Pendidikan Anak-Anak
Nampaknya kami sekeluarga tidak berpeluang melawat Sheikh Afifi di Oxford sempena cuti panjang Krismas ini, seperti yang dijadualkan awalnya. Tapi tak mengapa sekurangnya perbualan telefon semalam sudah cukup bermakna. Alhamdulillah, dapat juga bercakap agak panjang dengan al-Fadhil Sheikh Afifi al-Akiti, anak Melayu yang cukup alim, mulia akhlak dan budi pekertinya. Tulisan-tulisan beliau tersiar di merata-rata seperti di laman web Living Islam. Yang paling tersohor ialah fatwa beliau terhadap golongan pengebom berani mati melalui risalahnya Defending the Transgressed (Mudafi' al-mazlum...).
Sheikh Abdel Aziz Fredericks dari Glasgow sering menggambarkan Sheikh Afifi seumpama 'lautan ilmu', walaupun usia yang masih muda. Beliau bukan sahaja hebat ilmunya, tetapi cukup tawadhuk dan lemah lembut, cerminan dari diri yang memiliki tahap adab dan kerohanian yang tinggi dan mantap. Bahkan, Sheikh Aziz pernah mengatakan padaku suatu hari bahawa Sheikh Afifi bukan sekadar keilmuannya tinggi, tetapi 'hal' kerohaniannya juga cukup mengkagumkan, Masha Allah!. Mendengar bagaimana beliau mendisiplin dan mendidik anaknya, Rafi'e, tidak hairan jika terhadap diri beliau sendiri, sudah tentu tahap disiplin yang lebih tegas beliau terapkan sehingga mampu mencapai tahap keilmuan dan kerohanian seperti itu, dengan rahmat dan izin Allah jua. Thesis Ph.D beliau sahaja khabarnya setebal 3 jilid, Subhanallah!
Banyak ku pelajari dari Sheikh Afifi semalam berhubung dengan pendidikan anak-anak yang tidak begitu kutekankan sangat selama lebih tiga tahun di bumi UK ini. Kononnya atas alasan sibuk belajar. Jauh sekali berbeza dengan Sheikh Afifi yang sejak tiga tahun lalu menghabiskan sejam setengah sekurangnya setiap pagi bersama anaknya. Banyak yang sudah beliau ajar, dan kitab-kitab yang sudah dikhatamkan. Dari pelajaran mengaji al-Qur'an, Tajwid, Aqidah, Nahu dan lain-lain. Dalam usia semuda 10 tahun itu, pasti keilmuan anaknya Rafi'e jauh mengatasi keilmuan anak-anak kita yang sebaya dengannya. Moga-moga Allah turut menganugerahkan anak-anak kita kecintaan pada ilmu agama dan mentaati Allah seawal usia mereka seperti Rafi'e dan anak-anak soleh yang lain.
Kata beliau lagi kesilapan kita para ibubapa Melayu, hanya mula mendedahkan anak-anak dengan suasana agama apabila sudah umur belasan tahun. Anak-anak yang tidak terbiasa dengan suasana sebegitu sudah tentu tiada kecintaan mereka kepada ilmu agama. Tidak hairanlah jika anak-anak yang dihantar ke pondok-pondok atau pesantren, Timur Tengah akhirnya pulang semula ke rumah/tanahair kerana tidak berminat meneruskan pengajian, kata Sheikh Afifi. Memupuk minat anak-anak terhadap ilmu agama, majlis-majlis agama, kecintaan kepada ulama perlu sejak kecil lagi. Apabila anak-anak sudah terbiasa dan "dikondisikan" (English: conditioned - sayang tiada istilah Melayu lebih sesuai, "diprogramkan?") dengan suasana sebegitu sejak kecil lagi, dengan sendirinya akan timbul minat mereka terhadap agama itu sendiri, Insya Allah. Inilah keberkatan yang Allah campakkan apabila kita para ibubapa mendidik anak-anak mengikut tatacara pendidikan Islam. Usah kita persalahkan anak-anak jika membesar menjadi liar dan tidak beradab jika ibubapa sejak kecil tidak memberi asuhan Islam secukupnya.
