Berpuasa di bulan Rejab
Saya banyak menerima e-mail yang diforwardkan menceritakan pelbagai kelebihan dan fadhilat berpuasa di bulan Rejab, tidak kurang juga e-mail yang saya lihat menghukum Bid'ah amalan ini, dan melarang berpuasa samasekali, seakan-akan berpuasa di bulan Rejab itu sesuatu yang diharamkan pula. Kedua-dua pendekatan ini sebenarnya tidak tepat. Adapun apa yang dikatakan "hadith-hadith" menggambarkan pelbagai ganjaran bagi mereka yang berpuasa di bulan Rejab atau pun mendirikan Solat al-Ragha'ib, para 'ulama hadith rata-rata berpendapat kebanyakkannya adalah palsu (atau terlalu dha'if) belaka dan tiada berasas, oleh itu penyebaran "hadith-hadith" berkenaan sewajarnya dihentikan melainkan yang jelas ada sandarannya. Walau bagaimanapun untuk melarang samasekali orang dari mengerjakan ibadat Puasa Sunat di bulan Rejab juga adalah pendekatan yang tidak betul kerana pertama, berpuasa sunat itu sendiri adalah amalah baik dalam Islam dan kedua, ada dalil-dalil yang menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan berpuasa di bulan-bulan Haram (Rejab, Zulhijjah, Zulkaedah, dan Muharram) dan inilah pegangan Mazhab Shafi'e (dan Maliki). Lantaran itu jugalah amalan ini berleluasa di kalangan orang-orang tua kita dari dulu sampai sekarang. Ketiga, di sana ada dalil yang menunjukkan bahawa ada di kalangan Sahabat dan Salaf yang berpuasa sepanjang waktu atau di bulan-bulan Haram, seperti Saidina Umar al-Khattab, anak beliau, Abdullah bin Umar, dan lain-lain -moga Allah merahmati mereka semua.
Pendekatan diambil oleh Imam Nawawi-- moga-moga Allah merahmatinya-- yang berpandangan bahawa memandangkan di sana ada dalil-dalil yang menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakan berpuasa di bulan-bulan Haram, maka kita juga secara tidak langsung digalakkan berpuasa di bulan Rejab, yang merupakan salah satu dari bulan-bulan Haram
Kesimpulannya -- seperti biasa, sesiapa yang ingin melakukannya, silakan manakala sesiapa yang merasakan ianya Bid'ah, maka tinggalkan dan tidak perlulah melarang atau mengecam orang lain dari melakukannya seolah-olah apa yang dilakukan itu sesuatu yang diharamkan dalam Islam. Wallahu alam.

0 Comments:
Post a Comment
Links to this post:
Create a Link
<< Home