Bertaqlid kepada Mazhab atau Bertaqlid kepada "Murajjih" moden?
Kedudukan para Imam Mazhab sangatlah agung dan tidak sepatutnya tergambar di kepala kita mereka ini boleh menginstibatkan hukum-hakam bertentangan dengan mana-mana hadith. Pendapat mereka ini seterusnya dikaji semula dan diperkukuhkan lagi oleh sekalian ulama-ulama besar Mazhab dari generasi ke generasi. Apa yang menyebabkan masih timbulnya perbedaan hukum fekah hingga ke hari adalah, antara lain kerana berbedanya pandangan para Imam terhadap sesuatu hadith, status kesahihannya dan pemilihan mereka dalam memilih menerimapakai sesuatu hadith, khususnya apabila pengharmonian perlu dilakukan disebabkan wujudnya dalil-dalil yang bercanggah antara satu sama lain (ta'arud al-adillah).
Tidaklah layak bagi orang awam untuk berpegang kepada kata-kata Imam al-Shafi'e (w.204/820) iaitu: "Apabila sahihnya sesuatu hadith itu, maka itulah mazhabku" seolah-olah merasakan masih ada hadith yang Imam ini belum temui dan apabila saja menemui hadith-hadith yang tidak selari dengan pendapat Mazhab Shafi'e lalu terus meninggalkan mazhab dan berpegang kepada satu dua hadith yang baru ditemuinya itu, kononnya itulah "dalil" yang lebih kuat. Alangkah dangkalnya pemikiran dan bodohnya sikap sedemikian!
Lalu mulalah hari ini, ditambah lagi dengan segala kemudahan memperolehi pelbagai kitab-kitab hadith dan lainnya yang sedia tercetak mahupun Online, ramai yang ingin menjadi Mujtahid atau sekurangnya Murajjih, berijtihad sendiri atau sekurang-kurangya mentarjihkan pandangan para ulama silam dan memilih mengikut 'citarasa' dan 'kriteria' masing-masing pendapat mana yang lebih kuat untuk diamalkan. Seolah-olah mereka hari ini lebih alim dari para Imam Mazhab, dan lebih alim dari berpuluh ribu para ulama mazhab silam yang lain sejak lebih seribu tahun lalu itu. Seolah-olah "kriteria" mereka itu lebih baik dan lebih "rajih" dari "kriteria" dan apa yang telah diputuskan oleh para Imam Murajjih seperti Imam Nawawi, Imam al-Rafi'e dan lain-lain--moga-moga ALlah merahmati semua Imam ini.
Inilah kononnya bagi mereka kaedah yang betul dalam Islam supaya kita tidak "bertaqlid"(diterjemahkan secara negatifnya oleh golongan ini sebagai "mengikut membabi buta"). Lalu merasakan tidak perlu lagi bermazhab (al-la Madhhabiyah), bahkan kononnya bermazhab itu sebenarnya salah, bid'ah kerana Nabi s.a.w. tiada mazhab. Manakala bagi segelintir yang lebih moderate sedikit berpendapat masih dibolehkan bermazhab, tetapi perlu mengetahui dalil-dalil bagaimana sesuatu hukum itu diterbitkan kerana jika tidak nanti kita hanya "bertaqlid" buta. Bagaimana mungkin Pak Mat si nelayan di Langkawi dan Pak Abu si peneroka di Jengka 3 berupaya mengetahui setiap dalil-dalil atas setiap amalan ibadah yang perlu dilakukannya?
Dengan mengetahui dalil-dalilnya itu kononya kita dikira "ittiba" (diterjemahkan mereka: mengikut secara berdalil), dan bukannya ber-taqlid. Tidak perlu kita bahaskan di sini makna "taqlid" dan "ittiba", cukup jika kita katakan terlalu banyak dalil-dalil yang menunjukkan bahawa pada hakikatnya dua istilah ini memberi makna yang sama. Teliti sahajalah debat antara Sheikh Muhammad Sa`id Ramadan al-Buti dan Sheikh al-Abassi dan nilai sendirilah apakah di sana ada beza ketara makna dua istilah tersebut.
Sikap tidak bermazhab inilah sebenarnya suatu "Bid'ah" paling bahaya menyalahi Ijma' ummah yang sudah sepakat menerima Empat Mazhab besar ini sejak lebih seribu tahun lalu. Lantaran itulah juga Sheikh Buti dengan keras mengecam golongan tidak bermazhab ini melalui bukunya Al-la Madhhabiyyah Akhtaru Bid`atin Tuhaddidu al-Shari`ah al-Islamiyyah (Golongan tanpa mazhab Bid'ah paling merbahaya menentangi Shariah Islam)
Sama-samalah kita renung adakah pendapat Imam Mazhab, seorang Mujtahid Mutlaq atau Mujtahid Mustaqill ini yang kemudiannya diteliti dan disemak oleh beribu ulama Mazhab masing-masing dari kalangan Mujtahid Murajjih atau Muntasib yang mu'tabar, wara' lagi bertaqwa, yang kemudiannya diputuskan sebagai inilah "pendapat mazhab" kita (aSHAbunA), ataupun pendapat seorang dua ulama moden hari ini yang tidak seorang pun layak bergelar Mujtahid Mutlaq, sebaliknya hafalan hadith pun tidaklah seberapa. Jikapun layak mereka ini hanyalah sekadar memenuhi kelompok "murajjih separuh masak" (jika dibandingkan dengan ulama silam). Malangnya "murajjih separuh masak" inilah yang cuba menipu umat dan menyembunyikan kebenaran dengan menampakkan seolahnya mereka sahajalah yang "ilmiah", "bermanhaj", dan "mengikut Sunnah" manakala orang lain semuanya "bertaqlid buta" dan "Bid'ah" belaka. Inilah juga sebenarnya pendekatan puak "Jehovah Witnesses" (meminjam ungkapan Sheikh Muhammad Yaqoubi al-Hasani), iaitu segolongan puak sesat dalam Kristian yang menyalahi arus perdana mereka, yang kononnya cuba mengembalikan agama Kristian sepertimana diamalkan di awal kurun agama itu.
Tepat sekali pengamatan Almarhum Allamah Sheikhul Hadith Muhammad Zakariyya Kandhlawi ketika mengkritik para cerdik pandai golongan ini di dalam kitabnya Ikhtilaf al-a'immah (Perbezaan pendapat para Imam) dengan katanya:
"Secara jujurnya, aku merasa pelik terhadap orang yang tidak mengikut mana-mana mazhab (ghayr al-muqallidin), di sebalik mereka ini mengetahui akan kebenaran, namun masih cuba menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat agar mempercayai bahawa mereka yang bermazhab ini kononnya tidak mengambil kira hadith yang bertentangan dengan pendapat para Imam mereka. Orang yang tidak bermazhab itu bukanlah sangat suatu isu, dan mereka bebas kerana mereka hanyalah orang awam. Aku tidak menyalahkan mereka. Cuma aku menyalahkan orang berilmu di kalangan mereka, walaupun berilmu tapi masih juga menyembunyikan kebenaran itu dari orang awam. Mereka ini sebenarnya menyamari kebenaran dan menipu umat"
Wallahu'alam.

0 Comments:
Post a Comment
Links to this post:
Create a Link
<< Home