Nampaknya rata-rata masjid-masjid di sekitar Lembah Kelang mula memasang papan tanda 'Zon Larangan Merokok' sesuai dengan keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan kali ke-37, pada tahun 1995 yang mengharamkan merokok.
Lama sungguh fatwa itu diputuskan lebih sepuluh tahun lalu, namun nampaknya baru kini mula ingin dikuatkuasakan. Itupun hanya sekadar dalam lingkungan pagar masjid sahaja. Seolah-olah di luar masjid merokok itu tidak haram. Yang haram tetap haram samada di dalam masjid atau luar masjid cuma mungkin penguatkuasaannya sukar apabila berlaku diluar.
Sebenarnya orang yang cintakan Allah dan RasulNya tidak perlu menunggu fatwa untuk mengambil sikap dan pendirian terhadap sesuatu isu. Hanya orang awam sahaja yang sikit-sikit nak tunggu fatwa dulu, sikit-sikit fatwa. Seolah-olah tanpa fatwa, kita tidak boleh bertindak. Namun apabila dikeluarkan fatwa, tidak ramai pun yang patuh dan akur dengan keputusan para mufti itu. Berapa ramai yang berhenti merokok ekoran Fatwa 1995 itu? Elok sangat kalau Masjid Fatwa membuat kajian.
Orang warak akan meninggalkan sesuatu yang ada unsur Syubhat. Iaitu, ianya tidak jelas samada Halal atau Haram, kerana beliau bimbang ianya Haram di sisi Allah Ta'ala. Itulah petanda taqwanya yang tinggi.
Teringat pesan guruku, Sheikh Nuh Keller (hafizahullah), betapa di sana ada perbezaan yang jauh antara fatwa dan taqwa. Orang mukmin yang hakiki, para ahli salik, tidak begitu mengambil kesah dengan fatwa itu dan ini kerana mereka melangkaui fatwa. Bagi mereka sekiranya ada sedikit sahaja unsur keraguan atau Syubhat dalam sesuatu perkara, lantas ditinggalkannya. Tidak perlu menunggu keputusan fatwa.
Orang yang bertaqwa, kata beliau lagi jika tergelincir dia masih jatuh dalam lingkungan Halal, tetapi orang yang pengikut fatwa, apabila tergelincir dia sudah terjatuh ke dalam lembah yang Haram.
Hari ini Yoga sudah pun difatwakan Haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Berapa ramai orang Islam yang akur dan patuh dengan keputusan itu, sepertimana berapa ramai yang patuh dengan fatwa Haramnya merokok dulu?
Orang yang bertaqwa apabila timbul sahaja perdebatan kononnya ada setengah ulama yang menghukum Halal dan ada juga yang menghukumkan Haram dalam sesuatu isu, maka lantas beliau bersikap dan berpegang kepada yang Haram. Ianya untuk dijadikan amalan peribadinya dan bukan untuk dicanang-canangkan atau dihukumkan kepada orang lain. Moga-moga dengan itu beliau mengharapkan akan terselamat dari terjerumus ke dalam sesuatu yang mungkin di sisi Allah ianya Haram. Nah! itulah sikap warak dan berjaga-jaga (ihtiyaT) yang seharusnya menjadi pegangan mereka yang cintakan Allah dan ingin dicintaiNya.
Nilai-nilai sendirilah ketaqwaan kita.