Sunday, December 30, 2007

Hati-hati Guna Kemudahan Kerajaan!

Beberapa hari lalu ku diberitahu akan kedatangan rombongan 'top management' sebuah organisasi ke kota London sekitar tahun depan kerana urusan 'induksi' untuk kakitangannya yang sedang 'cuti belajar' di UK. Hampir sepuluh orang pegawai besarnya akan tiba di bumi UK ini. Perlukah lawatan sebegitu, persoalannya? Tiadakah jalan lain yang lebih menjimatkan wang kerajaan dan rakyat? Perlukah kesemua orang penting VIP seramai itu hadir? Bukankah memadai jika hanya seorang dua sahaja yang hadir?

Di hujung tahun begini, banyak lawatan-lawatan VIP dan pak menteri ke luar negara. Di Edinburgh ini pun sudah ada beberapa kali lawatan yang kononnya 'lawatan rasmi' sempena itu dan ini.
Untuk 'menjadi rasmi' (to officialise) sesuatu lawatan ke luar negara, maka para penjawat jawatan awam kerajaan dan VIP, pak menteri dan ahli politik perlu mencari kewajaran dan justifikasi kenapa lawatan berkenaan dikira 'Lawatan Rasmi' dan perlu ditanggung 100% dari dana kerajaan dan wang rakyat. Justifikasi paling mudah ialah 'pertemuan dengan pelajar' dan mendengar permasalahan mereka. Di atas kertas bolehlah ditulis sedemikian, tetapi realitinya adakah benar begitu?


Kebanyakan lawatan 'pertemuan dengan pelajar' itu sebenarnya hanya menutupi niat kunjungan sebenar dan kenapa lawatan itu perlu diatur. Yang datang ke Edinburgh untuk melancung membawa anak isteri sempena cuti sekolah pun ramai, lalu mendakwa lawatannya itu untuk bertemu pelajar; yang hendak ke St. Andrews bermain golf pun begitu juga; atau yang ingin menghadiri Hogmanay di Princess Street atau Fringe Festival pun memberi alasan yang sama juga.


Mungkin ada yang mengatakan tidak salah jika 'sambil' bertemu pelajar itu kita membawa keluarga melancung bersama. Sememangnya tidak salah jika kedatangan kita itu matlamat asalnya dan utamanya untuk bertemu pelajar dan mendengar masalah mereka. Jika kita benar-benar datang 'bekerja', dan meluangkan hanya sedikit saja masa bekerja itu untuk melancung. Tetapi adakah benar begitu, atau sebaliknya?


Adakah pertemuan dengan pelajar itu amat perlu diadakan? atau sebenarnya pertemuan itu terpaksa 'diadakan' demi untuk mewajarkan kehadiran kita ke sana atas dasar 'Lawatan Rasmi' dan menampakkan kita 'bekerja'?


Hakikat bahawa 'pertemuan dengan pelajar' itu bukan matlamat utama setiap kali berkunjung bertemu pelajar terlalu nyata sekali. Tanyalah mana-mana persatuan pelajar di mana-mana sahaja, adakah mereka ini benar-benar serius mendengar permasalahan pelajar dan menyelesaikannya. Bertemu pelajar hanya beberapa minit, tetapi ada yang tinggal berhari-hari.


Cukup sekadar menyebut tiga masalah pelajar di UK dan yang bakal ke UK yang sehingga ke hari ini mereka tidak mampu menjawab dan tidak jelas apa yang sedang diusahakan:


· Lesen Memandu: Berapa ramai pelajar Malaysia di UK yang menghadapi masalah dengan pihak berkuasa kerana lesen memandu Malaysia tidak diiktiraf di UK. Ada yang disaman, kereta ditarik dll. Apa usaha pihak berkuasa ini yang begitu rajin 'bertemu pelajar'? Sedangkan Singapura yang rakyatnya tidaklah seramai rakyat Malaysia di bumi UK ini mampu mendapatkan pengiktirafan untuk lesen memandu mereka. Hatta negara semundur Zimbabwe mampu memperolehi pengiktirafan, tetapi tidak Malaysia? Kenapa? [DVLA]


