiayai oleh orang Saudi, yang tiada bermazhab atau sering disebut puak Wahhabi. London Mosque seperti juga Edinburgh Mosque turut dibiayai oleh Kerajaan Saudi dan seperti kebiasaannya apabila sesuatu projek itu dibiayai oleh Saudi, maka cengkaman dan perluasan fikrah Wahhabi itu cuba disebarluaskan. Itu mungkin dari segi belakang tabirnya kenapa amalan London Mosque senada dengan fatwa ulama Saudi di atas.Wallahu'alam


Aku sempat juga bertanya guruku, Sheikh Abdel Aziz Fredericks apakah wajar London Mosque memberikan daging korban kepada pertubuhan Kristian?. Jawab beliau ringkas, di Kota London itu ribuan orang Islam yang miskin dan kelaparan, kenapa mereka ini tidak diberikan daging korban tersebut?


Bagi kita, tentu lah ada sandaran dan hujjah apabila para ulama silam yang muktabar seperti Imam al-Nawawi, Ibn Hajar, al-Bujayrimi dan ulama lain menghukumkannya tidak boleh. Ianya bukan sahaja khusus kepada ulama Shafi'iyah semata-mata, tetapi juga ulama Mazhab lain yang memandangnya tidak elok dan mendekati Haram. Adakah tiba-tiba ada seorang dua 'ulama' moden hari ini yang menghukumkan Harus, maka kita mahu berubah dan meninggalkan pandangan sekalian ulama-ulama silam yang bukan sahaja keilmuan mereka tiada tolok bandingnya jika dibandingkan dengan ulama moden itu, bahkan mereka ini turut membentuk pandangan sebuah Mazhab yang ulamanya sebegitu ramai, dan bukannya semata pendapat seorang dua individu?


Ada pula yang mengatakan dalam masalah 'ijtihadiyya', ulama hari juga berhak melakukan ijtihad. Benar, aku bersetuju tetapi dalam hal-hal baru yang tidak pernah dibincangkan oleh ulama silam (seperti Bayi Tabung Uji, produk-produk Bank Islam dan lain-lain). Selama ulama silam sudah ada membincangkan dan menghukumkannya maka selama itulah lebih selamat kita mengikut pandangan mereka, kecualilah 'illah dan sabab yang menjadi sandaran mereka menerbit hukum dulu itu sudah berubah hari ini. wallahu alam.

0 Comments:

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home