Monday, December 31, 2007

Risalah Untuk Kaum Muslimin

Sejak beberapa hari ini ku sering terjebak dalam perbualan yang tidak begitu berfaedah. Berbicara tentang urusan duniawi lebih dari ukhrawi, yang agak sekian lama cuba kuelakkan. Ku tidak lagi melihat perbualan politik sebagai sesi bermanfaat, tidak seperti ketika zaman pelajar dulu. Berbicara politik semasa memang menyeronokkan, tetapi sering melupakanku tentang kelemahan diri sendiri. Lalu terjerumus dalam lembah mencaci dan mencela orang lain. Melihat diri  kononnya terlebih baik. Moga-moga Allah ampuni kelalaianku.

 

Alhamdulillah, sempena cuti Krismas ini sempat juga kumenelaah buku pemberian guru yang dikasihi, Professor Syed Muhammad Naquib al-Attas. Buku yang dihadiahkan sejak 5 November 2001 itu sudah sekian lama tersadai, hanya baru semalam berkesempatan dikhatamkan. Prof. Naquib menyebut dalam karyanya, Risalah Untuk Kaum Muslimin bahawa masalah yang melanda Umat Islam hari ini sebenarnya berpunca dari tiga perkara utama yang melingkari Umat:

·        kekeliruan ilmu

·        keruntuhan adab

·        pemimpin palsu

 

Salah faham terhadap ilmu membawa kepada keruntuhan adab. Lanjutan dari itu, masyarakat yang tidak beradab melantik orang yang tidak layak menjadi pemimpin. Maka pemimpin-pemimpin palsu ini meneruskan kekeliruan ilmu dan keruntuhan adab dan seterusnya perlantikan mereka sepertinya -- yang tidak berkelayakan -- diteruskan lagi tiada terputus-putus laksana lingkaran ganas yang rumit mencengkam Umat.

 

Selagi Umat tidak diberikan kefahaman yang jelas tentang konsep ilmu dan nilai ilmu, selama itulah pemimpin palsu akan terus terlantik. Ternyata sehingga ke hari ini pun rakyat masih keliru: antara ilmu Fardhu Ain dan ilmu Fardhu Kifayah,  yang mana satu yang perlu diutamakan terlebih dahulu. Lalu semua ilmu itu dianggap mereka sama belaka dan semua ilmuwan itu pun setaraf belaka. Martabat ilmu tidak difahami dan martabat manusia pun lagi mereka jahili sehingga mana yang terlebih mulia antara Rasul and Nabi dan Sahabat dan Wali dan Ulama pun tidak dimengertikan mereka.  Itulah tanda-tanda Umat yang tiada beradab, dan  inilah juga bermakna Umat  tidak beramal dengan perintah Allah Ta'ala: "Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu memulangkan amanah kepada ahlinya" (Al-Nisa': 58).

 

Hilangnya adab terhadap para ilmuwan begitu ketara hari ini lebih-lebih lagi terhadap alim-ulamak. Ilmu agama seolah-olah menjadi 'komoditi bersama' yang boleh dibicarakan oleh semua orang dari yang tiada berkelulusan agama kepada para pejalan kaki di lorong-lorong. Hormat kepada 'autoriti' khususnya ulamak sudah lupus pada hari ini. Ironisnya, tiada pula manusia yang berani menyerahkan dadanya untuk dibelah oleh si tukang kayu atau si jurutera elektronik, kerana menyedari bahawa mereka itu bukan ahli dan pakar di bidang pembedahan jantung, dikhuatiri nyawanya akan melayang. Tetapi hari ini, semua yang bukan ahli yang angkuh itu mahu bercakap berhubung ilmu agama yang dijahilinya. Bencana bagi mereka yang menyerahkan dadanya untuk dibelah oleh orang yang bukan ahlinya, paling teruk sekalipun sekadar meninggalkan dunia yang fana' ini sahaja. Hilanglah nikmat dunia beberapa tahun. Tetapi mereka yang menyerahkan urusan agamanya kepada yang bukan ahlinya, akan sengsara di Hari Akhirat kelak buat selama-lamanya.

 

Bagi Prof. Naquib, politik itu bukan punca permasalahan umat hari ini. Yang perlu diperbetulkan dan ditekankan ialah faham ilmu itu agar Umat memahami konsep ilmu yang sebenar lalu akan terbentuklah adab dan terlantiklah pemimpin dari kalangan ahlinya dan berwibawa. Sebaliknya, selama Umat jahil dan keliru, maka selama itulah pemimpin palsu akan terlantik, biarpun parti yang memerintah mungkin sering berubah-ubah.

0 Comments:

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home