Monday, December 24, 2007

Kejarlah Akhirat, Perbanyakkan Amal Soleh

Wahai hamba! Ingat! Kamu dijadikan bukan untuk dunia ini; kamu dijadikan untuk Akhirat.
 
Wahai mereka yang mengabaikan sesuatu yang tidak dapat mereka  mengelaknya. Kamu telah menumpukan sepenuh tenagamu bagi memenuhi segala kemahuan dan kenikmatan, mengumpulkan harta benda dunia. Kamu telah tenggelam dalam permainan dan keseronokan [dunia].

 

Apabila Kematian, penasihat yang paling bijaksana, mengingatkanmu tentang Akhirat, tiba-tiba terbangkit kemarahanmu dan semakin tidak tertarik engkau dengan Akhirat. Walhal, uban-uban putih di kepalamu itu menjadi amaran  awal akan kematianmu, namun kamu mencabutnya satu persatu dan menghitamkannya kembali [bagi menafikan kematianmu yang kian hampir]. Apa yang akan kamu lakukan apabila kematianmu datang, bagaimana bisa kamu melawannya? Apabila rezekimu berakhir dan masamu tiba ke penghujungnya, apa alasan yang mampu kamu berikan?

 

Aku seru kamu sekalian agar membuang ketamakan duniamu itu. Dunia ini tempat bagimu melakukan kebajikan, jika kamu bekerja di sini kamu akan diganjari di Akhirat. Jika tidak, apa ganjaran tersedia buatmu? Ini tempat untuk bekerja; bekerja keras, inilah tempat untuk menghadapi segala kesulitan. Manakala Akhirat pula tempat untuk rehat dan keselesaan.

 

Orang mukmin bekerja keras [untuk Akhirat ketika hidupnya] dan mereka selayaknya mendapat rehat [di Syurga].  Adapun bagimu, kamu berlumba mengejar kemewahan dan menangguhkan taubatmu. Lalu kamu menghabiskan masa berhari-hari, berbulan-bulan dan bertahun-tahun sehingga... masamu tamat. Sedikit masa lagi kamu akan pasti menyesal sehabis-habisnya bahawa kamu tidak mengambil manfaat dari nasihat berguna yang diberikan, dan kamu telah tidak mengendahkan amaran-amaran yang disampaikan.

 

Malulah kamu semua! Bumbung utamamu sudah mula robek, kamu masih tertipu. Dinding-dinding rumahmu sudah mula runtuh, namun kamu masih sibuk dengan urusan-urusan lain.

 

Carilah Akhirat dan berlumbalah untuk mendapatkannya. Dan apakah langkah-langkahnya?

 

Langkah-langkahnya ialah Melakukan Amal Soleh.  Hantarkan hartamu ke Akhirat [dengan menjadi pemurah dan bersedekah] semoga kamu menemuinya apabila kamu tiba di sana  kelak.  Wahai kamu yang tertipu! Kamu bergelumang dalam suatu yang tiada berguna – kamu mengabaikan Sang Puteri untuk mencintai seorang hamba perempuan.

 

[diterjemahkan dari Khutbah 36 kitab Fath al-Rabbani oleh Sheikh Abd al-Qadir al-Jilani]

0 Comments:

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home