Adab kata Sheikh Afifi tidak boleh dipaksa-paksa tetapi hasil dari didikan kebiasaan sejak dari kecil lagi. Bagaimana mahu membentuk adab pada anak belasan tahun jika sejak kecil lagi mereka tidak diasuh dengan adab yang baik. Ya, mereka perlu 'dikondisikan' supaya mereka terbiasa beradab. Lalu beradab bukan lagi dibuat-buat, tetapi lahir dari sikap dan peribadi mereka sendiri sebagai manusia beradab. Ini mengingatkanku ungkapan guruku, Professor Wan Mohd.Nor Wan Daud sekitar bunyinya, "hanya manusia beradab melahirkan peradaban (civilization), tetapi manusia biadab hanya akan melahirkan perbiadaban". Itulah hakikatnya yang kita lahirkan dalam masyarakat kita hari ini, manusia biadap yang membentuk perbiadaban!.
Sheikh Nuh pula pernah menyebut, "your children will grow with you or without you". Sedar-sedar mereka sudah belasan tahun usianya. Maknanya, anak-anak akan tetap membesar (jika dipanjangkan usia oleh Allah), samada kita mendidiknya atau membiarkan dia membesar sendiri tanpa asuhan. Jika beliau membesar tanpa didikan kita, maka suasanalah yang mengasuhnya dan membentuk peribadinya. Suasana persekitaran termasuklah kawan kawan yang tidak baik, TV dll. yang akan akhirnya mencorakkan peribadinya yang tidak baik. Oleh itu kita perlu kurangkan membiar persekitaran 'mencorak' dan membentuk anak-anak kita, tetapi sebaliknya kita perlu 'campur tangan' dalam mencorakkan mereka selama masa yang mungkin.
Alhamdulillah, mungkin sudah hampir setahun rasanya ku telah mengambil langkah drastik membuang TV yang begitu banyak mempengaruhi perangai anak-anak. Jelas sekali berbeza sikap mereka kini, tidak lagi meniru aksi-aksi di dalam TV yang jelas tidak selari dengan Islam dan Budaya Melayu. Sheikh Nuh berkali-kali menyebut tentang bahaya TV dan mencadangkan buku Jerry Mander. Sayangnya, ku masih belum berkesempatan membacanya. Walau apa pun, yang penting hidup kami sekeluarga lebih bahagia tanpa TV, Alhamdulillah.
Esok pagi, Insya Allah kami akan mulakan sesi mengaji kitab kuning selain al-Qur'an, cuba menjejaki contoh teladan Sheikh Afifi. Mungkin kumulakan dengan kitab Siyarus Salikin karya Sheikh Samad Palembang yang menjadi tatapanku sejak hampir empat tahun ini. Kita mulakan dengan al-bab al-awwal fil i'tiqad!, Insya Allah. Para pelajarnya: anak-anakku, Ammar, Afaf, Ali,dan Asma' serta isteriku Haiffa'. Manakala gurunya pula, si faqir ini yang tidak seberapa. Moga-moga Allah ampunkanku atas kealpaanku.
((Wahai orang-orang beriman, peliharalah dirimu dan kaum keluargamu dari api neraka)) [Surah al-Tahrim 66:6]
~East Clapperfied
Edinburgh

2 Comments:
Semuga sentiasa diberkati dan dirahmati ALLAH. Terima kasih kerana menjadi hos kami semasa di ednbrgh baru2 ini. Saya juga bersyukur dapat berkenalan dengan ustaz semuga ia berkekalan kerana ALLAH.
Sama-sama. Terima kasih juga kerana menjadi hos kami ketika ke Newcastle tempohari. Persahabatan yang dijalinkan kerana Allah, Insya ALlah, akan mendapat lindungan ArasyNya kelak di ketika tiada lindungan melainkan lindunganNya sahaja...
Post a Comment
Links to this post:
Create a Link
<< Home