Melayu Jaguh Arak
Sedih apabila membaca e-mail bertajuk "Melayu Jaguh Bancuh Arak" yang dihantar oleh seorang teman baru-baru ini. Daripada nombor 1 hingga 3, kesemuanya anak-anak Melayu (Islam-lah kot!). Arak merupakan salah satu dosa-dosa besar (al-kabā'ir). Pengharamannya terlalu terang dan nyata berdasarkan dalil-dalil qat'ie tanpa khilaf di kalangan ulamak sepertimana disebut dalam Surah al-Maidah 5:90, al-Baqarah 2:219 dan sejumlah hadith-hadith Sahih dari Bukhari, Tirmidhi, Ibn Majah, Abu Dawud dari riwayat Saidina Anas, Ibn Abbas dan sahabat-sahabat lain.
Dalam salah satu riwayat, Saidina Abdullah ibn Umar r.a. menyebut bahawa bagaimana apabila turunnya ayat mengharamkan arak, seorang penyeru telah pergi ke segenap jalan-jalan di Madinah dan melaungkan bahawa arak telah diharamkan!, arak telah diharamkan!, maka para sahabat yang mana sedang memegang cawan/gelas arak, akan menghempaskannya ke tanah, mereka yang memiliki tempayan arak di dalam rumah pula akan mengangkatnya keluar dan memecahkannya satu persatu tanpa berlengah. Saidina Anas r.a. pula yang ketika itu sedang sibuk melayani tetamunya dari kalangan sahabat-sahabat besar Rasulullah s.a.w., iaitu Abu Talhah, Abu Ubaydah ibn Jarrah, Ubay ibn Ka'ab, dan Suhayl r.anhum, apabila terdengar laungan pengharaman ke telinga-telinga mereka, masing-masing terus berkata, mari pecahkan gelas, bekas air, jug, tempayan arak itu...Sehingga ada di kalangan mereka yang gelas hampir saja mencecah bibirnya, namun apabila terdengar laungan pengharaman arak itu, terus tangannya menggeletar seperti terkena kejutan elektrik lalu mencampaknya ke tanah. Begitu bersegera para sahabat mentaati titah perintah Allah dan RasulNya tanpa berlengah walau sesaat, dan takutnya mereka akan kemurkaan Allah. Bandar Madinah hari itu digambarkan seolah-olah ditimpa banjir, banjir arak.
Begitu juga dengan cerita seorang lagi sahabat, seorang usahawan yang baru pulang dari Syria bersama dengan barangan dagangannya terdiri dari bertong-tong arak. Beliau telah melaburkan sebegitu banyak hartanya berniaga arak memandangkan arak merupakan minuman asasi masyarakat pada masa itu dan sudah tentu keuntungannya besar. Sebaik terdengar berita arak sudah diharamkan, beliau lantas meninggalkan barangan dagangannya di sebuah bukit sebelum memasuki Madinah, lalu bergegas mencari Baginda Rasulullah s.a.w. Lalu beliau bertanyakan Baginda s.a.w., bagaimana keadaannya, apa yang perlu dia perbuat terhadap barangannya ini? Baginda mengatakan, seperti perintah ALlah, iaitu ianya haram, (tanpa memberi sebarang grace period). Lalu sahabat itu bertanya lagi, bagaimana pula dengan barangan dagangannya yang begitu banyak itu? Baginda s.a.w. memerintahkan dikoyak bekas-bekas arak (dari kulit) itu dan tuangkan ia ke tanah. Sahabat tersebut tanpa berlengah, tanpa bersedih walau sedikitpun melaksanakan perintah Baginda s.a.w. itu. Kerugian perniagaan beliau tidak seberapa jika dibandingkan kemurkaan Allah Yang Maha Besar. Itu lah iman para sahabat r.anhum.
Hari ini, bagaimanakah kita umat Islam? Adakah masih ada sensitiviti kita terhadap perintah Allah, bersegerakah kita? dan masih adakah kita kebenciaan melihat penderhakaan padaNya? Alangkah jauhnya kita dari para sahabat r.anhum, namun masih kita bercita-cita mendiami Syurga yang tidak layak buat kita semua itu yang tidak memiliki walau sekelumit iman para sahabat, r.anhum ajma'in.
Ada teman di sini yang menyalahkan pihak berkuasa kerana tiadanya peraturan menghalang orang Islam dari bekerja di kedai-kedai arak. Dari satu segi ada benarnya, namun dari segi yang lain bukankah Malaysia, para pemimpinnya pernah mengisytiharkan Negara Islam, dan mana ada negara Islam yang membenarkan arak dijual secara terbuka sebegitu rupa seperti hari ini. Saudi, Pakistan, Sudan mahupun Iran yang walaupun mungkin tidak seratus peratus memiliki ciri-ciri negara Islam seperti yang idealnya, namun sekurang-kurangnya arak tidak dibenarkan dijual.
Puas aku belek kitab-kitab fekah mahupun siyasah, namun satu pun tidak kutemui menyebut bahawa dalam pemerintahan Islam arak boleh dijual secara bebas terbuka seperti di tanahairku. Walaupun masyarakat berbilang agama sekalipun, dalam negara Islam, penjualan arak tetap mesti dikawal. Sementara Islam tidak menyekat orang bukan Islam meminum arak dan memakan babi -- yang haram bagi orang-orang Islam, namun penjualannya, mesti dikawal dan hanya boleh dijual-beli kepada orang bukan Islam sahaja.
Bukan sekadar itu, pesawat nasional MAS turut menghidangkan arak yang dituangkan oleh paramugara/i Melayu Islam. Atas alasan apa sekalipun, samada demi pelanggan bukan Islam atau untuk keuntungan, arak tetap haram. Tidak takutkah pemimpin kita, yang membenarkan arak dijual sedemikian rupa berhadapan dengan Rabbul Jalil di Padang Mahsyar kelak. Terlalu banyak kerugian pada Islam dan umat Islam, apabila kita sering cuba menjaga hati orang-orang bukan Islam, dengan mengorbankan prinsip-prinsip Islam demi memastikan kita terus diberi sokongan dan undi untuk terus berkuasa. Perintah Allah diabaikan, umat Islam pula semakin hilang pegangan agamanya, luntur imannya kerana bergelumang dengan dosa-dosa. Mungkin inikah harga tolak ansur yang terpaksa dibayar oleh umat Islam Malaysia demi perpaduan dan keharmonian kaum? Mufti Selangor dan Perak sudah pun menegur akan hal ini, adakah pemerintah masih akan berdiam diri?
Moga-moga ALlah memberi hidayah dan kekuatan kepada pemimpin kita dan kita semua untuk beramal dengan Islam tanpa takut, melainkan takut pada murkaNya semata. Moga-moga ALlah selamatkan kita dan zuriat kita dari 'ibu segala dosa kejahatan' ini (al-khamru jumma' al-ithmi).

0 Comments:
Post a Comment
Links to this post:
Create a Link
<< Home