Hanya Doa Buat Saudaraku
Rasulullah s.a.w. bersabda dengan mafhumnya:
"Orang mu'min itu di dalam berkasih sayang, kebaikan dan keakraban antara satu sama lain seumpama satu jasad, apabila mana-maha bahagian mengadu sakit, maka seluruh anggota badannya turut sakit dan berjaga"[Muslim]
Saban hari sejak kebelakangan ini kita mendengar pembunuhan demi pembunuhan, namun apa yang paling menyentuh hati ini ialah apabila seorang gadis berusia 14 tahun, Amber namanya, dirogol, kemudiannya dibunuh dan seterusnya dibakar di Iraq, oleh sekumpulan tentera Amerika. Turut dibunuh seluruh ahli keluarganya. Moga-moga ALlah merahmati mereka semua dan menempatkan mereka di kalangan Syuhada
Alangkah zalim dan kejamnya tindakan ini. Apakah ini perilaku manusia atau haiwan? Haiwan pun tidak sezalim dan sekejam ini. Kezaliman di Iraq, Afghanistan dan Palestin belum pun reda, Israel pula mula menyerang Lubnan dan membunuh ramai yang tidak berdosa. Cubaan negara-negara Arab membawa resolusi di PBB bagi mengecam Israel diaibkan, tidak kemana-mana setelah di-veto terlebih awal oleh sekutu kuat Israel, Amerika. Bush memberi alasan: "Israel has a right to defend herself" (Israel berhak mempertahankan negaranya!).
Sungguh hina sekali umat Islam hari ini, tidak mampu berbuat apa-apa melihat Amerika, Israel dan semua musuh Allah bersatu melakukan segala bentuk pencabulan terhadap saudara-mara mereka di bumi Allah ini. Liga Arab, OIC, semuanya "kesatuan buih" yang tidak memberi apa-apa makna dalam menjaga kebajikan umat Islam, maruah dan kedaulatan negara mereka.
Apakah puncanya di ketika umat Islam sudah hampir 2 billion orang, dan banyak antara negara-negaranya kaya raya dengan minyak, namun tidak mampu berbuat apa-apa? Tiada lain kerana pemimpin-pemimpin umat Islam hari ini, hampir kesemuanya dicucuk hidung mereka dan berkiblat kepada Amerika dan Barat. Kerana apa perlu berkiblat kepada Barat? Kerana mahu terus berkuasa memerintah dan takutkan tekanan kuasa-kuasa besar dunia lebih dari takutkan kemurkaan ALlah.
Benarlah ramalan Rasulullah s.a.w, bahawa umat Islam di akhir zaman nanti ramai tetapi mereka semuanya tidak berkualiti laksana buih-buih belaka, kerana mereka dihinggapi sejenis penyakit: cintakan dunia dan takutkan mati. Ya ALlah jauhkanlah kami dari bersifat sedemikian.
Marilah kita, walaupun masih lagi mampu merenung bulan dan bintang-bintang di langit, turut sama meluangkan masa bermunajat ke hadrat ALlah, berdoa agar diturunkan bantuanNya kepada seluruh saudara mara kita di Afghanistan, Iraq, Palestin, Lubnan dan seluruh dunia yang ditindas dan dizalimi oleh golongan Kuffar ini.
Mereka ini berjaga malam bertemankan cahaya tembakan peluru berpandu dan bom-bom, bingit telinga dengan bunyi jet-jet pejuang musuh dan dentuman letupan, sedangkan kita tidur lena di perbaringan. Alangkah malunya kita mengadap ALlah kelak, dan apakah yang akan kita jawab apabila ditanya apa yang telah kamu lakukan apabila saudaramu dibunuh saban hari?. Sungguhlah kita ini jauh terlalu jauh dari bersifat dengan sifat mukmin yang digambarkan Rasulullah s.a.w di atas. Paling tidak biarlah kita menjadi Muslim yang peka dengan perkembangan saudara kita di seluruh dunia dan tidak lupa mengirimkan bantuan doa buat mereka. Orang mukmin bukan orang yang hanya ingin bahagia dan kesenangan dirinya atau keluarganya sahaja, tetapi turut menginginkan kebahagiaan dan kesenangan buat saudaranya yang lain.
Janganlah pula kita menjadi manusia yang tidak ambil peduli apa yang berlaku terhadap saudaranya kerana dikhuatiri amaran junjungan mulia Rasulullah s.a.w.tertimpa atas kita: "Sesiapa yang tidak mengambil tahu urusan umat Islam, maka sesungguhnya dia bukan dari kalangan kami"
Bersabarlah saudara-saudaraku "Sesungguhnya pertolongan ALlah dan kemenangan itu semakin hampir". Ya ALlah! tolonglah Islam dan umat Islam. Tolonglah sekalian mujahidin di mana sahaja mereka berada.

1 Comments:
Dengan doa seluruh umat islam.. a miracle will happen one day... good article brudder...
Allahu Akbar
Post a Comment
Links to this post:
Create a Link
<< Home