· Proof of Accommodation: Para pelajar di tanahair yang baru mendapat tempat di universiti di UK dan ingin mendapatkan visa, mereka ini perlu terlebih dahulu menunjukkan 'proof of accommodation' di UK barulah visa diberikan. Sudah berapa ramai yang gagal mendapatkan visa dan wang bayaran mereka hangus begitu sahaja dan perlu membuat permohonan baru kerana kegagalan menunjukkan bukti yang memuaskan hati pihak British High Comm di Malaysia. Berapa ramai juga sahabat-sahabat di UK ini sedang berhempas-pulas cuba mengusahakan 'proof of accomodation' kepada rakan-rakan yang bakal ke sini. Peraturan 'proof of accomodation' cukup mengarut namun pihak berkuasa kita nampaknya seolah tidak berbuat apa-apa berunding dengan pihak British High Commission di Kuala Lumpur agar peraturan itu dilonggarkan. Tidakkah Kerajaan Britain sedar bahawa tidak pernah seorang pun pelajar Malaysia merempat di tepi jalan kerana tidak memiliki tempat penginapan selama sejak puluhan tahun kita menghantar pelajar ke sini?. Kita menghantar ribuan pelajar ke UK setiap tahun dengan bayaran yuran 3-4 kali ganda lebih dari pelajar tempatan, apakah kewajaran prosedur menyusahkan ini dikenakan kepada kita? Malangnya kita tidak pernah pun mendengar bantahan atau usaha pihak berkuasa berunding agar prosedur berkenaan dilonggarkan;


· National Health Services (NHS): Hari ini pelajar Malaysia di UK rata-rata tidak lagi mendapat pelepasan untuk ubat-ubatan dan lain-lain perkhidmatan NHS. Mereka tidak lagi mendapat Full Exemption (HC1) tetapi HC2. Isu perubatan para pelajar mungkin akan menjadi masalah besar sedikit masa lagi, jika tidak ditangani lebih awal.


Itu hanya beberapa isu tertunggak yang sudah sekian lama pihak berkuasa perlu tangani jika benar-benar ingin mendengar dan menyelesaikan permasalah pelajar. Banyak lagi isu-isu lain, termasuklah ibubapa dan saudara-mara yang dihantar pulang serta-merta setibanya di Airport Heathrow tanpa sebarang sebab munasabah walaupun mereka mempunyai surat 'invitation' dari pelajar di sini. Bukankah kita sepatutnya dengan mudah boleh mendapat visa melawat di Airport untuk tempoh enam bulan? Kenapa sehina itu rakyat kita diperlakukan? Adakah jika warga Britain ke Malaysia mereka dilayan sedemikian rupa? Apa yang pihak berkuasa lakukan dalam menyelesaikan kesulitan yang dihadapi ini? Masalah-masalah ini hanya boleh diselesaikan di peringkat pihak berkuasa kedua-dua negara, sedangkan para pelajar, rakyat Malaysia hanya terpaksa akur dan mengeluh setiap kali berhadapan dengan situasi sebegini.


Lawatan 'pertemuan dengan pelajar' hanya perlu jika masalah-masalah yang sekian lama membelenggu para pelajar itu diselesaikan terlebih dahulu dan apabila timbulnya masalah baru. Jika tidak, tidak guna mengadakan pertemuan baru jika masalah lama pun tidak diusaha untuk diselesaikan.


Hati-hati menggunakan wang dan kemudahan kerajaan kelak kamu akan dipersoalkan tentang amanah tanggungjawab yang dibebankan bersama keistimewaan itu! Di atas kertas boleh sahaja ditulis 'justifikasinya' dan kewajarannya, namun di Mahkamah Rabbul Jalil kelak terlepaskah kita? Akauntan dunia hanya mampu melihat apa yang tercatat tetapi Allah s.w.t. mampu melihat apa tersirat. Yang tercatat boleh sahaja 'dihalalkan' dan dicari justifikasinya walaupun salah, lantaran itulah ada pepatah menyebut 'legally right but morally wrong'. Tetapi dalam Islam ianya bukan sahaja 'legally right and morally right' tetapi juga Islamically right and justified! Kalau tidak, tidaklah Khalifah Umar ibn Abdul Aziz memadamkan 'pelita negara' dan menyalakan 'pelita peribadinya' ketika berbicara dengan isterinya tentang urusan rumahtangganya.


Ingat! setiap sen wang rakyat yang dibelanjakan bukan atas dasar hak, demi menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan hanya akan menjadi beban sesalan di Padang Mahsyar kelak dan bakaran Api Neraka, naudhu billah min dhalik. Tepuk dada tanya iman, sekadar peringatan bersama...

wallahu alam.

0 Comments:

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home