Tuesday, December 25, 2007

Mendidik atau Mengajar?

Beberapa hari lepas kami dikunjungi sahabat dari Newcastle. Dalam perbualan itu Puan L menyebut bahawa matapelajaran Tasawwuf tidak lagi dimasukkan dalam kurikulum pengajian di sekolah-sekolah Malaysia. Alasannya kerana ianya mengelirukan. Astaghfirullah!.

 

Aku tidak pasti sejauh mana benarnya berita yang didengar itu, namun jika betul maka pasti ini suatu kesilapan yang besar dalam dasar pendidikan kita. Dasar pendidikan negara kerapkali dikritik dan ditegur, namun ianya tetap di takuk lama tanpa perubahan. Kalau pun berubah, ianya berlaku apabila setiap kali Menteri baru dilantik. Yang berubah pun bukannya perubahan ke arah kebaikan demi memantapkan pendidikan negara tetapi ke arah sebaliknya.  Kadangkala perubahan dilakukan demi untuk menunjukkan bahawa telah berlakunya perubahan kepimpinan di peringkat atasan, lalu peninggalan kepimpinan dahulu dihapuskan. Sikap sebegini tidak berlaku di Barat. Apa-apa dasar dan perubahan yang dilakukan oleh kepimpinan terdahulu terus dikekalkan jika ianya ternyata membawa kebaikan. Mereka tegas berpegang kepada falsafah 'change for the better' – berubah untuk yang lebih baik. Bukan seperti kita, yang ingin melakukan perubahan demi untuk berubah, 'change for the sake of change'.

 

Professor Syed Naquib al-Attas sudah banyak kali mengkritik cara pendidikan negara diuruskan, namun ianya tidak begitu diendahkan melainkan sekali dua. Yang nyata perubahan dari 'Kementerian Pelajaran' kepada 'Kementerian Pendidikan' suatu ketika dahulu adalah antara beberapa perkara yang Prof. Naquib tekankan. Beliau sebagai pakar bahasa dan juga pendidikan sentiasa mengambilberat penggunaan istilah dan perkataan agar tepat dan kena pada tempatnya. Barulah dinamakan 'keadilan' kerana keadilan itu ditakrifkan 'meletakkan sesuatu kena pada tempatnya'. Dalam bahasa juga perlu berlaku adil, bukan sesama manusia sahaja. Keadilan perlu diterapkan dalam serba hal.

 

Dalam salah satu sesi kuliah beliau, beliau menyebut bahawa anak-anak 'dididik' bukan 'diajar'. Kerana dalam proses pendidikan itu, kesemua aspek pembelajaran itu ditekankan. Dari segi intellektual, fizikal dan juga rohaninya. Mendidik anak itu termasuklah mengadabkan akhlak dan peribadinya. Manakala, istilah 'ajar' itu hanya sesuai untuk proses penerapan kemahiran (skills) sahaja, dan tidak lebih dari itu. Kata Prof Naquib, kita 'ajar' monyet memanjat pohon kelapa, bukan kita 'didik'nya. Belum pernah kita mendengar orang mengatakan mereka 'mendidik' monyet!  Yang didik adalah insan dan bukan haiwan.

 

Di sini jelas bahawa menunjukkan perbezaan antara 'didik' dan 'ajar'. Sayangnya, kerana alasan-alasan yang tidak diketahui hari ini kita kembali menggunakan istilah 'Pelajaran' untuk proses yang sepatutnya kita panggil 'Pendidikan'. Jika dari segi penggunaan istilah ini pun kita sudah tersasar, bagaimana mungkin kita mampu mendidik dan membangunkan akhlak dan peribadi anak-anak di sekolah-sekolah kita. Mungkin kerana penekanan kepada penerapan kemahiran lebih dari 'pendidikan' maka hari ini anak-anak kita kosong akhlak dan peribadi mulia.

 

Moga-moga Allah membantu kita semua dalam mendidik anak-anak kita. Wallahu alam.

0 Comments:

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home