Monday, February 20, 2006

Apa Yang Memberi Manfaat si Mati dari Perbuatan Orang Hidup

Alhamdulillah, baru pulang dari majlis Tahlil atas pemergian ke rahmatullah abang kepada salah seorang sahabat di Edinburgh ini. Moga-moga ALlah mencucuri rahmat ke atas roh beliau.

Sebagai catatan peringatan buat Hamba ALlah Yang Dhaif ini, yang seringkali diajukan persoalan-persoalan sama sekitar perkara "khilafiyyah", memandangkan akhir-akhir ini satu persatu amalan-amalan yang diwarisi orang tua-tua kita dari zaman berzaman hasil "menadah kitab" menagih ilmu dari para ulama besar alam Jawi yang berpuluh tahun merantau di Tanah Suci, mula dipertikaikan oleh seorang dua "ulama-ulama" muda yang petah di Tanahair, setelah sepurnama berguru di Timur Tengah. Jua demi manfaat sesiapa yang kebetulan melewati blog ini, maka dirakamkan di sini sedikit rumusan bagi panduan berhubung dengan perkara dalam ehwal "Apa Yang Memberi Manfaat Si Mati dari Perbuatan Orang Hidup".

Kesimpulan di bawah dibuat setelah meneliti pro dan kontra pelbagai pendapat yang dikemukakan oleh para 'ulama seperti Imam Shafi'e (w.204H/820), Imam Nawawi(w.676/1278), Al-Subki, Al-Haytami, Imam Muzani, Imam Khazin, Ibn Kathir dan lain-lain (moga-moga ALlah merahmati mereka semua), yang adakalanya dinukilkan oleh sesetengah pihak di luar konteks sebenar yang dimaksudkan mereka itu.

Ada tiga perkara yang boleh disentuh dalam Bab ini iaitu:

[1] mendoakan untuk si Mati;
[2] menyedekahkan harta bagi pihak si Mati;
[3] menghadiahkan bacaan al-Qur'an buat si Mati

Persoalan yang sering kita dengar ialah adakah amalan di atas dibenarkan di dalam Islam dan keduanya, adakah jika dibenarkan ianya sampai dan memberi manfaat kepada si Mati?

Dalil bagi mereka yang berhujah bahawa tidak sampai amalan yang dilakukan oleh orang hidup kepada si Mati ialah berdasarkan ayat Surah al-Najm:53:39 yang mafhumnya:

"Dan tiadalah bagi insan itu melainkan apa yang diusahakannya"

Ada juga yang mengatakan hanya anak-anak sahaja (orang lain tidak, kononnya) yang mendoakan keluarganya sahaja yang sampai berdalilkan hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurayrah r.a. yang mafhumnya:

"Apabila matinya anak Adam, terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, sedeqah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya" . [Hadith]

Secara ringkasnya, sebagai panduan orang awam dan untuk tidak terlalu bersifat akademik dalam penulisan blog sebegini, saya amat tertarik dengan rumusan yang dibuat Imam Nawawi, ulama' besar dalam Mazhab Shafi'e yang kita yakini sudahpun mengambil kira berhubung dengan ayat Surah al-Najm dan hadith di atas, serta sekalian perbahasan para ulama silam berhubung masalah ini. Beliau menyebut dalam kitabnya al-Adhkar dalam "Bab Apa Yang Memberi Manfaat kepada si Mati dari Ucapan Orang Lain". Beliau merumuskan khususnya dalam hal [1] dan [2] di atas, iaitu berdoa dan bersedekah kepada si mati tiada perselisihan pendapat di kalangan para 'ulama dengan katanya:

ajma'a al-'ulama'u ' alA anna al-du'a lil-amwAt yanfa'uhum wa yaSiluhum

"Telah disepakati di kalangan para 'ulama bahawa doa terhadap orang-orang Mati memberi manfaat kepada mereka dan juga sampai kepada mereka"

Imam al-Nawawi seterusnya dalam kitab al-Minhaj dalam Bab al-Wasiyyah pula menyambung dengan berkata:

wa tanfa'u al-mayyita Sadaqatun wa dua'a'un min wArithin wa ajnabiyyin

"Dan memberi manfaat akan si Mati dari sedekah dan doa para waris dan bukan waris"

Jelas sekali di sini bahawa doa dan sedekah bukan dari anak sahaja yang sampai sepertimana yang disalahfahami, tetapi juga dari bukan waris sekalipun turut sampai kepada si Mati. Lantaran itulah kita sering diminta berdoa kepada seluruh umat Islam hidup dan mati sepertimana yang sering dibaca di akhir Khutbah.

Adapun berhubung dengan perkara [3] di atas iaitu menghadiahkan pahala "Bacaan al-Qur'an kepada si Mati", Imam al-Nawawi menjelaskan di dalam kitabnya al-Adhkar yang sama bahawa di sana ada perselisihan pendapat di kalangan para ulama dan pendapat yang mahsyur dalam Mazhab al-Shafi'e ialah ianya tidak sampai. Namun pendapat dalam Mazhab Hanbali dan sebahagian ulama dalam Mazhab al-Shafi'e sendiri ialah ianya sampai kepada si Mati.

Bagi keluar dari perselisihan pendapat di kalangan para 'ulama itu tadi dan dengan harapan ianya diterima ALlah atas sifat PemurahNya, Imam Nawawi menyarankan sebagai suatu *ikhtiar*, si pembaca al-Qur'an [termasuklah juga di sini pada pandangan saya segala bentuk "bacaan/pengucapan" (qirAat/aqwAl) lain seperti Tahlil, Tahmid, Takbir, Selawat dll], hendaklah setelah selesai membacanya, kata Imam Nawawi, berdoa memohon kehadrat ALlah agar disampaikan pahala bacaan kepada si Mati seperti dengan berkata:

"Allahumma awSil thawAba mA qara'tuhu ila fulAn"

Ya ALlah sampaikanlah kebaikan dari apa yang telah Aku baca tadi kepada si Fulan (nama si Mati)

Moga-moga ALlah SubHAnahu wa Ta'Ala atas KemurahanNya dan KekayaanNya Yang Maha Luas menyampaikan pahala kepada si Mati itu tadi. Wallahu'alam.

Justeru itu sesiapa yang masih tidak boleh menerima pendapat Imam Nawawi, mujtahid besar Mazhab Shafi'e ini, dan merasakan bahawa menyedekahkan bacaan al-Qur'an itu tidak sampai pahala kepada si Mati, maka terpulanglah. Namun dalam masa yang sama tidak perlulah menimbulkan keresahan masyarakat dengan membesarkan perkara khilafiyyah sebegini dan melarang orang lain serta menuduh mereka yang melakukannya sebagai pengamal "bid'ah" yang sesat kerana di sana ada perbedaan pendapat di kalangan para 'ulama.

Moga-moga ALlah mengampunkan segala dosa-dosa kita semua dan menyatukan hati-hati kita agar dapat kita hidup saling hormat menghormati.

Allahuma-gfir liHayyina wa mayyitina

"Ya Allah ampunkan orang-orang Yang Hidup dan Yang Mati di kalangan kami" [Hadith]

Wallahu'alam.

Rujukan:

  • Sila rujuk tulisan Shaykh Afifi al-Akiti, "The 'Amal of the Living for the Dead" untuk perbahasan yang lebih mendalam dan ilmiah.
  • Imam Nawawi, al-AdhkAr min kalAm sayyid al-abrAr, (Beirut: Dar al-Arqam bin Abi al-Arqam, n.d)




0 Comments:

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home